Kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel
Berita TV3 mengenai kapal misi bantuan aktivis Malaysia ke Gaza diserang oleh rejim Zionis hingga mengakibatkan kematian merentap jiwa. Namun apa yang terdaya kami lakukan hanyalah mampu mengutuk kezaliman Israel laknatullah itu, Tapi bila menerima panggilan MIL yg menangis teresak-esak memberitahu Encik Suami,"Pakcik Baie dalam kapal itu!". Encik Suami terkejut dan memandang tepat ke arah Anim"Ya Allah..selamatkanlah mereka"
Dr Arba'ie bin Shawal atau dikenali sebagai Pakcik Baie yang dimaksudkan ialah satu-satunya bapa saudara sebelah MIL, seorang doktor perubatan lulusan UKM. Kata MIL, dialah anak kampung pertama menjadi doktor.
Jarak umur mereka 2 tahun saja. Tak heranlah mereka begitu rapat. Tambah-tambah waktu dia bertugas di Shah Alam, Pakcik Baie pula masih belajar di UKM. Hujung minggu ke asrama Pakciknya saja.
MIL pula anak sulong. Dia cukup sayang kat satu-satunya adik lelakinya ini. Majlis perkahwinan Pakcik Baie dan pasangannya seorang doktor juga turut diadakan di kediaman MIL.
Selain menguruskan kliniknya di Johor bersama isterinya,Pakcik Baie kerap terlibat dengan aktiviti dan misi kemanusiaan sebelum ini tetapi berita baru ini amat menyentap hati kerana kali ini dia berhadapan dengan rejim Zionis Israel yang ganas dan kejam. Namun jauh di sudut hati Anim, kami yakin semangat kental dan tekadnya juga tidak kenal gentar akan halangan itu. Maklumlah...semangat mereka yang sanggup mati syahid ni memang begitulah.
Anim juga terharu dan menyanjung tinggi semangat kental isterinya yang merelakan suami berjuang dan memahami keinginan suami untuk mencari keredhaan Allah SWT. Besarnya pengorbanan seorang isteri sepertinya.
Khabar terbaru dari Wisma Putera mengatakan semua aktivitis Malaysia terselamat dari kecederaan namun masih dalam tawanan Israel di Haifa. Semoga Makcik Ana, MIL, Embah dan semua yang mengenalinya bersabar dan mendoakan keselamatan semua sukarelawan dan semoga usaha untuk membawa mereka pulang ke tanahair dipermudahkan Allah SWT. Amin.
Belum ada komen untuk "Semangat Kental Seorang Doktor"
Catat Ulasan
Komen anda amat dihargai