Selepas doa Qunut solat Subuh , Imam muda yang mengimamkan solat Subuh kami menyambung doa lain . Hati jadi sebak walaupun antara isi doa (of course, bahasa Arab) yang dapat difahami hanyalah "Palestine, Israeli, Malaysi, muslimin" .Inilah rupanya doa Qunut Nazilah yang ditanya oleh seorang jemaah dalam satu majlis ilmu lain (di masjid yang sama) 2 minggu lalu. Minggu tu juga Anim menggodek internet mencari maklumat mengenai "Qunut Nazilah". Ya Allah, diberi peluang pula pagi Sabtu lalu untuk mengaminkan Qunut Nazilah di Masjid Taman Keladi.
Biasanya, Qunut Nazilah ni dibaca Imam ketika solat Jumaat. Qunut Nazilah dibaca ketika kaum Muslimin terkena bencana, ancaman, penganiayaan, penindasan musuh Allah dan musuh kaum Muslimin. Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan bencana dan musibah seperti itu.
Dari info yang diperolehi dari laman web Masjid Wilayah Persekutuan, Qunut Nazilah merupakan 3 jenis qunut yang yang sunat dibaca dalam solat mengikut mazhab Shafie selain qunut dalam solat Subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadan.
Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardu 5 waktu dengan membaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari ruku' untuk i'tidal (Portal rasmi JAKIM).
Ada 3 cara yang Imam boleh ikut:
i. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh
ii.Membaca doa Qunut Nazilah sahaja
iii.Membaca doa Qunut subuh dan diikuti doa Qunut Nazilah.
Walaupun Ustaz muda yang beri Kuliah Subuh ni kata "Pak Long, abang, Mak Long, kakak yang ada depan saya jauh lebih berilmu dari saya, lebih alim , lebih banyak ibadat dari saya"...Tapi buat kita lebih tua darinya mendengarnya..."Mak Long, Kak Long ni jauh lebih banyak buat dosa berbanding Ustaz yang masih muda!"
* Mak Long dan Pak Long adalah panggilan hormat kepada mereka yang lebih berusia di Kedah
Tertarik nak kongsi tentang sedikit isi kuliah "Kafiat Berdoa" iaitu tentang tatacara sebelum melaksanakan solat tahajjud atau solat malam. Bila bangun malam, jangan difikir akan kuantiti solat malam yang hendak kita kerjakan. Sebelum wuduk, duduk dan tenangkan diri. Kemudian ketuk hati kita dulu.Kalau kita tidak boleh menangis, berpura-puralah menangis. Tujuannya supaya hati kita lembut. Istighfarlah banyak-banyak.
Katanya lagi, kalau kita tak boleh menangis, ada yang tak kena dengan hati kita. Mungkin kita ada melakukan perbuatan maksiat, mungkin kita terdedah kepada hiburan yang melampau-lampau yang membuatkan kita jauh dari Allah. Selagi kita tak menangis, jangan lakukan solat malam dulu.
Wallahua'lam.
P/S "Senjata orang Mukmin itu adalah doa yang sememangnya lebih tajam dari mata pedang"
Moga rakyat Palestine tidak terus dizalimi oleh rejim Zionist.
BalasPadamkata perdana menteri palestine, jangan tangisi kami di gaza, tapi tangisilah mereka diluar sana yang tidak berpeluang mati syahid (termasuk kita)..Allahu Akbar!
BalasPadam