Home · About Me · Sitemap ·

Hentam sajalah labu...

Dari sebiji LABU yang dibeli dengan harga RM6..inilah hasil tanaman 2 Abdul. Sejuk tangan macam abah depa. Jenuh nak menjawab apa yang ditanam 2 Abdul ni bila rumah kami disinggahi tetamu...

 
Dah penuh dari depan hingga belakang rumah..huhu.. Kata Encik Suami, biarlah depa tengok hasil kerja depa. Sebulan lagi kalau tak berbuah, matilah pokok labu ni. Sungguhpun belum mengeluarkan buah...ada part lain yang kami dah makan...

PUCUK LABU! Dah 2 kali pucuknya dipotong. 

Lemak pucuk labu yang marvellous. Cara orang Utara, ditambah lada dan udang kering rupanya.

Ehem...camnapun ini bukan hasil air tangan Anim. Encik Suami tak beri Anim "siang " pucuk labu ni sendiri takut silap-silap gatal pulak katanya. So...minta tolong pekerja sekolah siang dan tolong masakkan. Sepinggan untuk saya, sepinggan untuk dia...

P/S Saya bukan malas ya. Saya cuba siang dan cuba nak masak tapi tak dizinkan, heee....

Artikel berkaitan:

Kenapa tak perlu baca "Bismillah.."?


Assalamualaikum wbt...

"Kenapa tak perlu baca Bismillah, Ummi? Kita kan baca Quran..." tanya si Abdul waktu Anim nak mendengar dia membaca Quran ( dia nak mula surah At-Taubah)


"Cuba tengok. Mana ada tulisan Bismillahirrohmanirrohim dalam Quran ni macam surah-surah lain. Surah At-Taubah ni, Allah tujukan kepada orang-orang kafir musyrik. Sebab tu kita tak perlu baca Bismillah..." (Note : Anim suruh dia baca 'Audzubillahiminassyaitonnirrojim saja)

"Bukan semua perkara kita nak baca Bismillah. Ada kala jatuh haram bila kita baca tau"..

Satu cabaran buat ibu-ibu zaman kita ni bila bercakap dengan generasi Y. Semua nak tahu kenapa haram....kenapa tak boleh....kenapa itu...kenapa ini...

"Tau kan arak tu haram. Kalau minum benda haram, boleh ke kita sebut dengan nama Allah? Kita tau mencuri tu berdosa. Kita nak mencuri, kita baca Bismillah. Atau contoh lain, kita sepak kucing. Kita tau aniaya binatang tu berdosa. Boleh ke kita sebut dengan nama Allah, lepas tu kita sepak kucing?."

"Sama juga kita nak buang sampah, masuk bila air. Kita tau tong sampah depan rumah kita tu ada sampah, kotor, berbau busuk. Takkan kita nak sebut nama Allah waktu buang sampah kat tempat kotor."

P/S Kadang-kadang mati kutu nak beri contoh bila nak tegur sesuatu on the spot. Contohnya dia bertanya kenapa dia perlu solat sebab dia belum baligh, belum tanggung dosa lagi, alahai anak:))


Artikel berkaitan:

Tolak PELAM, datang KONEN

Kat Sg.Petani la (sekarang) musim pelam. Merata pelam dijual. Pasar malam lagilah. Macam- macam jenis ada. Kalau nak tahu, buah pelam ni antara buah favourite Anim selain ciku dan durian.

Pelbagai nama dan jenis. Ada yang diberi nama Mas Merah..

Bunga Merah pun ada selain Gula Batu dan banyak nama lain...

Masa nilah nak pulun makan...musim buah pelam tengah banyak. 3 kilo, RM 10 saja. Kalau ikutkan hati, mau saja ku angkut 2,3 jenis buah pelam. Malangnya...orang kata getah pelam tu lah "UBAT BATUK" paling power. So, pandang sajalah...

Pagi2 tiba sekolah semalam, sorang murid perempuan Tahun 4 datang membawa satu beg plastik. "Madam, mak saya bagi KONEN ni kat Madam". Wah, bau semerbak satu bilik guru. Ada 9 biji buah konen dibalut cantik dengan kertas surat khabar. Diusik pula oleh geng bas sekolah, itulah UBAT BATUK paling power. Lagi power dari buah pelam.

4 biji dikupas di bilik guru untuk turut dikongsi geng bas sekolah. Anim? Pandang sajalah....tak berani nak makan. Bukan sorang je nasihat, satu bilik guru turut mengiyakan.

Selebihnya dibawa balik untuk 3 Abdul. Bila melihat Encik Suami mengupasnya malam tadi, selamba dia berkata, "Rasalah sikit. Dah orang bagi ni...buat UBAT"...

P/S Pertembungan nasihat dan kesudahannya ialah........

Artikel berkaitan:

Gambar terpopular di Utara

Bawa 2 Abdul ke kedai gambar di SP. Urgent. By hook or by crook  kena hantar ke travel agent petang ni jugak untuk urusan visa. Bukan selalu berurusan di kedai gambar. Setahun pun tak sekali. Kedai gambar dikunjungi bila nak buat pasport, nak buat visa atau nak buat I/C. Walaupun perkhidmatan fotostat dan menjual kamera turut diberikan namun sejak wujud kamera digital dan hp berkamera..kedai gambar kini ibarat "saudagar senja".

Sewaktu menunggu gambar depa siap dalam 15 minit, terpandang gambar terpopular yang siap diframe. Wah...for sale lah. Gambar terpopular di Utara ni banyak digantung di kedai-kedai berbagai bangsa. Kedai makan, kedai gunting rambut, kedai menjual pakaian, kedai jahit..

Bertanya nyonya kedai yang melayan kami apa keistimewaan dari pandangan matanya tentang potret Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah , Sultan Kedah yang ke 25.

Pertama, dia memberitahu tentang bulu burung yang ada di kepala Almarhum Sultan Abdul Hamid . Itu ialah bulu burung cenderawasih (yang kononnya berasal dari kayangan dan hanya minum air embun)

Kedua, dia menyuruh Anim memerhatikan kedudukan mata dan telinga potret Almarhum. Kalau orang biasa macam kita katanya, kedudukan telinga sebaris dengan mata. Namun berbeza dengan Almarhum. Kedudukan matanya berada di atas paras telinga.

P/S  Tak salah menggantung potret tanda menghormati tetapi bukan dianggap sebagai pelaris perniagaan. Dibimbangi bergantung rezeki pada potret (dah macam tangkal pula) bukan bergantung pada Allah SWT kerana sekarang ada segelintir peniaga orang kita di SP turut gantung potret ni di kedai mereka,

Artikel berkaitan:

Misteri Si Rambut Panjang

Mula-mula nak letak gambar Si Rambut Panjang yang sesuai sebagai hiasan. Tiba-tiba seram pulak, hehehehe...

~ Cerita Ustazah NA ~

Sewaktu bersendirian di bilik guru, saya terpandang seseorang berambut panjang duduk di kerusi Cikgu A . Bukan sekali saya terperasan kelibatnya. Banyak kali.  Dia hanya duduk diam terpaku di situ tanpa menampakkan wajahnya.

~ Cerita Ustazah MM ~

Saya orang yang terakhir di bilik guru dan bersiap untuk pulang. Sewaktu nak tutup suis kipas, saya ternampak kelibat seseorang menelangkupkan kepalanya di meja Cikgu I. Of course, pada saya itu mesti Cikgu I.  Kensel tutup suis kipas. Saya pun tak nak ganggu Cikgu I, mungkin dia letih. Saya tak menegurnya. Bila saya berjalan menuju ke kereta, saya ternampak Cikgu I pun sedang menuju ke keretanya untuk pulang. Siapa pula yang saya nampak di meja guru Cikgu I tadi?

Kerap terawal tiba di sekolah . Sudah tentu terawal juga masuk ke bilik guru. Sebelum cerita Si Rambut Panjang wujud, sebaik tiba, selain prepare bahan untuk kelas, Anim akan mengodek laptop@iPad sebelum loceng berbunyi. Bila cerita Si Rambut Panjang ni wujud, serta merta tabiat berubah.

Memula, kena beri salam bila masuk bilik guru walaupun sah takde sesapa di dalamnya, "Assalamualaina waala ibadillahissolihin". Lepas tu, baca Quran yang ada di meja ikut sesempatnya. Kalau geng bas sekolah lain dah datang, bolehlah mengunyah bekalan sarapan pagi yang dibawa. Kemudian, jam 7.15 a.m , join warga sekolah lain berada di tapak perhimpunan untuk bacaan Yassin sebelum masuk kelas.

Sesi persekolahan berakhir jam 1.15 p.m ( satu sessi). Masa ni suara riuh murid kembali sunyi. Kelas tambahan si Abdul pula kadangkala hingga 3.00 p.m. Lepas solat Zuhor di masjid bersebelahan sekolah ( dalam 10 langkah), mula mencari port untuk menunggu. Nak duduk di kantin yang sudah lengang? Panas! Menunggu dalam kereta yang dihidupkan enjin? Tak selesa!. Lepak kat masjid? Lepas Zuhor, masjid kampung ni lengang dan sunyi.

Hendak tak ndak, kena menunggu si Abdul kat bilik guru walaupun berseorangan. Selesa sikit, ada kipas, boleh tanda buku, boleh buka laptop. Dulu, masa cerita Si Rambut Panjang belum wujud..rajin juga update entry dan BW blog kawan-kawan sewaktu menunggu si Abdul selesai kelas. La kena jaga wuduk untuk baca Quran sebab kurang rasa takut bila dok orang-sorang dalam bilik guru. Dalam hati berkata, janganlah Si Rambut Panjang memunculkan diri. Mudah-mudahan bila bacaan ayat suci Quran diperdengarkan, Si Rambut Panjang "panas" duduk dalam bilik guru dan keluar ambil angin jap.

"Tak takut ke kak?", usik Teacher Fauziah . Ish..kalau kata tak takut, orang kata "eksyen" pulak. Cuma minta-minta janganlah Si Rambut Panjang muncul dan menampakkan wajahnya depan Anim . Nak duduk situ, duduklah. Jangan kacau saya!! Kita buat kerja masing-masing ya...

P/S  Semua makhluk halus pada dasarnya tidak dapat dilihat oleh manusia disebabkan unsur asal kejadiannya berlainan daripada unsur kejadian manusia.  Andainya Allah SWT memperlihatkan jasad jin dan syaitan dengan rupa bentuk makhluk yang terlalu berbeza, umumnya kekuatan manusia akan lemah . 

Artikel berkaitan:

Mati

Peristiwa mati sangat menakutkan. Apabila mayat telah dimasukkan ke dalam liang lahad, lalu ia akan dikambus dengan tanah. Setelah itu orang yang mengusung dan menghantarkannya ke kubur pergi dan meninggalkannya sendirian tanpa teman, tanpa lampu,tanpa makan, tanpa minum, tanpa kekayaan dan tanpa segala-galanya.

Mayat terpinga-pinga dan baru sedar ia telah mati. Ketika itu masuklah malaikat Rumman sebelum masuknya malaikat Munkar dan Nakir. Mukanya bersinar seperti matahari dan ia berkata kepada mayat.

"Tulislah segala apa yang engkau telah perbuatkan di dunia tentang kebaikan dan kejahatanmu"

Maka jawab mayat, "Dengan apa hendak aku tuliskan, dan di mana aku hendak tulis?"

Maka jawab malaikat itu, " Lidahmu sebagai tinta dan jarimu sebagai kalam."

Maka berkata mayat, "Dimanakah buku yang hendak aku tulis?"

Maka malaikat Rumman mencarikan kain kafan lalu diberikan kepada mayat, "Tulislah segalanya di atas kain kapan ini."

Maka mayat pun menulis apa yang telah dilakukan di dunia tentang satu kebajikan. Dan jika sampai kepada kejahatan, mayat akan berasa malu untuk menulisnya. Maka berkatalah malaikat; "Wahai orang yang bersalah, kenapa kamu tidak malu kepada Zat yang menciptakan kamu sewaktu kamu melakukan dosa dahulu di dunia dan sekarang engkau malu terhadap diriku?"

Kemudian apabila mayat itu enggan menulis kejahatannya, malaikat itu akan mengangkat tongkat pemukul dan dipukulnya mayat itu, maka berkata mayat ; "Angkatlah tongkat ini agar aku boleh menuliskannya"

Maka mayat pun menuliskan segala kejahatannya dan kebaikannya tanpa tinggal walau sebesar habuk. Kemudian malaikat meminta mayat itu untuk mengecapnya. Maka berkata mayat; "Dengan apa hendak aku capkan?"

Maka berkata malaikat;"Kamu capkan dengan kuku kamu."

Maka mayat pun memperlakukan sebagaimana yang diperintahkan oleh malaikat. Dan setelah itu malaikat pun menggantungkan tulisannya itu dilehernya sehingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

"Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpai terbuka."      (Al-Israa':13)

Setelah itu, masuk pula Munkar dan Nankir dan bermulalah soal jawab dengan si mayat mengenai ketuhanan, kenabian dan sebagainya. Jika mayat tidak dapat menjawab, maka ia akan diseksa dengan seksaan yang pedih. Di dalam kubur lagi sudah dihukum atas perbuatan yang dilakukan. Kalau mayat itu calon syurga, di dalam kubur lagi sudah ditunjukkan tempatnya. Dan begitu juga ahli neraka, tempat seksaannya juga telah ditunjukkan. Rasulullah Solllahu Alaihi Wassalam bersabda:

"Apabila seseorang itu mati, maka diperlihatkan baginya akan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika ia termasuk ahli syurga, maka ia akan melihat syurga dan jika ia ahli neraka, ia pun akan diberi melihat neraka. Kemudian dikatakan,"Inilah tempatmu yang kamu akan dibangkitkan kepadanya pada hari kiamat."   (HR Muslim)

Begitulah rupanya orang yang di dalam kubur, sentiasa resah menanti saat berakhirnya alam kubur kerana tidak tahan diseksa dan tidak sabar untuk menikmati kebahagiaan di syurga. Kita yang hidup ini mengetahui kisah ini tetapi masih lalai dengan maksiat dan dunia. Masih lalai dengan harta kekayaan dan keluarga. Bersabda Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam:

"Keberangkatan mayat itu diringi 3 hak iaitu, keluarganya, harta bendanya dan amal perbuatannya. Yang dua akan pulang dan satu tetap tinggal. Yang pulang ialah keluarga dan harta bendanya sedang yang tinggal ialah amal perbuatannya." (HR Bukhari dan Muslim)


Sumber: Menyelami Samudera Tasawuf oleh Ustaz Shamsul Mohd Nor

Artikel berkaitan:

Kerana batuk.....airmata pula mengalir

Amaran: Entry ini panjang. Tidak mengapa kalau anda skip untuk membacanya. Maaf dipohon kerana entry ini bukan bermaksud membangga diri (keampunan Allah dipohon). Sekadar perkongsian bersama mereka yang sudi membacanya kerana tanpa disedari Allah menyedarkan kita dalam banyak cara.

Malam tadi, kami ( 4 beranak) di bawa seorang kenalan dan abangnya dengan sebuah van. Entah ke mana arah tuju dan kemudiannya van itu berhenti di sebuah rumah kampung yang begitu asing bagi kami. Bila masuk ke dalam rumah itu, barulah Anim sedar itu ialah sebuah kedai makan. Kenalan dan abangnya kemudian meminta orang di dalam rumah itu menyediakan makanan untuk kami. Anim ternampak seekor ikan terubuk yang sangat besar dikeluarkan oleh orang di dalam rumah itu. Tertanya-tanya, menu apakah yang bakal disajikan kepada kami. Kemudian, seorang lelaki memberitahu kenalan yang membawa kami tu, dia juga bercadang menyediakan 2 keping daging kambing buat kami. Wah.....terliur memikirkan juadah yang bakal dihidangkan.

Tiba-tiba Anim terbatuk. Dengan tidak semena-mena....Anim TERJAGA dari tidur. Laaa, bermimpi di malam Jumaat rupa-rupanya. Aduhai....kenapalah awal sangat mimpi tu paused. Kalau selesai makan....alangkah bahagianya. Actually batuk Anim ni nampak okay tempohari. Tak sangka pula gara-gara putu mayam bercicahkan gula melaka dan kelapa parut serta menjamah 2,3 biji (5 biji) anggur merah... batuk itu datang semula. Gatal tekak ni jadinya...

Anim bergegas bangun ke dapur dan minum segelas air rendaman kayu manis yang dicampur dengan madu (tqvm atas petua diberikan makchaq...sungguh melegakan tekak, sedap lak tu). Jam menunjukkan 1.30 pagi. (Kami semua masuk tidur 11 malam). Kalau hari sekolah, sure Anim sambung tidur. Tapi...kerana Jumaat cuti hujung minggu, mata segar pulak tengah malam tadi. Anim capai iPad dan checked ayat terakhir Quran yang dibaca. Tiba-tiba mata terpaku bila ayat terakhir yang ditanda pada iPad ialah pada surah Al-Imran ayat 17.

Hati Anim betul-betul sebak pada ayat terakhir itu......orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. Ia seolah-olah satu peringatan buat diri sendiri.

Sebelum itu dalam surah Al-Imran ayat 14 diterangkan "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."

[3:15] Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

[3:16] (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka";

Airmata tak tertahan-tahan. Anim akui, bukan mudah untuk Anim bangun malam untuk lakukan Solat Taubat serta solat malam yang lain. Juga bukan senang untuk Anim mengalirkan airmata sewaktu membaca Quran walaupun kita dianjurkan untuk menangis walaupun terpaksa berpura-pura. Terjaga kerana batuk.....hati bagai tertarik-tarik untuk terus membaca Surah Al-Imran bersama esak tangis dan berdiri untuk melaksanakan Solat Taubat.

"Ya Allah..ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa guru-guru kami, dosa adik-beradik kami, dosa jiran tetangga kami, dosa semua muslimin dan muslimat dan peliharalah kami semua dari azab api nerakaMu, ya Allah"

P/S Batuk tu rezeki

Artikel berkaitan:

Surprise untuk si Abdul (kecil)


2,3 hari lepas, dia sibuk menghitung hari menjelang ulangtahunnya yang ke 11 pada akhir April ini.

SURPRISE!!!....rupa-rupanya pihak sekolah adakan majlis untuk murid-murid dan guru-guru yang menyambut hari lahir di bulan April. Bukan suprise untuk dia saja, Ummi dia pun terkejut. Nama je satu sekolah...tapi tak semua program sampai ke pengetahuan semua guru. Agaknya tahun ni masa Anim banyak dalam kelas....tak banyak masa dalam bilik guru dan pejabat.

Sebenarnya...program menyambut ulangtahun guru bersama murid ini julung-julung kali diadakan dan bermula April.

Tersangatlah gembira bila satu sekolah nyanyikan "Selamat Ulang Tahun". Bergema dewan terbuka.

Sempat diusik Penolong Kanan 1 yang bulan kelahirannya sama dengan si Abdul.

Bukan senang tau Penolong Kanan 1 nak suap kek ke mulut. Rezeki awakla hari ni...

Sempat curi-curi baca " diari" ( tapi bersepah diletakkan diarinya). Ni yang paling Ummi dan Abah tak tahan gelak baca. Ooopss...dia memang agak lemah bab mengeja Bahasa Malaysia.

Setidak-tidaknya kami tahu, cerita- cerita yang sering kami "sumbat" sedari kecil...sedikit sebanyak masuk juga ke dalam sanubarinya. Sebenarnya namanya Salahuddin sahaja. Al Ayubi yang ditambahkannya itu sendiri ....adalah nama yang kami sering highlightkan bila berbicara tentang pejuang Islam. Mungkin dia "terperasan".. itu pun namanya juga!!

P/S Tak semena-mena, anak-anak murid alert dengan birthdate masing-masing...

Artikel berkaitan:

Udang Lipan VS Udang Kara

Udang lipan ni banyak di Kedah. Tak pernah jumpa di Johor (sorrylah kalau ada, memang tak perasan) Udang lipan yang dibeli di night market Taman Ria Jaya ni RM6 saja sekilo  

 
Tak pantas dibandingkan dengan udang kara a.k.a lobster yang mencecah  RM150 sekilo ni..
Bukan taraf saya...setahun pun tak sekali makan, huhu....

1st time beli (4 tahun dah tengok di market) sebab tertarik dengan khasiat Kedahan warwarkan..
Rebus dengan serai dan bawang...elok untuk pesakit penat (lelah). Nak mencuba kerana batuk yang berpanjangan ni...kenkadang cam nak lelah pulak
 
Sebahagiannya digoreng saja (nak cuba)
Walaaaaaa....sekali rasa wa sudah jatuh cinta...(walaupun susah nak mengopeknya)

P/S  Fizikal yang berbeza tapi rasa serupa

Artikel berkaitan:

Apa yang disorokkan tu?

Tertanya-tanya di hati, apa yang disorokkan sekumpulan murid lelaki Tahun 3 di bawah meja waktu rehat di library. Tambah teringin hati nak tahu bila melihat mereka ketawa mengekek. Tanpa mereka sedari, Madam Teacher mengendap-ngendap menghampiri mereka. Mau tak terkejut bila mendapati rupa-rupanya.....

Walaupun hanya ilustrasi dan bukan real picture (ini sekolah kampung) buku cerita ini yang menarik perhatian mereka. Nampak macam remeh je kan? Maklumlah...buku cerita. Itulah, kadang-kadang kita terlepas pandang.Budak-budak sekarang lagi advance. Apa agaknya yang depa sembangkan bawah meja tadi sambil mengekek ketawa agaknya..

Tanpa disedari sesetengah ibubapa, ada katalog barangan jualan yang mengandungi gambar " benda-benda kecil" hak orang perempuan dibiarkan bersepah di rumah dan dilihat oleh anak- anak lelaki tanpa rasa bersalah. Pernah berlaku katalog itu dibawa ke sekolah dan menjadi tatapan kawan- kawan sekelasnya yang lain.

P/S Mungkin sesetengah kita menganggap gambar-gambar itu perkara biasa dan remeh. Tak tahulah.....bagi saya ni yang under kategori "old-fashioned"..memang tak wajar.

Artikel berkaitan:

Mee Udang Banjir...kalau sudah tersurat

Sering tekankan 2 Abdul dan anak-anak didik tentang ayat 34, surah Luqman iaitu di sisi Allah SWT sahaja pengetahuan tentang bila hari Kiamat, bila hujan akan turun, apa yang ada dalam rahim seorang ibu, tak siapa pun tahu dengan pasti apa yang akan dilakukannya esok hari (sama ada baik atau jahat) dan di bumi mana dia akan mati. Satu lagi, kita sendiri tak tahu apa yang kita akan makan esok hari, kan?

Bangun tidur, lepas hujan pulak... petang-petang ni, tekak teringin betul nak makan Mee Udang. Dapat ke restoran yang paling dekat dengan rumah ( dalam 20 minit) pun jadilah. Bila buka mulut kat Encik Suami, malas pulak nak memandu katanya . Tambah-tambah bila sebut nama restoran yang dihajati, "Tak maulah makan situ".

Then, dia minta Anim buat air teh saja di rumah. Ada pasar malam , nanti dia cari something untuk minum petang dengan motor sahaja.

Anim pun tak kata apa. Terus ke dapur rendam teh. Terdengar Encik Suami start Honda dia. Satu kali, tak boleh. 2 kali tak boleh. 2 Abdul dah panjangkan leher. "Kenapa bah?". Entah apa kena agaknya, bukan kerana minyak motor kering tapi tempat pulas pulak buat hal. Motor lamalah katakan.

Kemudian, terdengar Encik Suami bersuara. "Dah, siap-siaplah. Bagitau Ummi, kita nak keluar". Ummi??? Control..control...

Akhirnya....kalau dah tersurat Mee Udang Banjir ni menjadi rezekiku petang ini...camna ditolak.. tolak...akhirnya dapat juga.

Ketika semangkuk besar Mee Udang Banjir dikongsi 4 ini tiba di meja, bersuara Encik Suami ,"Ni ganjaran Allah bagi Ummi sebab tak bantah cakap abah tadi".

Bukan nak memuji diri, kadang-kadang kena ada kisah dan teladan untuk jadi pengajaran buat 2 Abduls. Barulah mereka "sedar" ada ganjarannya di sisi Allah jika mereka tidak membantah cakap Abah dan Ummi.

Encik Suami kurang gemar membawa kami menikmati Mee Udang Banjir di sini walaupun rasa Mee Udang Banjirnya sedap. Tak suka dengar bunyi bising sewaktu menikmati hidangan. Bukan setakat bising periuk belanga tapi riuh rendah suara tukang masak bersama pembantunya di dapur. Berbeza benar sewaktu menikmati makan malam di Pohon's Kitchen walaupun seats kami bertentangan dengan kitchen tukang masak depa.

P/S  Suka makan suasana damai dan tenang. Senang nak berbual sambil makan.

Artikel berkaitan:

Sembelih sendiri

Zaman Anim kecik2 kat kampung dulu...ayam tak banyak di pasar. Lauk ayam sesekali je jumpa. Masa raya, masa kenduri. Kalau ada kenduri kahwin, satu kampung gotong-royong proses ayam. Kata Encik Suami, masa dia bersunat dulu, jiran-jiran bagi ayam sampai penuh reban untuk buat kenduri, heee.. Dulu, bila raya, nak proses bukan setakat sekor dua..3,4 ekor sekali pun pernah. Mana ada pusat proses ayam masa tu.

Sekarang, ayam dah jadi makanan harian sampai jemu makan ayam. Kat kampung, Atok dan Nenek pun tak bela ayam, tak sembelih apatah lagi proses sendiri. Olehkerana rumah sewa kami di SP ni kategori rumah bertanah dusun, so...janganlah terkejut kalau nak makan ayam kampung, kadang-kadang cekau je seekor dari reban belakang rumah.

Si jantan kampung ni hampir 5 bulan usianya. Apa yang kami makan, dia makan. Sesekali je makan dedak bila kami keluar merayap. Buah mata kucing yang jatuh pun dia makan. Dek kerana kategori bebas bergerak, kat pasar ni kalau dijual mencapai RM 17 sekilo. Kalau terkurung dan makan dedak, RM 13 sekilo. Malas pulak nak keluar p hantar kedai proses ayam. Kita sembelih sendirilah...

Dulu,Animlah tukang pegang. Kali ni giliran si Abdul lah pulak. Mula-mula macam berani je...

Bila nampak pisau berkilat dan Bismillah.......dibaca, dia pejam mata..huhu...

Si Bisu dan temannya pun tertarik mengendap tapi mana si Abdul sorang lagi?? Adooi...yang sorang ni memang hati kecik walaupun badan besar.

Tengok betul-betul anak-anak. Mula-mula buang isi perut ayam dulu. Najis ni. Jangan terus celup dalam periuk berisi air panas. Nanti semua jadi bernajis.Lepas tu baru jirus air paip bagi hilang darah ayam..

Kemudian, barulah celupkan dalam periuk berisi air yang dijerang (bahasa Jawa ni). Senang sikit nak cabut bulu ayam. Masa nilah baru nampak bayang si Abdul kecil datang terkedek-kedek dengan masih berkain pelekat.

Sup ayam kampung bersama sambal kicap, hidangan dinikmati 3 Abdul sebelum pergi solat Jumaat.

P/S Ada 2 ekor lagi menanti masa....buat sambut puasa nanti kot..heee

Artikel berkaitan:

Batuk

Bukan hanya bila sakit teruk baru kita sedar nikmat tidur dengan lena, makan lalu saja, nikmat bersuara atau juga menikmati bermacam jenis buah-buahan.

Bila BATUK tak berhenti...semua yang tersebut di atas memang NIKMAT hidup yang tidak boleh dinafikan. (Tidur pun kena sorang2..tak leh bawah kipas dan dalam aircon..huhu)

Selain ubat-ubatan moden (3 doktor sudah dikunjungi)..berbagai petua yang telah dicuba...

Madu dicampur limau nipis, kicap dicampur limau nipis, Habbatus Sauda...namun belum menunjukkan hasil..

Encik Suami sendiri yang menyediakan petua yang diperolehi dari rakan sekerjanya...untuk si isteri namun ini juga tidak serasi..

Semalam dia meminta bantuan seseorang untuk mencarikan bunga belimbing buluh (dimasak bersama gula batu)..tapi silap dengar ke atau salah faham...tu dia...sebekas buah belimbing buluh pulak yang dibawa balik, heee....

Teringat peristiwa tahun 2000, Anim pernah batuk lama. Bermacam petua, berbagai doktor ditemui tetapi tepat 30 hari...batuk Anim sembuh.Batuk itu Anim gelar batuk 30 hari . (Anim pun dengar ada batuk 45 hari, ya ke?) Mungkinkah batuk 13 tahun lalu berulang kembali? Jika begitu ada lebihkurang 2 minggu lagi untuk ditempuh. Mudah-mudahan ia membawa pahala kepada Anim.

Dalam "Padanya Ada Hikmah: Untuk manusia Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia" oleh Prof. Muhaya menyebut sebenarnya sakit itu memberikan amaran awal bahawa kita perlu lebih beramal. Sakit itu pencuci dosa-dosa lalu kita, sakit itu adalah cara kita semakin mendekatkan diri kepada Allah.

P/S  Kak Nah, nanti saya cuba pulak petua kak tu ya..

Artikel berkaitan:

Tragedi Hentian Rehat Rawang

Selepas check out, Encik Suami bawa Anim dan 2 Abduls ke majlis perkahwinan anak BIG BIG bossnya di Shah Alam. Pada mulanya Anim agak keberatan. Anim suruh dia p sorang je dan turunkan Anim di Kompleks PKNS Shah Alam dengan 2 Abduls.

Pertama, Anim canggung nak hadiri majlis yang dihadiri korporat2, datuk datin ni dan kedua, batuk Anim ni menjadi-jadi kalau masuk bilik beraircon. Malu kat orang. Dan apa jawapan yang Anim dapat? Tak pasal-pasal kena "basuh" ..hehehe...(padan muka saya!)

Terdiam bila kata Encik Suami, "Deorang pun manusia macam kita juga". Satu lagi katanya, di kad undangan tu tertulis nama dia & isteri serta keluarga baik di sampul mahupun di dalam kad. Kalau satu kad untuk satu jabatan (semua staff) tak pelah jugak..Ok..ok..sorry..sorry..

Tanpa menunggu ketibaan pengantin (jam 2 petang), kami bertolak pulang ke SP. Tiba di tol Shah Alam, fuel tank warning pulak. Encik Suami bercadang nak mengisi minyak di Hentian Rehat Rawang. Ada stesen Petronas di situ katanya.

Tiba Hentian Rehat Rawang...ya Allah...apa sudah jadi? Stesen servis Petronas ini ditutup sementara??? Tiada sebarang pemberitahuan sepanjang jalan dari Shah Alam ke sini. At least, pasang banner/pemberitahuan di kawasan kutipan tol Shah Alam tadi. Bolehlah pengguna jalanraya seperti kami ni singgah mengisi minyak di Hentian Sg. Buloh.

Nak teruskan perjalanan, tak yakin pulak. Cik Putih ni pun baru 3 bulan dalam jagaan kami. Belum kenal sepenuhnya. Called adik yang tinggal di Rawang Perdana, bertanyakan stesen minyak terdekat. Dia dan isterinya tiada di rumah, ada urusan di Wangsa Maju.

Kami kemudian diberitahu hentian seterusnya ialah Tanjung Malim. Kalau rasa tak yakin, masuklah Bukit Beruntung katanya. Fikir punya fikir...nak terus ke Tanjung Malim sure tak cukup minyak. Nak ke Bukit Beruntung pula, nak mencari tu satu hal, pusing sana sini.. takut-takut tersadai di tepi jalan.

Kemudian adik called dan beritahu mereka on the way nak bertolak balik ke Rawang . Dia minta kami tunggu mereka datang . Jalan selamat.....tunggu sajalah.

Kami bersolat jamak taqdim dulu, minum-minum dan kemudian barulah duduk berehat di pondok yang disediakan. Oh ya..ternampak pemberitahuan stesen Petronas Rawang ditutup ditampal di tepi gerai makanan. Strategik ke tempat tu?

Hikmahnya...kalau tak kerana kes kereta kehabisan minyak ni...tak tau yang di Hentian Rehat & Rawat Rawang (Arah Utara) ni ada arca tersergam. Malangnya...terlindung oleh pokok-pokok yang makin membesar.

Jam 3.00 petang (kami tiba jam 2.00 petang) bantuan tiba, Alhamdulillah...perjalanan ke Utara (isi full tank di Tanjung Malim) diteruskan dengan satu pengajaran. Len kali...jangan tunggu fuel tank warning baru isi minyak yaa..

P/S  Syukurlah...ada adik tinggal di Rawang. Kalau nak minta tolong adik yang tinggal di Klang, Bangi atau Sepang....bayangkanlah jauhnya mereka nak datang dan berpatah balik..

Artikel berkaitan:

Terperangkap

Petang Jumaat lalu di Ampang...

Plan nak p urut badan di Medan Mara dan jalan-jalan Sogo sambil cari port makan. Demam dan batuk buat badan jadi stres sebab kerap terjaga dari tidur. Menjengok keadaan traffik dari bilik kami di Tingkat 9.

Alamak....lampu traffik rosak pulak. Encik Suami kata tunggu setengah jam lagi.

Then, masih terkawal. Ok ke ni nak cuba? Memang itulah laluan utama nak keluar dari hotel. Takde jalan lain. Tunggu 10 minit lagilah..

Hoho....apa dah jadi? Jangan cari pasal. Tambah stres terperangkap dalam kereta nanti. Sudahnya kami menapak saja ke Ampang Point opposite hotel.

P/S  Bila tak de sifat bertolak ansur, itulah jadinya. Masing-masing tak nak beralah.

Artikel berkaitan:

Solat Jumaat atas swimming pool

Alkisah, Encik Suami ada urusan kerja di Ampang, pagi Jumaat. Bimbang agaknya nak tinggalkan 2 Abdul bersama Anim yang belum sihat dihujung minggu, diangkutnya kami ber3 sekali . Kami bertolak selepas Maghrib. Kali ni Anim tak memandu dan tidur saja sepanjang perjalanan. Macam tak percaya, jam 12 malam sudah tiba di Hotel De Palma, Ampang. Sah..dia mesti bawa 140km/h dan ke atas ni...

Pagi Jumaat , gagahkan diri mengawasi 2 Abdul di swimming pool. Lagipun mengiggil kesejukan berkurung saja dalam bilik. Seronoknya depa ber2. "Balas dendam" kerana cuti sekolah lalu mereka demam, tak boleh berendam.

Mungkin ramai sedia maklum, Surau Nurul Hikmah di Hotel De Palma, Ampang ini mendapat kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat. Kunjungan kali ini menyaksikan sesuatu yang menarik untuk dikongsi sampai leka memerhatikan mereka menyiapkan tempat solat seawal jam 10 pagi.



Lepas tikar dibentangkan, tak sapa sangka bawah tu ada swimming pool!!

Lunch time sudah berkira-kira nak called room service, tapi dok congak-congak. Caj untuk 3 pinggan Nasi Goreng Kampung RM70+...mak datuk, sayangnya duit. Nasi goreng saja pun. Tak lama Encik Suami balik dan beritahu hari Jumaat , pihak hotel ada jual set Nasi Beriyani berlaukkan daging dan ayam ini dengan hanya RM9.90 bersama papadom. Alhamdulillah, save sikit...heee

P/S Jemaah yang menunaikan solat Jumaat turut diberi buah pisang, epal dan air sarsi . 2 Abdul ikut bersolat Jumaat bersama Encik Suami. Tapi buah, air dan papadom tak nampak bayang bila tiba bilik. Dah selesai dikerjakan 2 Abdul dalam lift lagi..


Artikel berkaitan:

Bungkusan barakah dari teman blogger

Setelah 3 Abduls kebah dari demam, giliran Anim pula tumbang Khamis lalu. 2,3 hari dok tahan tak jumpa doktor. Makan baki ubat demam Encik Suami dan ubat batuk si Abdul (ada ke patut..hee) , kemuncaknya pagi Khamis tak larat nak bangun. Bila doktor check.. tu dia, 38.8 huhu...MC lah.

Balik klinik, ikut saranan Dr. Annisa, makan ubat dan tidur. Tak tau berapa jam terlena, terdengar bunyi hon berkali-kali depan rumah. Siapalah tu agaknya. Tengok jam, 12.30 tengahari. Tak mungkin Encik Suami. Anak-anak pun belum balik sekolah. Dengan berat mata dan berat badan, menyelak langsir tingkap bilik. Ada van Pos Laju depan rumah.

Bungkusan jauh dari Senai ini dikirim oleh teman blogger yang baru pulang menunaikan umrah, Kakzakie. Terima kasih tak terhingga.

Saja tunggu Si Abdul balik sekolah untuk buka bungkusan. 

 
Rasa terharu tatkala ternampak isi bungkusan penuh barakah. Segan pun ada . jika nak dibandingkan pemberian Anim dengan pemberiannya ini. Si Abdul bertanya "kawan Ummi yang duduk mana ni?"  Pelik agaknya bila dikatakan kawan ni bukan depa je tak pernah jumpa tapi Ummi juga.

Sebak juga membaca nota yang ditulis Kakzakie tentang pertanyaan adik. Manataknya, setiap kali terpandang orang sedang bertawaf di TV atau desktop (secara live) di http://live.gph.gov.sa/ hasil perkongsian nhhas, Anim sering teringat kawan-kawan, saudara mara, kenalan yang menunaikan umrah dan membayangkan mereka turut berada bersama-sama jemaah bertawaf dalam TV/desktop itu . Ajaib kan bila mereka di sana pun turut sama mengingati kita.

P/S Doa Anim moga ukhwah kami berpanjangan. Dan semoga satu hari nanti kami dapat bertemu Kakzakie 4 mata dan bertemu ADIK...

Artikel berkaitan: