Home · About Me · Sitemap ·

Jejak Musafir Hari ke15~Perjalanan Pulang Ke Tanahair

Masjid Terapung di Kota Jeddah

Di kenali sebagai negara yang tandus dan berpadang pasir di mana jarang kelihatan haiwan selain unta dan kambing serta tumbuhan renek hati merasa kagum  menyaksikan bangunan-bangunan moden dan rumah kediaman mewah di Jeddah. Penerbangan kami dijangka berlepas jam 11.30 malam. 

Oleh kerana masa masih banyak lagi, bas berhenti di sebuah masjid di Jeddah. Kami turun bersembahyang Asar di sini. Meskipun masjid ini tidak mempunyai sejarah perkembangan Islam, lokasinya yang berada di pinggir pantai Laut Merah menyebabkan ianya kelihatan "terapung" di atas permukaan air. Konon ceritanya masjid terapung ini dibina di atas tanah wakaf seorang janda kaya raya yang merupakan penduduk di sekitar kawasan itu. Setelah kematian almarhum suaminya, dia mewakafkan kekayaannya untuk membangunkan masjid ini.

Orang Arab "berpiknik"

Kawasan berhampiran masjid ini juga merupakan lokasi popular penduduk Jeddah menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga. Mereka membawa anak-anak bermain layang-layang, makan-makan dan tak kurang yang berbarbeque. Tapi tak nampaklah mereka mandi-manda. Ramai pekerja Indonesia yang berkerja di Arab Saudi (pekerja binaan) mengambil kesempatan menikmati bakso yang dijual oleh warga Indonesia. (Anim pun ambil kesempatan...5 riyal saja semangkuk..) Ramai pembantu rumah dan cleaner warga Indonesia di Arab Saudi. Seronok dengar mereka boleh berbahasa Arab.

Kami kemudiannya bertolak ke Jeddah International Airport. Kat Jeddah ada 4 airport. Kat sini hanya flight Saudi Airlines sahaja di tempatkan. MAS ke, Emirates ke...lain airport. Lama juga menunggu. Tak ada tempat nak "melontar" duit pun...hihi...tak jumpa kedai-kedai untuk habiskan duit yang berbaki. Alhamdulillah, layanan pihak travel memuaskan. Kami dibekalkan nasi untuk makan malam. Lapar bebenor dah masing-masing. 

Dugaan meninggalkan Arab Saudi belum berakhir. Dugaan pertama ialah sewaktu pengagihan boarding pass oleh pihak travel. Kekalutan telah berlaku. Nama jemaah bercampur-campur. Kalau dari KLIA tempohari..berjalan lancar. Suami isteri duduk sebelah menyebelah, anak-beranak duduk bersama...kali ini bercampur aduk. Si anak terpisah dari emak..suami terpisah dari isteri (termasuklah Anim)..nenek terpisah dari keluarganya..Terdengar dah rungutan para jemaah. "Tak apa. Nanti kita tukar-tukarlah" ada jemaah yang menenangkan keadaan. 

Buat Anim dan Encik Suami, kami pasrah saja."Kalau tak dapat tukar sebab no.seat dah asing lelaki, perempuan...kita duduk asing2 lah ya. Tak apa kan?" No.seat Anim dan Encik Suami jauh sangat. Anim L manakala dia F.

Dugaan ke2 ialah sewaktu hendak melepasi kastam. Ada jemaah perempuan yang kena bongkar beg dan keluarkan barangan. Kami (perempuan) beratur memasuki bilik khas dan terdapat 3 pegawai imigresen perempuan yang garang. Kami diperiksa atas bawah dengan alat pengesan dan "rabaan". Sabar ajalah. Terkejut  bila mendapati pemeriksaan jemaah lelaki lagi ketat. Bukan setakat buka stokin dan kasut, kena buka talipinggang jugak.

Dugaan ke3 ialah sewaktu masuk ke dalam perut kapalterbang. Seperti yang Anim katakan tadi, no.seat dah bercampur aduk. Anim duduk bersebelahan dengan jemaah perempuan dari Melaka (3 seats). Seat sebelah Anim pula kosong. Ternanti-nanti juga siapakah gerangan teman sebelah Anim (nak minta tukar). Macam tau-tau aja...seat teman sebelah Anim tu kepunyaan teman jemaah dari Selangor. No.seat Encik Suami pulak bersebelahan dengan seat suaminya. Jadi...dalam kes kami...tukar suka sama suka. Selamat!.

P/S Sedang sibuk memasukkan beg ke dalam ruang di atas, ternampak wajah seseorang yang familiar sangat. Manis dan ayu bertudung litup..."Siti...." (lupa dah title Dato'). Dato' Siti hanya tersenyum dan melambai jarinya ke arah Anim. Hmmmmm...dia naik ke ruang atas le. Takkan nak duduk kelas ekonomi dengan kami.



Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke15~Selamat Tinggal Baitullah..

Jemaah yang akan pulang hari ini dikehendaki meletakkan beg di luar bilik masing-masing jam 9 pagi untuk dibawa turun ke lobi oleh pihak hotel. Tawaf wada' jam 1.00 tengahari. Bas akan bertolak ke Jeddah jam 2.30 petang. 2 beg besar kami (diikat dan dikunci) awal-awal kami letakkan diluar pintu bilik. Rasa dah tak ada apa lagi nak sumbat dalam beg itu. Kami hanya membawa 2 hand luggage berisi kurma dan buku-buku yang dibeli di sini serta beg sandang pemberian Andalusia sahaja.

Datang awal ke Masjidil Haram. Mencari tempat bersolat di laluan Gate 1, King Abd Aziz kerana selepas Zuhor nak buat tawaf wada'. Kalau bersolat di laluan masuk Gate 1, senang nak turun tawaf. Tak perlulah berasak-asak sangat dengan jemaah yang nak keluar masjid selepas solat. Kita pulak kesuntukan masa. Kebetulan hari ini hari Khamis. Cuti hujung minggu di Arab Saudi. Bilangan jemaah ketara ramainya.

Encik Suami meminta Anim melakukan tawaf wada' seorang diri seandainya kami tidak bertemu di Dataran Kaabah selesai solat. Kami tak punya banyak masa. Seterusnya kami berjanji akan menunggu di Jam Besar di luar Masjidil Haram .

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya:
" Tiada seorang pun boleh meninggalkan Baitullahil-Haram melainkan akhir tempohnya di Baitullah dengan selepas tawaf wada'
 
Selepas solat Zuhor, Anim menunaikan solat Taubat. Kemudian mohon dipermudahkan pelaksanaan tawaf wada' Anim ini. 'Robbi yassir wala tul asir..waa tammim bil khoir".. Anim cekalkan hati memulakan langkah sendirian. Kelibat Encik Suami tak kelihatan. A L L AH ADA BERSAMAKU. Alhamdulillah...segala-galanya berjalan lancar. Cuaca begitu panas sekali hari ini. Nak buka mata pun tak boleh...terik!Walaupun jemaah ramai dan langkah menjadi pendek dan perlahan...Anim dapat mencelah di kawasan-kawasan lapang dan menyelesaikan tawaf wada' 7 keliling tak sampai sejam.

 Anim terus melakukan solat sunat tawaf dan berdoa di situ.
 "Ya Allah...berikanlah aku rezeki untuk datang ke sini lagi. Jangan jadikan ziarahku ke rumahMu ini buat yang terakhir.".

Airmata tidak tertahan lagi. Dengan sayu, Anim menoleh Kaabah buat kali terakhir dan menuju ke tempat air zamzam. Masya Allah..Encik Suami pun ada di situ.. nak minum air zamzam juga.Kami kemudiannya bergerak perlahan-lahan meninggalkan Masjidil Haram dengan harapan untuk kembali semula ke Masjidil Haram satu masa nanti.

Kenangan bersama rakan jemaah 4 beradik dari Selangor (gambar diambil sehari sebelum pulang)

Selesai tawaf wada', kami terus naik ke bilik, qado' hajat, mengambil beg dan turun ke bawah. Bas telah menanti jemaah di bawah. Tidak boleh berlengah-lengah lagi, tak boleh shopping lagi...tak boleh sedeqah...tak boleh bergambar...
Jam 3....bas mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kota Mekah al-Mukarramah menuju Jeddah. Tiada apa yang diharapkan lagi hanyalah semoga Allah SWT menerima amalan umrah Anim, Encik Suami dan semua rakan jemaah.

P/S Amin ya rabbal A'lamin

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke14~Tawaf dalam hujan

Encik Suami minta Anim bawa 2 botol mineral kosong. Nak isi dengan air zamzam di Masjidil Haram. Kami bercadang untuk buat tawaf selepas solat Subuh. So, air zamzam seorang sebotol itu nanti dibawa tawaf untuk didoakan buat kedua-dua hero kami. Mudah-mudahan menjadi anak yang menurut kata, senang dibentuk, senang menerima ilmu Allah...terang hati... Amin..

Dalam 10 pagi, Anim ke tempat kedai menjual jubah semalam. Hmmm...bila ditanya jubah yang dihajati semalam dah turun 120 riyal pulak hari ni. (Alhamdulillah...tak jadi beli semalam). Encik Suami tawar lagi..dapatlah 110 riyal (selamat 30 riyal berbanding harga semalam). Tulah Mekah..bergantung pada nasib lah. Harga hari ini tak sama dengan semalam. Jangan ingat bila kawan kita dapat harga sekian, sekian..kita ke kedai itu dengan harapan memperoleh harga yang sama. Nasiblah, kalau harga lebih tinggi atau lebih rendah.

Sempat meninjau kedai menjual kurma dan kekacang. Rasa macam tak cukuplah pulak yang dah dibeli di Madinah. Teringat cerita seorang jemaah..dia dah beli siap-siap kurma di Malaysia. Buat kami pulak, walaupun sedikit yang dapat diberikan...keberkatan Mekah al Mukarramah yang nak dicari.Had 30kg oleh Saudi Airlines dibeg kami diisi kurma dan makanan sahaja(caj 60 riyal dikenakan bagi setiap kilogram terlebih berat). Kurma ajwa (kurma Nabi) di sini 100 riyal sekilogram berbanding 70 riyal di Madinah. Kalau ikut hati mau saja memborong kurma yang diisikan badam tu berkilo-kilo untuk diberikan pada anak murid, tapi...memikirkan lebihan berat beg...lupakan saja.

Hujan lebat selepas solat Zuhor. Teringat adik dan keluarganya yang akan bertolak pulang ke tanahair jam 3.00 petang ini. Nampaknya mereka melaksanakan tawaf wada' (tawaf selamat tinggal) dalam hujan lebatlah. Gagal melaksanakan tawaf wada'...berdosa dan wajib membayar dam (ada yang dikecualikan...rujuk buku panduan umrah).

Olehkerana hari esok (Khamis) merupakan cuti hujung minggu di Arab Saudi, ramai jemaah  mengambil kesempatan melakukan ibadat umrah (esok lagi ramai) .Subhanallah...tawaf dalam hujan tidak menjadi halangan buat mereka....Ganjaran dari Allah SWT yang dikejar...

 Sayunya nak meninggalkan Masjidil Haram esok.

P/S Moga-moga ini bukanlah kunjungan terakhir....

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke13 ~ Hujan di Mekah

Adik lelaki Anim, isteri dan 3 anak-anaknya datang ke bilik kami di Hijjaz Palace sebaik sahaja kami selesai bersarapan. Mereka bertolak mengikut Andalusia juga cuma awal sehari. Sejak tiba di Mekah tak pernah terserempak dengan mereka 5 beranak. Hotel penginapan mereka tak sama jalan...so, bila ke Masjidil Haram..ikut pintu lain. 

"Rezeki kak Anim dapat sini. Banyak kedai makan..senang nak shopping. Tempat kami jauh.Kedai makan tak banyak" 

Esok mereka akan bertolak balik ke tanahair. Ketiga-tiga anak saudara Anim (lelaki ) yang berusia 9, 11 dan 12 tahun menyatakan seronok mengerjakan ibadah di Mekah. Insya-Allah, ada kesempatan waktu, ada lebih rezeki..teringin juga membawa 2 hero Anim tu kemari bila mereka telah benar-benar "bersedia". 

Pada pandangan Anim , terpulanglah kepada kemampuan ibu bapa itu sendiri untuk membawa anak-anak mereka bersama. Bukan setakat kemampuan wang ringgit, tetapi juga kemampuan tenaga dan kesabaran. Ada jemaah (yang membawa anak) tidak membuat umrah kerana anak sudah keletihan, ada yang tidak bersolat jemaah di Masjidil Haram kerana anak belum bangun tidur, ada yang bergegas keluar masjid untuk mencari makanan di restoran kerana anak tidak lalu makan makanan yang disediakan pihak travel..selera budaklah katakan. Pendekata...terpulang kepada ibu bapa itu sendiri. Kita tahu kemampuan diri kita..kita faham dan kenal anak-anak kita..jangan terikut-ikut oranglain.

Sewaktu menunggu azan Asar, terserempak dengan group 4 beradik jemaah kami.

"Anim, jumpa Siti kat masjid?"  Eh, Siti mana pulak ni?

"Dato' Siti lah. Ada orang nampak dia kat masjid. Datuk K pun ada. Siti datang dengan family dia"

Kalau Siti tak nampaklah. Kalau Remy Ishak (Nur Kasih) adalah.  Seorang pelakon cilik TV (datang satu keluarga) pun satu hotel dengan kami.(Balik Malaysia baru tahu,,,dia pelakon siri Qalesya Musim 2 di Astro. Dalam siri tu dia jadi Mustafa ). 

Di Madinah pula, Anim terserempak dengan MB Johor, Datuk Ghani Othman.Kalau ke D'Saji, Restoran Felda di Safa Tower tu...memang banyak muka-muka orang politik sedang minum-minum. Kita je tak ingat nama...ingat rupa je.

Sempat shopping selepas Asar. Teringin nak mencari jubah. Nampak Jubah Minah-Minah Arab yang keluar masuk masjid...cantik dan teringinlah pulak. Dah survey jubah kat Safa Towers (paling murah 180 riyal.Harga rata-rata dalam 300 riyal - 500 riyal. ). Try meronda kedai-kedai berdekatan hotel. Baru masuk satu kedai...hujan turun lebat. Sempat bertanya harga jubah "lip-lap" di satu kedai. 140 riyal katanya. Alahai..payah pulak nak memilih jubah dalam hujan. Plan nak membeli esok sajalah.

Hujan-hujan di Mekah ni...sedap pekena makaroni bersama kuah tomato (macam kuah spaghetti bolognese cuma isinya tomato).  6 riyal sahaja

P/S Sejuk betul Mekah waktu hujan. Seronok nampak  pekerja Bangladesh yang membersihkan perkarangan Masjidil Haran "bermain hujan". Agaknya begitulah seronoknya bila hujan di Mekah. Hujan yang membawa rahmat.



Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke12

Jam 2 pagi terjaga. Mengejutkan Encik Suami yang lena tidur. Selesai mandi, kami bergerak ke masjid. Suasana masih sama seperti siang. Jemaah masih berpusu-pusu...samada yang baru keluar masjid atau baru nak masuk masjid. Kesempatan yang ada...kami gunakan sepenuhnya. Tak dapat nak digambarkan ketenangan bersolat di Masjidil Haram. Di sini...segala-galanya diluahkan kepada Allah SWT. Mohon diampunkan dosa-dosa lalu, mohon diberkati hidup di dunia dan di akhirat...mohon dimurahkan rezeki .. Mohonlah apa sahaja.....luahkan apa yang terpendam dihati .

Hari ni tak membuat umrah. Rasanya cukuplah 5 kali umrah. Lebih dah dari jangkaan asal sewaktu di Malaysia (2 sahaja). Nak duduk di masjid sahaja puas-puas. 3 hari lagi akan meninggalkan Baitullah, Masjidil Haram..Mekah al Mukarramah. Memerhatikan Kaabah membuatkan kita kagum dan terpana dengan kekuasaan Allah SWT.

Di kawasan Masjidil Haram  terdapat banyak belalang kunyit. Ada yang hinggap di kelambu Kaabah. Berhati-hatilah kerana di dalam ihram, andai kita terpijak mati samada sedang tawaf atau berjalan di perkarangan Masjidil Haram ....samada sengaja atau tidak disengajakan...kita akan dikenakan dam. Takjub dengan kekuasaan Allah SWT kerana kumpulan burung yang berterbangan di kawasan Kaabah tidak pula hinggap di situ. Burung-burung ini riuh berbunyi (seolah-olah turut berzikir) sambil terbang di kawasan Kaabah. Subhanallah.....bila dipandang dengan teliti pergerakan sesetengah burung tersebut, ia turut tawaf mengelilingi Kaabah. 

 Masjidil Haram juga menjadi tempat memulakan ikatan silaturrahim di kalangan jemaah berbilang bangsa dan negara. Kalau diberitahu yang kita ni jemaah Malaysia, jawapan jemaah Arab dan Turki.."Malaysia? Malaysia good".

Anim berkesempatan berbual dengan seorang jemaah berusia awal 60an dari Gombak .Dia sudah 13 kali ke Mekah. 2 kali menunaikan haji dan selebihnya menunaikan umrah. Orangnya tenang dan merendah diri. Pesannya, walaupun kita setiap tahun ke sini pun,  pengalaman dan ujian yang diberi Allah tetap berbeza. Dia memberikan contoh...walaupun pemergiannya kali ini membayar lebih RM6000 ...dia mendapat  penginapan yang jauh dari Masjidil Haram hingga kali ini dia mengerjakan sa'i di atas kerusi roda.

Ada juga peristiwa lucu di Masjidil Haram yang bakal meninggalkan kenangan manis buat Anim bila mengenangnya. Pertama, selesai solat di Tingkat 2 dan turun dengan escalator, terdengar riuh-rendah di tangga bergerak  di situ. Jemaah tersekat di laluan escalator. Ada yang marah-marah juga. Subhanallah...

Rupa-rupanya ada 2 jemaah wanita (tua) berdiri betul2 di depan escalator. Jemaah lain suruh dia turun tapi entah apa yang dikatakan...tak faham. (Pakaian tak macam Arab. Muka ada contengan...Afghanistan kot).
Jemaah yang nak cepat ..potong barisanlah. Anim dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena. Depa ni mesti tak reti nak turun escalator. Tepat sangkaan Anim bila seorang jemaah lelaki Indonesia turut sependapat dengan Anim. "Mari ikut saya". Dia memegang tangan salah seorang wanita itu dan membawanya turun bersama. Kawannya yang tertinggal ni...mulalah menjerit. Haa..apalagi. Anim pun memegang tangannya dan mengajak dia turun dengan escalator. Wah...dipautnya bahu Anim erat... Bila selamat tiba di bawah, mereka bertepuk tangan . Haahaha...lucu betul.

Peristiwa ke2 juga di escalator.  Anim sedang menuruni escalator untuk turun ke toilet. Ada jemaah wanita (bercadur...dari Pakistan kot) berada di laluan escalator Anim (turun). Dia hendak naik ke atas tetapi menggunakan escalator kami yang turun ke bawah. Apalagi...dapat naik 3 tapak, turun balik. 2,3 kali dia mencuba...terturun semula. Anim perhatikan gelagatnya. Mukanya dah pucat lesi. Pelik kot...apasal lah tangga ni mengundur semula. Alamak...nanti bertembung pulak dengan kami yang nak turun ni.

"Hajjah..hajjah" jerit Anim sambil mengarahkannya ke tepi. Anim kemudian menunjukkan escalator untuk naik ke atas kepadanya. Macam-macam!!!

P/S Pengalaman berharga untuk Anim...

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke11

Masjid Tana'im @ Masjid 'Aisyah

(Diriwayatkan bahawa Muhammad bin Abu Bakar diarahkan oleh Rasulullah s.a.w untuk menemani 'Aisyah berniat ihram umrah di sini selepepas menunaikan haji ketika Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat Baginda s.a.w mengerjakan hajjatul wada')

Lepas bersarapan pagi di hotel penginapan, Anim dan Encik Suami yang siap berpakaian ihram dan berniat untuk bermiqat di Tana'im. Tana'im adalah sempadan tanah halal yang terdekat dengan Masjidil Haram. Dah bertanya kawan-kawan segroup kot-kot ada yang nak bermiqat hari ini (naik van kena 10 orang - 3 riyal seorang) tapi rata-rata ada  nak rehat hari ini, ada pulak yang nak p bermiqat petang, so kami ber2 sahajalah.

Naik taxi 40 riyal pergi balik (driver tunggu kami di masjid dan hantar balik ke Tanah Haram). Kalau naik bas@van...balik kena pandai-pandai sendiri cari van atau bas. Sebaik tiba di Mekah, kami terus menunaikan ibadah umrah ke 5. Alhamdulillah...berjalan lancar.

Di Mekah, segalanya bermula dari hati. Hati kena ikhlas, redha,sabar dan sentiasa berlapang dada. Buat sesuatu kebaikan jangan harap balasan walaupun ucapan "syukran" atau thank you kerana boleh menimbulkan  riak. Kadang-kadang sesuatu perkara yang berlaku pada kita...berpunca dari bicara yang terdetik di dalam hati kita (walhal tak keluar sepatah kata pun!).

Pengalaman Anim sendiri sewaktu mencari ruang untuk bersolat di Masjidil Haram. Anim melihat sekumpulan jemaah yang membawa anak-anak mereka di satu ruang. Hati Anim berdetik, "Cari tempat lainlah.Nanti budak-budak ni nangis, payah pulak nak khusyuk"Anim temui satu tempat yang selesa dan tiada kumpulan jemaah yang membawa anak kecil.

Sebaik sahaja azan berkumandang dan jemaah sedia untuk bersolat...tu dia...entah darimana kumpulan jemaah yang membawa anak-anak kecil terus duduk dan meletakkan anak-anak mereka bersebelahan dan di belakang Anim.  

Subhanallah....ampunkan aku Ya Allah...semua orang mempunyai hak untuk bersolat di Masjidil Haram...walaupun mereka membawa anak kecil...

P/S Geram tengok muka-muka comel anak-anak Tok Arab...

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke10 ~Ziarah Hudaibiyah

Jam 2.30 petang, jemaah yang ingin mengikut ziarah luar ke Hudaibiyah sudah menunggu di lobi hotel. Olehkerana lawatan ini tidak termasuk harga pakej, setiap jemaah dikenakan bayaran SR20 seorang.

Ke ladang unta

Membeli susu unta. 5 riyal sebotol kecil. Diperah segar dari ladang. Sedap....Rugila sapa tak minum. Mana ada kat Malaysia!

Melawat masjid yang dibina bagi memperingati peristiwa perjanjian Hudaibiyah yang berlaku di antara Rasulullah s.a.w dan golongan Quraisy pada tahun 6 Hijrah ketika Rasulullah s.a.w dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah. Runtuhan masjid asal...nasib baik tidak dirobohkan oleh kerajaan Arab Saudi. (Yang berkacamata hitam dan berbaju oren ialah Ustaz Aryan)

Solat Zuhor dan berniat ihram umrah (miqat) di sini.

Melawat Muzium 2 Masjid (Masjid Nabawi & Masjidil Haram). 

15 minit sahaja masa yang diberikan untuk lawatan. Melihat foto klasik Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dari dulu hingga sekarang, model pintu Kaabah yang lama dan macam-macam lagi. Ekspress...15 minit saja masa yang diperuntukkan oleh Tok Arab la katakan.

Telaga zamzam yang asal

Pintu Kaabah yang lama...dan macam2 lagilah.

Kami kembali semula ke Mekah untuk menyempurnakan rukun umrah. Kali ini kami buat sendiri kerana Ustaz Aryan tak turut serta buat umrah. Melaksanakan tawaf selepas solat Maghrib .Oleh kerana Encik Suami dapat bersolat Maghrib di dataran Kaabah, dia menunggu Anim di pintu Bani Syaibah.

Selesai tawaf, kami tidak terus melakukan sa'i. Selepas solat Isyak baru sambung semula. Aduhhh....tapak kaki rasa sakit. Tapak kaki Anim ni memang sakit sejak di Malaysia. Kurang pula lakukan aktiviti berjalan di Malaysia. Umrah adalah ibadah jasmani yang memerlukan pergerakan tubuh badan yang kuat. Tawaf tiada masalah...sa'ie yang Anim tewas.  

"Boleh tak teruskan? Abah sewa kerusi roda untuk Ummi ya..  (Sewa kerusi roda 50 riyal...ada orang yang menolak)

"Tak pe. Anim jalan pelan-pelan".  Anim sapukan air zamzam ke tumit kanan dan berdoa supaya diberikan kekuatan untuk menghabiskan pusingan sa'i.

Kawasan sa'i. (Kena rajin exercise berjalan kat Malaysia kalau nak buat umrah@haji)

Syukur alhamdulillah. Dapat juga Anim habiskan 7 pusingan sa'i walaupun tumit kaki kanan ni macam dihiris-hiris. Selepas bertahalul, jam dah menunjukkan 10 lebih. Perut dah terasa lapar. Nak balik makan di hotel..mesti dah tutup dewan makan. Nak ke Safa Tower, pekena Nasi Mandi ke, D'Saji Felda ke (jam 11 malam tutup)..tiba-tiba terasa nak buang air kecil pulak.

Elok sahaja keluar dari Gate 1 King Abd Aziz untuk ke toilet berhadapan Hilton Mekah, terdengar suara merayu-rayu di luar perkarangan masjid..

"Makcik orang Malaysia, makcik orang Malaysia. Tolong Makcik"

Terkejut melihat 3 orang makcik duduk di situ. Muka mereka kelihatan sedih, kepenatan dan ketakutan. 2 dari mereka berumur dalam lingkungan 60an dan seorang lagi dalam lewat 40an.

"Makcik tak tahu nak balik hotel. Sejak Asar kami duduk sini. Tak makan, tak minum .Tolong tunjuk jalan hotel kami" sambil menunjukkan business card mutawwif mereka. Hotel Zharat Shams....alamak mana ni?

"Arah mana makcik datang tadi, ingat tak?"

"Entahlah. Kami sampai Mekah baru 1 hari. Tadi datang masjid, Asar. Masih siang. Balik dah gelap. Tak ingat. Tolonglah nak. Telefon tak bawak pulak" (Kami pun tinggalkan handphone di bilik)

Encik Suami mengambil kad mereka dan mencari petugas masjid untuk bertanyakan arah. Anim duduk menemankan mereka. Kebetulan ada sedikit bekalan kurma yang dibawa...Anim berikan pada mereka.

Mereka bertiga dari Parit Buntar, Perak. Sewaktu datang bersolat Asar, mereka ber5. Anak salah seorang dari makcik tu sakit perut. Si ayah bawa anaknya balik ke hotel (walhal toilet ada di luar ) dan berpesan kat isterinya supaya pulang sendiri. Olehkerana mereka ber3, masing2 ingat okaylah.

Bila selesai Isyak, mereka keluar dan cuba pulang sendiri. Entah macamana..silap masuk lorong dan terserempak dengan sekumpulan wanita berpurdah (tak taulah wanita ke lelaki...dah berpurdah hitam..malam pulak). Salah seorang wanita berpurdah itu memegang pisau...jadi kerana ketakutan, mereka patah balik.

Tiba-tiba salah seorang dari mereka (yang berusia lewat 40an) menyedari beg sandangnya yang berisi passport dan wang tunai RM2000 telah hilang. Mereka yang ketakutan kembali terus ke Masjidil Haram dan duduk di luar perkarangan masjid dengan harapan suami atau mutawwif travel mereka mencari mereka di masjid. Tunggu punya tunggu...tak muncul-muncul juga. Dugaan buat mereka nampaknya.

"Abah dah tanya 3 orang berlainan. 2 tunjuk arah sama. 1 tunjuk arah berlainan.Kita ikut arah 2 orang tulah"

Anim membawa ketiga-tiga makcik itu mengikut langkah Encik Suami. Alhamdulillah...arah yang ditunjukkan itu melalui jalan hotel kami. Cuma turun ke bawah lagi dalam 150m lagi. At last...kami dapat menghantar mereka hingga ke depan hotel. Dengan tidak semena-mena mereka terus memeluk dan mencium Anim sambil menangis.  

"Terima kasih nak, terima kasih nak. Kalau anak tak tolong tadi, makcik tidur kat masjid malam ni..."

Lupa dah nak buang air kecil...lupa dah nak pekena Nasi Mandi. Dah 11 malam lebih, cari kebab jelah dengan teh susu.

UPDATE : Baju singlet wanita berzip (utk letak duit) dah ada di pasaran....so takde masalah kalau tak nak simpan duit di bilik hotel

P/S Tinggalkan duit di dalam bilik. Sesetengah hotel ada safe box. Bawa sikit aja dalam beg sandang. Duit dalam bilik.... tawakaltu ala'lah. Insya-Allah....yakin dan berserah pada Allah.

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke10~Hajat terkabul

Melakukan tawaf sunat selepas solat Subuh. Selepas solat fardu, memang ramai jemaah yang melakukan tawaf sunat di Kaabah. Kalau nak lapang sikit...balik dulu bersarapan pagi dan datang semula ke Masjidil Haram untuk tawaf. Tapi....hari ni dah bercadang nak bersarapan di luar, maka ambil keputusan tak balik ke hotel.

Syukur alhamdulillah....hari ini hajat diperkenankan Allah. Selain dapat menyentuh dan mencium Kaabah selepas cukup 7 kali keliling, kami juga dapat istilam Rukun Yamani.Hajat nak mengucup Hajarul Aswad tidak kesampaian. Bila melihat jemaah lelaki dari negara lain yang bersesak-sesak hingga "terlambung-lambung" di angkat rakan-rakannya, kami berlalu dari situ. "Tak apalah. Tak ada rezeki nak mengucup Hajarul Aswad. Kita istilam dari jauh aja"

"Mengusap Rukun Yamani dan Hajarul Aswad akan menghapuskan dosa" (Riwayat Ahmad)

Kami kemudiannya berdoa di belakang Maqam Ibrahim (kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s ketika membina Kaabah dan ketika menyeru manusia mengerjakan haji). Ada jemaah yang cuba nak bersolat tapi diusir oleh Tok Arab (pengawal). Itukan.laluan tawaf, terpijak pulak nanti.

Alhamdulillah..dengan bantuan Encik Suami, Anim mendapat ruang bersolat 2 rakaat di Hijr Ismail iaitu binaan separa bulat di bawah Mizab.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Solatlah dalam Hijr ini kerana ia adalah sebahagian dari Kaabah tetapi kaummu kekurangan belanja ketika membinanya maka mereka mengeluarkannya dari Kaabah" 
(Riwayat Tirmizi dari 'Aishah)

"Sesiapa yang masuk ke dalam Baitullah, maka dia masuk ke dalam kebaikan dan keluar dari kejahatan dalam keadaan diampunkan dosanya" (Riwayat al-Baihaqi dari Ibn Abbas)

Dan bila ditolak-tolak oleh jemaah yang berada di Hijr Ismail, Anim mendapat peluang bersolat di bawah Al-Mizab atau disebut juga dengan pancuran emas (saluran keluar air dari bumbung Kaabah). Mana mungkin dilepaskan peluang bersolat dan berdoa dibawah mizab yang menjadi tempat orang-orang soleh menunaikan solat.

Syukur..alhamdulillah...dalam keadaan bersesak dan terhimpit, masih diberi kekuatan dan kesempatan waktu untuk bersolat. Kain telekung pun dah basah dek airmata....

Kepuasan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Masih menggeletar seluruh badan sewaktu keluar dari masjid.

Oh ya, walaupun pakej umrah kami menyediakan makanan 5x sehari (katering Indonesia) kadang-kadang teringin juga merasa makanan di Mekah. 

Sarapan pagi di Restoran Pakistan. Roti Nan (1 pun cukup untuk kami ber2 dan kimma (daging kisar), serta 2 cawan teh susu ). Harganya 10 satu Riyal. Mula-mula heran gak...apa tu 10 satu Riyal. Rupa-rupanya dia tak reti sebut "sebelas riyal"..kihkih

Ataupun naik ke tingkat2  Hilton Mekah. Macam-macam ada. KFC, Burger King, Baskin Robbin...Kami pulak cari Nasi Mandi kat sana.

Nasi Mandi  30 Riyal. Boleh dijamah 3 orang.

P/S Lepas Asar, boleh naik ke Safa Tower. Di tingkat 3 ada banyak restoran. Tempat dituju...restoran Felda, D'Saji . Pekena teh tarik (3 riyal) dan roti canai (5 riyal)...Kat sini...kuih muih, nasi lemak, rendang....semua ada. Pendekata....semua ada di Mekah.



Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke9 (Part 2)

Anim pernah cerita fasal kak N dalam N3 sebelum ini. Sewaktu bas berhenti di Ja'aranah untuk jemaah yang ingin membuat umrah bermiqat, kak N mendekati Anim. Kami sama-sama berjalan ke masjid untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dan solat sunat ihram. Teringat pesan Encik Suami tempohari. Tak sampai hati pulak nanti nak memberitahu kak N supaya mengikut anaknya melakukan tawaf dan sa'i bagi mengelakkan tertinggal dalam kumpulan jemaah yang dipimpin ustaz Aryan. 

Anim mengambil kesempatan menunaikan Solat Dhuha di situ dan memohon kepada Allah supaya diberikan jalan penyelesaian bagi masalah Anim. Anim tak mahu engkar arahan suami dan dalam masa yang sama tak mahu mengecilkan hati kak N.  Ya Allah..bantulah hambaMu ini.

Setibanya di Baitullah , kami mengikut Ustaz Aryan untuk membuat umrah sunat. Sewaktu hendak turun ke perkarangan Kaabah untuk melakukan tawaf , kak  N sudah berada di barisan hadapan bersama-sama Ustaz Aryan. Syukur alhamdulillah...sepanjang 7 pusingan tawaf (Anim dan Mr.Hubby berada di baris belakang), Anim lihat kak N memegang kain ihram anaknya dari belakang. 

Terima kasih Allah kerana mendengar doa hambaMu ini. Hinggalah ke saat selesai Sa'i dan bertahalul,Kak N sentiasa berada di samping anak lelakinya. (Mungkin kak N juga telah berdoa di Kaabah memohon anak lelakinya diberikan petunjuk...Alhamdulillah)

Bekas berisi air zamzam ini banyak terdapat di dalam masjid, di perkarangan Kaabah dan kawasan Sa'i. Sedapnya....rasanya berbeza sekali dengan air zamzam bila dibawa balik...perbezaan cuaca kot! 

Sewaktu menikmati air zamzam bersama Encik Suami selepas solat Isyak di tingkat 2, kami terserempak dengan Pak Ya, agen Andalusia yang kami daftar dengannya di KL. Kami menghadiri kursus umrah di bawah bimbingannya di Kajang sebelum bertolak. Kami terpisah dengan kumpulannya yang bertolak 3hb. Sejak bertolak dari Malaysia tak pernah bersua dengannya.

Olehkerana layanan pihak pengurusan dan mutawwif group 4hb di Hijjaz Palace ini tidak ada masalah, kami taklah menghubungi Pak Ya (dia suruh hubungi dia kalau ada apa-apa masalah). Siapa sangka jumpa Pak Ya hari ini...(Pak Ya ni orang Jawa Muar. Selalunya bila berjumpa Encik Suami, dia akan speaking Jawa. Encik Suami panggil Pak Ya, wak)

Pak Ya maklumkan semalam dia call Encik Suami mengajak bersama-sama Qiyamulail di Masjidil Haram bersama groupnya tetapi telefon tidak berangkat. Encik Suami meminta maaf kerana tidak perasan akan panggilan itu. Kami memang tak perasan langsung!

Dia kemudiannya memberitahu dia mencari nama kami di Abeer Garden namun dimaklumkan kami ditempatkan di Hijjaz sewaktu tiba di Mekah. Tambah terkejut bila dia maklumkan ada jemaah yang minta dipindahkan ke Hijjaz kerana jaraknya ke Masjidil Haram hanya 150m sahaja kena membayar tambahan RM500 seorang.
 
Bagaimana pula dengan kes kami? Pak Ya kata, kerana kami ni dipindahkan oleh pihak Anadalusia sendiri..kami tidak dikenakan apa-apa bayaran.

Kata Pak Ya, itu rezeki kami!

P/S Sempat turun ke bawah...mencari Abeer Garden Hotel yang sepatutnya menjadi hotel penginapan kami.

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari ke9 (Part 1)

 Anim mula batuk dan selsema. Kepala pun berat semacam. Waktu siang...sihat, boleh ke masjid, boleh tawaf sunat. Bila malam, menggigil kesejukan. Bekalan panadol yang dibawa tinggal sepeket lagi. Anim hanya dapat memanjatkan doa supaya Anim dapat terus meneruskan ibadat di Mekah.

Fasal sakit-sakit ni...terharu dan kagum melihat jemaah tua yang uzur, yang dipimpin,  yang berkerusi roda, yang berbungkus kaki, yang bongkok hingga hampir mencecah lutut pun boleh tawaf...boleh sa'i...boleh solat..Inikan pula dugaan yang diberi buat Anim yang masih mampu berdiri, makan, minum dan berjalan..
Selepas sarapan pagi, berkumpul di luar hotel untuk ziarah luar. Destinasi pertama kami ialah di Jabal Thur, Arafah. Jabal Thur merupakan tempat persembunyian Rasullullah s.a.w. & Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. ketika dalam perjalanan berhijrah ke kota Madinah. Namun waktu ini terdapat jentera berat di sana. Tengok sajalah dari jauh.
Destinasi ke2, ialah Jabal Rahmah. Di sinilah tempat pertemuan semula nabi Adam Alaihissalam dan Hawa setelah dipisahkan 100 tahun lamanya dari syurga ke bumi. Eloklah berdoa di sini untuk para bujang dan teruna yang mencari jodoh. Di Jabal Rahmah juga merupakan tempat mustajab doa bagi kaum lelaki yang ingin menambah cawangan. Haa.... bah..tak nak daki ke bukit tu?

Bila lagi nak tunggang unta? Nilah masanya....hihihi

Dibawa melawat sekitar Mina. Khemah-khemah kosong ini hanya digunakan pada musim haji.

Destinasi terakhir di Ja'ranah, satu lagi miqat tempat jemaah berniat umrah. Di sini kami mengenakan pakaian ihram, solat tahiyyatul masjid dan solat sunat ihram. Setelah itu, kami kembali ke Mekah untuk menyempurnakan ibadat umrah. 


Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke8

Hari ini pihak travel tidak membuat ziarah luar. Bagaimanapun ceramah agama diadakan di dewan makan hotel untuk jemaah Andalusia penerbangan 4hb. Kami turut serta dalam majlis ceramah agama oleh Ustaz (lupa namanya) jam 7.30 pagi.

Menurut ustaz, segala-galanya bermula dari hati. Cara nak sucikan hati ialah rajin mengikut majlis ilmu dan duduk mendengar ceramah agama. Memang diri ini mengakui jarang berkesempatan melakukan perkara-perkara ini sebelum ini. Sibuk dengan urusan dunia yang tak habis-habis.Pengajarannya, dalam kita berusaha memperoleh sesuatu, pastikan faedah yang kita dapat lebih besar dari apa yang kita hilang. Contohnya...menghadiri majlis ilmu, kita memperoleh ilmu, peringatan tetapi kita akan hilang waktu rehat, waktu bersantai. Kita memilih rehat..tetapi kita mungkin terlepas peluang berada dalam masjid ilmu. Malaikat turun memberikan ketenangan dan rahmat di majlis ilmu dan majlis zikir. Seterusnya Ustaz menerangkan tempat-tempat mustajab doa dan waktu yang paling mustajab doanya.Ya Allah...ada hajat yang nak kupohon pada Mu..perkenankanlah

Di Madinah, kotanya tersusun , bersih dan cantik. Kita lebih tenang beribadat di sana. Jemaah tidak dibenarkan membawa kasut sewaktu bersolat dan meletakkan kasut ditempat yang disediakan . Di Mekah, lain pula. Jemaah membawa selipar masuk ke tempat bersolat. Ada jemaah yang tidak memasukkan selipar dalam uncang kasut dan meletakkannya di depan tempat dia bersujud. Kata Encik Suami, ada jemaah lelaki yang meletakkan selipar mereka di celah kaki waktu bersolat walhal ada jemaah yang bersolat di belakangnya . Silap-silap waktu bersujud, kepala kena selipar dia.Astagfirullahalazim...kena banyak bersabar....Ingat..kita dalam masjid.

Di Mekah ni...MACAM-MACAM ADA. Di sini ada malaikat...di sini juga ada syaitan. Selalu melihat gelagat jemaah selepas solat di kawasan berhadapan Hilton Mekah. Gelagat anak-anak negara Afrika yang meminta sedekah . Dengan selamba si ibu yang berpurdah hitam meletakkan anak-anaknya di tengah jalan. Mereka berpura-pura kudung kedua belah tangan(walhal terlihat dengan jelas tangan mereka dilipat). Anim  ternampak ada jemaah lelaki cuba memegang tangan kudung mereka...pandai pulak mereka marah.

Anim pernah juga ternampak seorang jemaah wanita tua (Indonesia ) memberikan wang kepada salah seorang peminta sedekah cilik itu...kemudiannya dia dikerumun oleh peminta sedekah yang lain. Dekat 6 orang yang kerumun hingga makcik tu menepis-nepis ketakutan. Pendekata....terpulanglah pada setiap individu untuk bersedekah.Insya-Allah, selalunya kita didatangi individu yang layak menerimanya bila kita benar-benar berhajat untuk bersedekah hari itu.
 
Di depan Hilton Mekah itu juga kawasan memberi makan burung merpati. Makanan burung banyak dijual oleh warga Afrika berpurdah di situ. Rata-rata jemaah India, Pakistan dan Bangladesh yang banyak memberi burung makan berbanding jemaah negara lain. Di laluan itu juga banyak kedai-kedai makan dan restoran.Lepas solat, penuhlah kawasan itu dengan jemaah mencari makanan. Bagaimanapun kebersihan tidak terjaga. Dengan selamba mereka membuang atau meninggalkan bekas makanan merata tempat walhal tong-tong sampah besar disediakan di kaki lima jalan. Sedih lihat sikap mereka walhal kebersihan dituntut di dalam Islam.
 
Olehkerana hari ini hari Jumaat, kami diingatkan supaya datang lebih awal ke masjid. Jam 11 pagi Anim dah beriktikaf di Masjidil Haram. Kali ini naik escalator di Gate 91. Ramainya jemaah hari Jumaat. Kalau jam 11 dah penuh begini...apalagi jam 1 nanti masa solat Jumaat. Nak merasa pengalaman bersolat Jumaat di Masjidil Haram. Kat Malaysia orang perempuan tak berpeluang sembahyang Jumaat. Terus duduk di bahagian hadapan .Kawasan tak berairconditioned. Angin dingin semulajadi di sini. Boleh tengok Kaabah dari atas. Duduk mengadap Kaabah ni berjam-jam pun tak jemu..tak penat. 
 
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
"Pada Kaabah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya setiap hari., iaitu 60 untuk tawaf, 40 untuk solat sunat dan 20 untuk melihat Kaabah"

Pandangan dari tingkat 2 (roof level ditutup pada musim umrah)

 Jemaah mencari makanan selepas solat berdekatan Hilton Mekah dan Bin Dawood. Olehkerana di laluan ini juga hotel penginapan Anim, senanglah singgah mencari aiskrim dan lassi Mango@Orange@Delima .

P/S Giliran Anim pula rasa tak sedap badan. Cuaca di Mekah dingin tetapi kering. Bibir dah mula pecah-pecah. Asyik pekena lassi mango kot. Kak Pah dah pesan, jangan minum air zamzam yang sejuk...tapi kadang2 terlepas jugak...


Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke7

Hari ini kami dibawa miqat umrah sunat di Tana'im dengan bas. Tak penuh pun bas yang boleh memuatkan 40 penumpang. Ramai yang nak pergi sendiri kot.

Selepas solat Tahhiyatul Masjid di Masjid Tana'im dan bermiqat, kami balik semula ke Tanah Haram. (Masjid Tana'im merupakan kawasan miqat paling dekat dengan Kota Mekah). Insya-Allah...ada peluang nanti, kami akan pergi sendiri.

Jemaah yang mengikut Ustaz Aryan mengerjakan umrah tak sampai 15 orang. Olehkerana ini merupakan umrah kami ke 2, kami tak lepas peluang mengikut mutawwif. Ibarat budak baru belajar...kena terus berguru.

Anim dihampiri oleh kak N yang berusia lewat 50an. Dia yang datang bersama anak lelaki dan menantu datang dan memegang tangan Anim. (Waktu umrah wajib pertama tempohari, dia berada di sebelah Anim sewaktu tawaf dan sa'ei).

 "Kak nak ikut awaklah" katanya.

Anim meminta Kak N supaya bertenang saja masa bertawaf dan jangan gopoh gapah. Jangan tercari-cari dan terkejar-kejar. Hari Khamis (dan Jumaat) merupakan cuti umum di Arab Saudi . Maka ramailah penduduk Arab Saudi dari Jeddah, Madinah dan sebagainya datang ke Kota Mekah untuk membuat umrah. Khabarnya harga hotel pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat melonjak ke 2 kali ganda. 

Sewaktu pusingan tawaf ke 5, Anim terbatal wuduk terkentut...hoho. Kami terputus dari group kami. Anim meminta Kak N terus ikut tawaf dibelakang Encik Suami kerana Anim perlu keluar dari kawasan tawaf untuk memperbaharui wuduk. Toilet di Masjidil Haram ni jauh ke bawah. Kena keluar dari Masjidil Haram dan turun escalator.

Anim ambil wuduk di kawasan air zamzam berpaip (kawasan wanita). Kemudian Anim menghabiskan 2 pusingan tawaf sendiri. Selepas melalukan solat sunat tawaf bertentangan dengan Multazam, Anim mencari Encik Suami dan Kak N di perkarangan Kaabah. Anim ternampak kelibat Encik Suami dan menghampirinya.

"Mana kak N?"

Kata Encik Suami, selepas tawaf, dia nak solat sunat tawaf. Dia minta kak N tunggu di tangga belakang tak jauh dari tempat dia bersolat dan berpesan kepadanya, jangan ke mana-mana. Sebaik solat, dia dapati kak N tiada di situ. Puas dia mencari tapi tak berjumpa. Encik Suami minta Anim pula cuba mencari kak N.
 
Hampir 20 minit mencari di perkarangan Kaabah dan kawasan tangga...Anim surrender. Jemaah makin ramai. Nampak putih semua....tak terpandang oleh mata. Anim balik semula menemui Encik Suami.

"Tak adalah bah. Agaknya dia dapat cari group kita tak?" kerana kak N ni sedikit gelabah.

"Kita dah terputus dengan group. Kalau dia hilang macamana? Deorang tau dah dia ikut kita tadi. Dah jadi tanggungjawab kita. Kenapa Ummi bawak dia tadi?" nada suara dah lain macam...

"Dah dia pegang tangan Ummi. Takkan Ummi nak tolak. Sabarlah bah...Allah nak uji kita. Macamnilah agaknya keadaan kita nanti bila bawak orangtua kemari."

"Masalahnya kita orang baru. Ikutlah mutawwif. Anak dia ada..menantu dia pun ada."

Anim tak mahu panjang2kan keadaan yang "panas" itu..Anim ajak Encik Suami ke tempat sa'ie.

Alhamdulillah, Anim nampak kelibat kak N bersama group kami sedang melakukan sa'ie.
(Encik Suami diam seribu bahasa. Dalam marahnya dia tu tadi..Anim sedar sebenarnya terselit rasa tanggungjawabnya terhadap kak N, bimbang kak N hilang)

 Sepanjang 3 pusingan Safa-Marwah, Encik Suami masih tidak bersuara. Mulutnya saja terkumat kamit membaca doa .

"Bah, Ummi minta maaf. Ummi sendiri tak tahu kenapa dalam banyak2 jemaah...Ummi yang dipilih kak N. Ummi anggap ini ujian Allah. Kita asyik menyebut nak bawa emak dan bapak p haji..Allah uji kita di sini. Kita kena bersabar " 

Airmata Anim mengalir deras. Rasa bersalah dan berdosa menyebabkan kemarahan suami. Sepanjang mengenali Kak N beberapa hari ini, kami perasan dia dibiarkan bersendirian oleh anak dan menantunya. Dalam bas duduk sendiri, makan di dewan makan sendiri. Dia langsung tak bercakap dengan menantu perempuannya. Anim tak nak bersangka buruk cuma Anim simpati dengan Kak N.

Tak lama kemudian azan Zuhor berkumandang. Kami baru menghabiskan pusingan ke 4. Encik Suami memberitahu kami akan sambung saie selepas solat Zuhur.

(Perlu diingat kawasan Sa'i tidak termasuk Masjidil Haram walaupun satu bumbung. Jadi...kalau nak dapat pahala bersolat di Masjidil Haram...kena keluar dari kawasan sa'ie.)

Usai solat , Anim menunggu Encik Suami di Bukit Safa untuk menyambung sa'ie. Dia datang memegang bahu Anim sambil berbisik:

"Abah mintak maaf. Abah memang hot temper tadi. Abah takut dia sesat. Lain kali kalau dia nak ikut Anim, katalah Anim sendiri orang baru. Ikutlah mutawwif, ikutlah anak dia...lagi senang, dia boleh pegang anak dia..tak batal wuduk"

 Selepas selesai sa'ie dan bertahalul, kami sepakat untuk tidak pulang ke bilik. Menunggu solat Asar di Masjidil Haram dan pulang bersama-sama ke hotel penginapan. Kami mencapai uncang kasut yang ditinggalkan di Gate 1 (kami tak bawa uncang kasut bersama ke dalam masjid sebab nak bimbang selipar terkena najis jika dibawa bertwaf)

Selipar Encik Suami yang dimasukkan ke dalam uncang tinggal sebelah saja. Puas mencari-cari di kawasan sekitar...tapi tak jumpa. Hairan bin ajaib. Kalau nak hilang, hilanglah dua-dua. Ni sebelah aja. Haaa...ada makna ni. Tergelak besar Encik Suami bila Anim mengusik,

"Tulah...marah-marah dalam Masjidil Haram. Kan dah hilang satu selipar"

Sudahnya selipar satu lagi tu ditinggalkan saja di situ dan balik ke hotel berkaki ayam. Sepanjang perjalanan pulang...kami masih tergelak lucu. Elok sahaja selesai membeli selipar baru di gerai berdekatan hotel, dia menyuarakan hasrat untuk memotong pendek rambutnya.

" Dah 20 tahun kita kahwin, tak pernah Ummi lihat abah botak...apasalahnya"

"Botak tunggu haji lah. Potong no.2 ajalah dulu..."

P/S Setiap kejadian yang berlaku pasti ada sebab musababnya. Anggaplah itu ujian Allah. Ikhlas dan redha. Banyakkan bersabar...itulah kunci utama.


Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke6

Encik Suami demam panas . Selepas bersarapan pagi dan naik ke bilik,dia meminta Anim menyapu pinggangnya dengan minyak unta yang dibeli di Madinah . Demam urat kot....penat perjalanan dari Malaysia, kemudian 5 jam dari Madinah ke Mekah. Di Mekah pula hujan renyai semasa tiba. Kebetulan dalam ihram...mana boleh tutup kepala. Dia memang sensitif dengan hujan renyai...hujan lebat, basah kuyup tak pe. Nasib baik kami memilih pakej umrah 2 sebilik. Walaupun mahal sedikit (lebih RM500 seorang berbanding 4 sebilik)..bolehlah Anim pantau kesihatannya.
 
Keadaan Encik Suami bertambah teruk selepas pulang solat Zuhor di Masjidil Haram . Dia "tumbang" di katil. Bekalan ubat darah tinggi, panadol, plaster koyok, minyak kapak dan minyak gamat yang dibawa dari Malaysia sudah tersedia. Dia menelan panadol dan Anim tampalkan "koyok" ke dahi, tengkuk dan pinggangnya. Air zamzam yang mudah didapati di Masjidil Haram, Anim suakan ke mulutnya dan sapukan ke atas kepalanya. Anim suruh dia tidur dan Anim akan kejutkan menjelang Asar.
 
"Bah..dah dekat Asar. Boleh bangun solat ke?"

"Ummi boleh pergi masjid sendiri tak? Abah tak boleh angkat kepala. Sakit satu badan. Abah solat kat bilik aja."

Tapi Anim menggeleng-gelengkan kepala. Tak pelah, Anim kata Anim tunggu dia dan kami solat bersama di bilik.

Sebaik azan Asar berkumandang, Encik Suami membuka mata...

"Ummi, abah nak solat di masjid. Tapi..tak sempat nak berjemaah nampaknya. Kita solat ber2 nanti ya"

"Ok dah ke? Lepas tu kita tawaf sunat. Slow ajalah. Tak yah rushing. Pusing bulatan paling jauh pun tak apa, tak bersesak.Kalau abah laratlah nanti"


Kami ke Masjidil Haram sebaik sahaja jemaah selesai bersolat jemaah Asar. Sebaik solat Asar berimamkan Encik Suami (di Masjidil Haram tidak seketat peraturannya berbanding di Madinah), kami memulakan tawaf sunat. Perlahan sahaja langkah Encik Suami. Anim mengikutnya dari belakang. Dari bulatan paling jauh kami tawaf..terdapat ruang kosong di tengah..dan akhirnya kami berada di bulatan paling dekat dengan Kaabah.
 
Setelah tamat 7 pusingan, payah pula nak keluar. Dengan tidak semena-mena, kami berada terlalu dekat dengan Kaabah.  Encik Suami menarik telekung Anim dan........alangkah terharunya bila kami dapat menyentuh dan mencium Kaabah. Airmata mengalir tak henti. 

Kemudian sewaktu nak bergerak keluar...kami dapat singgah di Hijr Ismail (luar). Nak masuk ke dalam dan bersolat di bawah pancuran emas Kaabah ( mustajab doa) tak dapat. Punyalah ramai jemaah...lelaki, perempuan berhimpit-himpit. Tak selesalah pulak bila keadaan begitu di depan Kaabah. "Tak apalah...kita berdoa di sini. Lain kali kita cuba lagi." 

Memanjat doa pada Allah SWT, merayu rahmatNya.. agar hidup sentiasa diberkati Nya. Bersyukur dengan peluang yang diberikan hari ini walaupun pada awalnya bimbang dengan kesihatan Encik Suami .


 Hijr Ismail oleh carian goggle

P/S Dek kerana terlalu terharu dapat menyentuh, mencium Kaabah dan berdoa di Hijr Ismail, demam Encik Suami kebah serta merta. Kami bertekad untuk menjadi insan yang lebih baik dari semalam.

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke5

Kami tiba di Mekah jam 2.00 pagi. Hijjaz Palace terletak kira-kira 150m dari perkarangan Masjidil Haram. Alhamdulillah...dekat sangat. Selepas meletakkan beg di bilik (Anim berdua sebilik dengan Encik Suami) dan memperbaharui wuduk , jam 2.30 pagi sudah ada di lobi hotel. Ustaz Aryan akan membawa kami membuat umrah pagi ini juga. Maklumlah..masing-masing masih dalam ihram.

Dengan tidak semena-mena, hujan turun renyai-renyai sewaktu kami memulakan langkah ke Masjidil Haram. "Hujan rahmat buat kita. Kita teruskan ya. Masa tawaf saja kena hujan. Sa'ie tak ada masalah" kata Ustaz Aryan.

Perasaan hiba berbaur sayu muncul sewaktu memandang buat pertama kalinya Masjidil Haram. Suasana pagi masih sibuk dengan gelagat jemaah yang keluar masuk. Syukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk hambaNya yang serba kekurangan ini mengunjungi Masjidil Haram.

 Kami mengikut  mutawwif membaca doa apabila masuk ke Masjidil Haram. Pendekata..tak perlu risau buka buku doa. Semua ikut mutawwif. Selepas bersolat Tahhiyatul Masjid serta solat jamak Maghrib /Isyak berimamkan Ustaz Aryan  , kami menuruni tangga untuk ke daratan Kaabah. Menitis air mata menatap Kaabah di hadapan mata. Kalau selama ini..Kaabah hanya mampu dipandang di sejadah...kali ini tersergam Kaabah yang agung dan mulia itu di hadapan mata. Subhanallah!!!


Hujan renyai tadi berhenti tiba-tiba. Namun begitu perkarangan Kaabah masih basah. Anim dan Encik Suami memulakan tawaf iaitu rukun umrah ke 2 buat pertama kalinya mengikut mutawwif dan rakan-rakan jemaah. Jam 3 pagi, taklah terlalu sesak dengan jemaah lain yang melakukan tawaf. Kami pun tak terputus barisan dengan mutawwif dan rakan-rakan jemaah serombongan.

Selesai tawaf, kami melakukan solat sunat tawaf . Ustaz Aryan kemudiannya meminta kami meminta maaf di antara satu sama lain, di antara jemaah, di antara anak-ibu, di antara kakak-adik dan suami isteri. Aduhh..hening pagi itu kedengaran suara tangisan kecil. Sedih.....

Kami kemudiannya memulakan rukun umrah ke3 iaitu sa'ie . Bergema kawasan Safa-Marwah itu dengan suara kumpulan jemaah Turki yang membaca doa dengan kuat. Walaupun penat di dalam bas belum hilang...bersemangat menyelesaikan sa'ie sehinggalah kepada rukun umrah ke 4 iaitu bertahalul (bergunting). Alhamdulillah...ibadat umrah wajib kami selesai jam 4 pagi

  Suasana selepas solat fardu di luar Masjidil Haram

"Alhamdulillah, sudah selesai. Kalau ada jemaah yang mahu menunggu solat Subuh di masjid, silakan. Kalau ada yang mahu pulang ke hotel, menyalin pakaian dan sebagainya boleh ikut saya. Masih ada banyak masa lagi untuk solat Subuh. " kata Ustaz Aryan .
 
Hampir separuh jemaah memilih untuk tinggal di masjid. Anim dan Encik Suami memutuskan untuk pulang ke hotel , berehat, mandi dan menukar pakaian. Aduh...letihnya badan. Bayangkanlah 4 jam duduk di dalam bas. Bukan boleh lena sangat pun. Tiba Mekah, terus buat umrah yang memakan masa hampir 2 jam . Tiba di bilik, rehatkan diri di atas katil dengan meluruskan kaki sambil bersandar di dinding.

"Bah, Ummi baring kejap boleh? Letih betul badan dan kaki ni"

"Eh, nanti tertidur. terlepas Subuh. Sayang tak berjemaah. Pahala solat 100,000 kali "

"Tak. Baring kejap aja. Sementara abah p mandi, Ummi baring kejap. Letih sangat badan ni tadi duduk dalam bas"

Anim pun tak ingat apa berlaku. Sedar-sedar bila terjaga, Anim lihat Encik Suami pun terlena di katil satu lagi. (Bilik kami 2 katil bujang). Laaa...dia pun terlena jugak!!!! Alamak......

"Bah..bah..Ya Allah. Abah pun tertidur jugak ke? Astagfirullahal'azim...terlepaslah Subuh kita. Dah pukul berapa ni? " sambil mencari jam dan menyelak langsir tingkap.

 "Ya Allah...abah pun tertidur. Tak tau macamana boleh lena. Tadi duduk-duduk kat katil aja"

Macam dah berjam-jam kami lena. Puas rasanya tidur tadi. Sedih kerana "kesiangan"..menyebabkan kami terlepas solat Subuh buat pertama kalinya di Masjidil Haram.

"Eh, gelap lagi kat luar. Orang, ramai lagi berjalan ke masjid . Pukul berapa ni?"

Subhanallah.....baru pukul 4.20 pagi. Ini bermakna kami lena dalam 15 minit sahaja tetapi rasanya sudah berjam-jam kami tidur.
 
Menitik airmata mengenang kebesaran Allah dan rahmat yang diberi kepada kami dihari pertama menjejakkan kaki ke bumi Mekah al Mukarramah. Disinilah Rasulullah s.aw dilahirkan, disinilah Baginda diangkat menjadi Rasul dan menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.

Kesimpulannya, Anim dan Encik Suami berkesempatan mandi, bertukar pakaian dan menuju ke Masjidil Haram sebelum azan Subuh. Alhamdulillah...

P/S Selama ini mendengar suara imam Masjidil Haram di televisyen dan kaset/Cd...kali ini secara live. Meremang bulu roma mendengar bacaannya..

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari Ke4 ~Labaikallahumalabaik...

Kata orang..kalau nak membeli belah, elok di Madinah. Barangan lebih murah. Peniaga lebih mesra. Memang mesra lah Pak Arab tu...pantang tau kita orang Malaysia..amboi dipuji-pujinya, Encik Suami dipeluk dan dicium dek Pak Arab. Orang Malaysia kuat shopping kot..tu Pak Arab suka orang Malaysia mai kedai dia.

Kat Madinah, "gila shopping" Anim tak menjadi. Tak taulah...tak ada "perasaan" nak shopping. Ada tak ada, beli jubah untuk anak, oleh-ole untuk kawan2 dan adik-beradik..Agaknya terlepas cakap kot. Sebelum pergi, Anim diusik oleh rakan sekerja, Faizah. "Kak Anim, puas shoppinglah nanti pergi sana. Kak Anim kan suka shopping"

Anim jawab, "Tak kot. Kak pergi ni..takde teringat nak shopping .Tak rasa nak beli apa la." Haaaaa...tu lah. Terus tak ada "perasaan" tengok barangan yang dijual...baru tau!!...

Selepas 4 hari berada di Madinah, beribadat di Masjid Nabawi dan menziarahi Rasulullah s.a.w, tibalah masanya jemaah umrah berangkat ke Mekah. Bererti...akan bermulalah ibadat umrah.

Selepas mandi sunat ihram dan bersedia dengan pakaian ihram , jam 2.30 petang kami bertolak ke Mekah. Kami akan berniat umrah apabila tiba di Miqat Bi'r Ali. Jemaah seramai 80 orang (40 lagi jemaah penerbangan 5hb) dibahagikan kepada 2 bas.

Kalau di Madinah kami semua ditempatkan di satu hotel, kali ini kami ditempatkan di hotel berasingan. Sepatutnya Anim dan Encik Suami ditempatkan di Abeer Garden (ikut surat asal) alih-alih diberitahu kami ber2 dipindahkan ke Hijjaz Palace. Ikutlah...sebagai jemaah yang pertama kali ke tanah suci..kami tak membantah. Mana-manalah, janji ada tempat tidur!!

Bir Aliy (Zulhulaifah) ialah kawasan miqat (tempat dan masa untuk berniat ihram) bagi jemaah yang memasuki Mekah dari Madinah. Di sini ada sebuah masjid yang dibina untuk kemudahan jemaah umrah. Kedudukannya dari kota Madinah lebih kurang 10km. Kedudukannya dari Kota Mekah ialah lebihkurang 350km.

Perjalanan ke Mekah mengambil masa 4 jam. Sepanjang perjalanan, para jemaah diajak bertalbiah oleh mutawwif. Airmata tak tertahan-tahan lagi...Ya Allah..Kau terimalah amal ibadatku..Kau terimalah pengampunan dosaku...Kau dengar dan maqbulkanlah permintaan hambaMu ini....

P/S Tak dapat digambarkan ketenangan yang diperolehi bila dapat mengosongkan hati dari urusan dunia di sini...Allahuakbar!!

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari ke4 ~Airmata di Raudhah

Selepas solat berjemaah di Masjid Nabawi, Anim dan Encik Suami balik semula ke hotel untuk breakfast. Jam 7.30 pagi kami berjalan ke Masjid Nabawi semula untuk membuat ziarah wada' buat Rasulullah s.a.w. Kami berjanji untuk bertemu semula jam 10.30 pagi di hadapan gate laluan wanita.(Nak p mencari jubah si Abdul..itulah yang dipesannya sebelum berangkat tempohari). Sebelum itu, kami sempat memerhatikan kubah Masjid Nabawi dari kejauhan. Encik Suami sempat snap gambar kubah tu. Bukan apa...Anim pernah terbaca satu artikel mengenai kubah Masjid Nabawi di sini.

Namun..hanya di Masjid Nabawi sahaja yang punya objek terikat di atas kubahnya (ada yang kata itu alat penahan petir). Terpulanglah pada tafsiran readers sendiri.

Anim terus ke kawasan laluan Makam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dan para sahabat. Tu dia....jemaah dah beratur sepanjang 50 meter. Jemaah Asia diarahkan duduk menunggu dahulu seperti biasa. Aduh...bila nak dapat giliran masuk ni? 

"Ibu, duduk ibu...Ibu..sobar ibu" itu saja arahan petugas masjid bila jemaah Asia merayu untuk masuk ke laluan Makam Rasulullah s.a.w (termasuklah Anim). Kalau jemaah Turki, Arab...cepat pula dapat meloloskan diri. Ya Rasulullah s.a.w...aku ingin mengucapkan Selamat Tinggal kepadamu.

Anim diarahkan duduk dikelompok jemaah Asia yang lain. Anim mengambil kesempatan solat Tahiyatul Masjid dan Solat Taubat di situ. "Ah...aku mesti cuba"

Sewaktu petugas masjid sibuk mengarahkan para jemaah mengambil giliran, tanpa disedarinya Anim meloloskan diri dari kawalan pertama. Tiba pada kawalan ke 2, seorang petugas masjid berpurdah menghampiri Anim. "Ibu..tunggu ibu...tunggu sini ibu"

Dengan tidak semena-mena, hati jadi sebak. Alamak..tersekat di sini. Dengan linangan airmata..Anim katakan padanya, "Ana...Mekah. Ana....Rasulullah s.a.w" sambil memegang tangannya. (Sebenarnya nak kata...saya nak ke Mekah ni. Saya nak jumpa Rasulullah sebelum ke sana) Dia memandang wajah Anim dan membiarkan Anim berlalu pergi.Alhamdulillah....syukur.

Masya-Allah, keadaan terlalu sesak hari ini berbanding 2 hari lalu. Badan Anim tersepit dicelah-celah kumpulan jemaah Turki. Olehkerana Anim seorang diri, Anim menyelit dicelah-celah group mereka.. Anim mengikut sahaja "alunan badan"...ditolak ke kanan, ditolak ke kiri..maklumlah badan mereka boleh tahan besar. Lepas tu..kalau depa dalam satu group..payah nak menyelit. Depa tak bagi chance.

Anim memberikan salam kepada Rasulullah dan menyebut dihati: "Wahai Rasulullah, ku ucapkan selamat tinggal kepadamu. Ku berdoa kepada Allah SWT , mudah-mudahan diizinkan untukku menziarahimu kali berikutnya" Kemudian Anim terus diasak ke hadapan dan bila Anim menoleh ke bawah....karpet hijau!!!!Ya Allah...kau permudahkan hajatku.Aku benar-benar berada di Raudhah sekarang.

Mana ruang nak solat ni? Nak bergerak seinci pun payah apalagi nak angkat takbir..nak solat. Terdengar jeritan petugas..."Ziarah..ziarah". Agaknya dia nak bagitau, ziarah saja...jangan solat. Tapi, peluang di depan mata mana boleh dilepaskan. Dalam keadaan bersesak dan terhimpit, Anim terlihat ruang kosong dihadapan. Syukur ke hadrat Allah, Anim gunakan kesempatan itu untuk bersolat Dhuha di situ. Terima kasih Allah..Hiba hati bila permintaan dimakbulkan Allah. Airmata tak tertahan-tahan lagi. Benarlah...begitu mudah airmata mengalir di sini. Sembahyang di Malaysia....payahnya airmata nak keluar.

Hari terakhir di Madinah selepas solat di Raudhah

Sempat lagi Solat Syukur di kawasan berhampiran Raudhah (karpet merah) walaupun jemaah lain diarahkan keluar terus dari situ dan tidak dibenarkan solat. "Hajjah, ziarah...hajjah" jerit petugas bila jemaah cuba bersolat di situ..Alhamdulillah, rezeki buat Anim kerana sempat menadah tangan berdoa di situ sebelum bergerak keluar masjid. Encik Suami dah sedia menunggu di luar. Airmata dah tak tertahan-tahan lagi. "Bah, Ummi dapat solat di Raudhah hari ini"

P/S Panjang dah n3 ni...sambung nanti Hari ke4 (part 2)

Artikel berkaitan:

Jejak Musafir Hari ke3~Ziarah Luar

Seawal 7.30 pagi kami sudah berada di dalam perut bas. Di bawa menziarahi Masjid Quba. Masjid yang terletak kira-kira 4.8km dari Masjid Nabawi ini merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah s.aw bersama sahabat-sahabat Baginda ketika tiba di Madinah. Antara kelebihan Masjid Quba' sepertimana hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengambil wuduk di rumahnya, kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat umrah" (Riwayat Ibn Majah)

Mengambil kesempatan membeli kurma segar yang manis ini..Saudi Riyal 10 sekilogram.

 Kami kemudian dibawa ke Jabal Uhud dan medan peperangan Uhud. Mengimbau sejarah peperangan Uhud yang diharungi Rasulullah s.a.w pada tahun ke 5 Hijrah. Di sinilah terletaknya makam para syuhada' Uhud. Antaranya ialah makam Saidina Hamzah r.a

Berlatarbelakangkan Bukit Uhud

Di bawa ke Bazar Kurma/Ladang Kurma. Bermacam-macam jenis kurma ada. Mencari kurma ajwa..SR 70 sekilogram di sini

Memilih coklat Mekah. Rata-rata pengunjung yang banyak memborong ialah jemaah Malaysia dan Indonesia. Biasalah kan...bab berbelanja memang menang kat orang kita..

Seterusnya kami dibawa menziarahi Masjid Qiblatain. Kami bersolat Tahiyyatul Masjid di sini. Tiada kelebihan bersolat di masjid ini berbanding masjid Nabawi atau masjid Quba. Masjid Qiblatain mengingatkan kita kepada sejarah perubahan kiblat dari Masjid Al Aqsa ke Kaabah. Selepas turun ayat perubahan kiblat dari Masjidil Aqsa ke Kaabah. sebahagian sahabat r.a yang sedang solat di masjid ini dengan berkiblatkan masjidil Aqsa telah bergerak dan merubah posisi mereka ke Kaabah.

Selepas pulang menziarah, masih berkesempatan menunaikan Zuhor di masjid Nabawi. Balik sekejap ke hotel penginapan dan datang semula untuk solat Asar. Malas pula nak balik hotel. Berjanji dengan Encik Suami, berjumpa di jam besar selepas solat Maghrib.Sementara duduk beriktikaf di masjid Nabawi, sempat bertegur sapa dengan seorang jemaah Indonesia dari Jakarta yang friendly.

"Ibu sudah dapat pergi ke Raudhah?" sapanya selepas edisi pengenalan diri.

"Alhamdulillah, sudah. Semalam pagi. Kamu?"

"Ya alhamdulillah. Saya udah pagi tadi. Saya pergi seorang diri. Saya nekad saja. Allah menolong saya. Saya dapat solat 2 rakaat di sana. Di sana kan mustajab doanya" ujarnya.

"Ramai ngak pagi tadi? Bagaimana kamu solat ? Tak kena halau petugas masjid?"

"Berdoa dalam sujud bu. Sujud lama sikit . Kalau berdoa lepas solat memang kena usir. Kalau kita tengah sujud, takkan mau diusir. Ibu solat di karpet hijau?

Karpet hijau? Teringat pesan kak Pah...cari karpet hijau, itulah Raudhah. Semalam?? Rasa-rasa karpet merah. Ada Anim suarakan tentang warna karpet kepada makcik(ustazah) yang membawa Anim semalam. Namun jawapannya..."ini pun kawasan Raudhah". 

"Saya solat di karpet merah. Teman saya kata itu pun kawasan Raudhah"

"Raudhah karpet hijau, bu. Cubalah bu tengok sekali lagi. Cubalah..kalau kita bersungguh, Allah pasti membantu kita"

Anim ajukan tentang warna karpet Raudhah kepada Encik Suami selesai solat Maghrib. Sah! Kawasan Raudhah di karpet hijau. Cemburu dengar dia dah 3 kali bersolat di Raudhah)

Nak menziarahi Raudah lepas Isyak....jemaah Turki dah pasang barisan. Anim bertekad untuk ke Raudhah sekali lagi esok pagi untuk membuat ziarah wada' (ziarah selamat tinggal) buat Rasulullah s.a.w kerana kami akan berangkat ke Mekkah jam 2.30 petang esok.

P/S Hukum ziarah wada' buat Rasulullah s.a.w ialah sunat.

Artikel berkaitan: