السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
TAZKIRAH HARI INI (Rabu, 24 Jdl. Awal 1435H)
Al Mafqud / Orang Yang Hilang
Dalam Kitab al-Haawi al-Kabir ( الحاوى الكبير ) dalam fiqh Mazhab Imam Asy-Syafi’e diterangkan bahawa orang yang hilang dalam waktu yang lama dan tidak diketahui apakah masih hidup atau sudah mati maka orang itu harus dihukumi hidup sehingga diketahui dengan pasti apakah mafqud tersebut sudah mati atau masih hidup, maka tidak boleh menghukumi kecuali dengan yakin. Dan sekiranya belum diketahui dengan yakin tentang kematiannya, maka wajib menunda dulu kepemilikan hartanya sampai batas waktu yang telah ditentukan.
PENCERAHAN :
Secara mudah, yang dimaksudkan dengan al-Mafqud ialah orang yang hilang, tanpa diketahui sama ada masih hidup atau mati. Hukum status perkahwinan al-Mafqud di dalam Mazhab Shafie, terdapat dua pendapat dalam isu ini:
1. Tidak diputuskan hubungan suami isteri bagi kes orang hilang, sehinggalah dibuktikan secara sah akan status hidup atau mati orang yang hilang tersebut. Diriwayatkan yang Imam Al-Shafie berkata, sesungguhnya sesiapa yang hilang pasangannya, atau tidak hilang tetapi tidak pulang pada satu hari satu malam, atau pecah bahteranya di lautan, dalam keadaan tiada berita dan bukti mengenai status hidup atau matinya, maka si isteri tidak boleh berkahwin lain, sehinggalah diyakini akan kematiannya.
Ini berdasarkan hadith yang diriwatkan oleh Saidina Ali, Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam bersabda (امرأة المفقود ابتليت فلتصبر ولا تنكح حتى يأتيها موته ) bermaksud "Perempuan yang kehilangan suami, diuji, maka hendaklah dia bersabar dan janganlah bernikah lain sehinggalah nyata berita kematiannya" (HR: Al-Mahalli). Pendapat ini turut dikongsi oleh Mazhab Hanafi.
2. Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bagi wanita yang kehilangan suami, hendaklah dia menahan dirinya daripada bernikah selama 4 tahun daripada tarikh kehilangan suaminya. Selepas 4 tahun, barulah dia mengambil iddah kematian suami, dan selepas itu baru boleh bernikah lain. Ini ialah pendapat lama Imam al-Shafie (Qaul qadim).
Ini berasaskan kepada hadith yang diriwayatkan mengenai Umar bin Al-Khattab r.a, di mana beliau membenarkan seorang isteri di zamannya untuk mengambil tempoh 4 tahun sebelum berkahwin lain. Uthman bin Affan, Abdullah bin Abbas juga dilaporkan mengambil sikap yang sama. (Raudah al-Talibin).
Berkaitan pewarisan harta al-Mafqud pula, dalam kitab Mughni Muhtaj disebutkan: Orang yang hilang atau orang yang tiada khabar beritanya dan meninggalkan harta maka hartanya ditunda (tidak dibahagi) sehingga sahih tentang kematiannya atau dalam waktu yang lama sehingga disahkankan kematiannya oleh hakim (pemerintah) kemudian barulah hartanya boleh diberikan kepada ahli warisnya
Muhammad Ali Ash-Shabuni pula menerangkan dalam kitab Al-Mawarits bahawa pendapat ulama Syafi’iyah: “Seseorang yang hilang dianggap sudah meninggal dunia apabila teman-teman sebayanya sudah meninggal dunia. Diukur dengan jangka waktu harus mengambil masa kira-kira 90 tahun. Menurut qaul sahih bahawa waktu itu tidak boleh dibahagi-bahagikan dulu akan hartanya kecuali telah diputuskan akan kematiannya oleh hakim.
Pendapat ini dikongsi oleh Imam Syafie dalam kitabnya al-Umm. Beliau menerangkan bahawa tidak ada warisan oleh pewaris (orang yang mewarisi) sebelum orang yang empunya harta telah jelas meninggal dunia.
KESIMPULAN :
Ingin ditegaskan di sini bahawa mengambil tempoh yang lama untuk menentukan status hidup atau mati seseorang adalah mengikut pendapat ulamah fiqh dan qaedah Islam. Maka pihak berwajib janganlah bersifat terburu-buru untuk mengisytiharkan kematian penumpang pesawat MH370 tersebut dalam keadaan jenazahnya pun belum dijumpai lagi atau sekurang-kurangnya tunggu sehingga 4 tahun.
Wallahu a'lam - Doakan istiqamah Ust Samsol
P/S Perkongsian dari Ustaz Akmal
Artikel berkaitan: