Home · About Me · Sitemap ·

Jejak Musafir Hari ke3~Ziarah Luar

Seawal 7.30 pagi kami sudah berada di dalam perut bas. Di bawa menziarahi Masjid Quba. Masjid yang terletak kira-kira 4.8km dari Masjid Nabawi ini merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah s.aw bersama sahabat-sahabat Baginda ketika tiba di Madinah. Antara kelebihan Masjid Quba' sepertimana hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengambil wuduk di rumahnya, kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat umrah" (Riwayat Ibn Majah)

Mengambil kesempatan membeli kurma segar yang manis ini..Saudi Riyal 10 sekilogram.

 Kami kemudian dibawa ke Jabal Uhud dan medan peperangan Uhud. Mengimbau sejarah peperangan Uhud yang diharungi Rasulullah s.a.w pada tahun ke 5 Hijrah. Di sinilah terletaknya makam para syuhada' Uhud. Antaranya ialah makam Saidina Hamzah r.a

Berlatarbelakangkan Bukit Uhud

Di bawa ke Bazar Kurma/Ladang Kurma. Bermacam-macam jenis kurma ada. Mencari kurma ajwa..SR 70 sekilogram di sini

Memilih coklat Mekah. Rata-rata pengunjung yang banyak memborong ialah jemaah Malaysia dan Indonesia. Biasalah kan...bab berbelanja memang menang kat orang kita..

Seterusnya kami dibawa menziarahi Masjid Qiblatain. Kami bersolat Tahiyyatul Masjid di sini. Tiada kelebihan bersolat di masjid ini berbanding masjid Nabawi atau masjid Quba. Masjid Qiblatain mengingatkan kita kepada sejarah perubahan kiblat dari Masjid Al Aqsa ke Kaabah. Selepas turun ayat perubahan kiblat dari Masjidil Aqsa ke Kaabah. sebahagian sahabat r.a yang sedang solat di masjid ini dengan berkiblatkan masjidil Aqsa telah bergerak dan merubah posisi mereka ke Kaabah.

Selepas pulang menziarah, masih berkesempatan menunaikan Zuhor di masjid Nabawi. Balik sekejap ke hotel penginapan dan datang semula untuk solat Asar. Malas pula nak balik hotel. Berjanji dengan Encik Suami, berjumpa di jam besar selepas solat Maghrib.Sementara duduk beriktikaf di masjid Nabawi, sempat bertegur sapa dengan seorang jemaah Indonesia dari Jakarta yang friendly.

"Ibu sudah dapat pergi ke Raudhah?" sapanya selepas edisi pengenalan diri.

"Alhamdulillah, sudah. Semalam pagi. Kamu?"

"Ya alhamdulillah. Saya udah pagi tadi. Saya pergi seorang diri. Saya nekad saja. Allah menolong saya. Saya dapat solat 2 rakaat di sana. Di sana kan mustajab doanya" ujarnya.

"Ramai ngak pagi tadi? Bagaimana kamu solat ? Tak kena halau petugas masjid?"

"Berdoa dalam sujud bu. Sujud lama sikit . Kalau berdoa lepas solat memang kena usir. Kalau kita tengah sujud, takkan mau diusir. Ibu solat di karpet hijau?

Karpet hijau? Teringat pesan kak Pah...cari karpet hijau, itulah Raudhah. Semalam?? Rasa-rasa karpet merah. Ada Anim suarakan tentang warna karpet kepada makcik(ustazah) yang membawa Anim semalam. Namun jawapannya..."ini pun kawasan Raudhah". 

"Saya solat di karpet merah. Teman saya kata itu pun kawasan Raudhah"

"Raudhah karpet hijau, bu. Cubalah bu tengok sekali lagi. Cubalah..kalau kita bersungguh, Allah pasti membantu kita"

Anim ajukan tentang warna karpet Raudhah kepada Encik Suami selesai solat Maghrib. Sah! Kawasan Raudhah di karpet hijau. Cemburu dengar dia dah 3 kali bersolat di Raudhah)

Nak menziarahi Raudah lepas Isyak....jemaah Turki dah pasang barisan. Anim bertekad untuk ke Raudhah sekali lagi esok pagi untuk membuat ziarah wada' (ziarah selamat tinggal) buat Rasulullah s.a.w kerana kami akan berangkat ke Mekkah jam 2.30 petang esok.

P/S Hukum ziarah wada' buat Rasulullah s.a.w ialah sunat.

Artikel berkaitan:

Belum ada komen untuk "Jejak Musafir Hari ke3~Ziarah Luar"

Catat Ulasan

Komen anda amat dihargai