Ada orang bertanya mengenai tafsir ayat yang ke4 dan ke5 dari surah Al-Ma'un yang bermaksud:
"Maka Kecelakaanlah akan didapati orang-orang yang solat. Yang solat itu dalam keadaan lalai."
Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah mencadangkan bahawa neraka tersebut diperuntukkan bagi mereka yang mengerjakan solat, tetapi solat mereka itu dalam keadaan lalai dan lupa. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan lalai itu? Jawabnya, ada beberapa perkara yang termasuk di dalam ertikata lalai itu.
Pertama. Mereka yang lupa ketika mendirikan solat sehingga tidak disedarinya berapa rakaat solat yang sedang dikerjakannya itu.
Kedua. Mereka lalai dengan kedatangan waktu solat fardu ataupun mereka ingat waktu solat tetapi bertangguh-tangguh, nanti dulu, nanti sebentar lagi dan sebagainya. Mereka bertangguh-tangguh itu sama ada disebabkan urusan pekerjaan dan seumpamanya.
Termasuk juga dalam ertikata lalai ialah mereka yang melupakan maksud sebenar solat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Walaupun ia mendirikan solat namun bukan dari kesedaran akan maksud dan hikmat solat itu.
Ibnu Jabir pula mengertikan perkataan lalai itu ialah mereka tidak bersungguh-sungguh mengerjakannya. Dalam solat, ingatannya melayang kepada yang lain, tidak disegerakan untuk membulatkan ingatannya kepada Allah SWT.
Adapun maksud sebenar mengenai lalai dan lupa itu ialah mereka yang sekiranya melakukan solat di awal waktu itu merasa beruntung serta bersyukur kepada Allah SWT telah mengurniakan kepadanya sehingga dapat melakukan solat di awal waktu. Dan jika melambat-lambatkan solatnya sehingga dihujung waktu pun tidak merasa sesuatu yang merugikan malah tidak pula merasa keluh kesah kerana ia telah melewat-lewatkan kewajipan solat fardhu itu.
Orang yang telah sampai ke peringkat tidak merasai perbezaan antara solat di awal waktu atau solat di hujung waktu, maka dalam keadaan tersebut jika pun ia mendirikan solat tetapi malangnya ia telah direzabkan oleh Allah SWT untuk mendapat kedudukan yang selayaknya iaitu di dalam neraka.
Ada juga orang terlambat mengerjakan solat kerana ia tertidur.Walaupun tertidur dan terlupa itu suatu perbuatan yang tidak dikira salah disisi syariat, namun hendaklah diperhatikan dari pelbagai sudut. Apakah ia tidur setelah masuk waktu solat atau ketika waktu solat telah hampir tiba? Jika dalam keadaan itu, maka ia disifatkan sebagai cuai.
Dengan kecuaian itu juga Allah SWT akan mendatangkan balasannya sesuai dengan kecuaian yang telah dilakukannya. Tidur yang dianggap sebagai ibadah hanyalah tidur yang dilakukan sebagai modal untuk berjaga malam kerana hendak melakukan solat malam seperti yang digalakkan oleh Islam.
~Wallahua'lam~
P/S Sumber: Khusyuk Dalam Solat (Siri Tazkirah Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)
Belum ada komen untuk "Bahaya Solat Tanpa Khusyuk"
Catat Ulasan
Komen anda amat dihargai