Assalamualaikum wbt...
IKHLAS adalah perkara pokok dalam ibadat. Ia juga merupakan pintu pahala, amalan penolak bala dan sebab-sebab turunnya rahmat Allah SWT. Cara-cara ini mendatangkan keikhlasan di dalam amalan seharian:
1. Sentiasa menghadirkan niat dalam setiap amal perbuatan kita sehinggakan perkara-perkara yang remeh. Sepertimana yang dilakukan oleh seorang tabi'iin Abdul Rahmaan bin Yazid. Beliau sentiasa berniat ketika melakukan sesuatu sehinggakan makan dan minum.
2. Cuba tanamkan di dalam hati perasaan bencikan pujian daripada hasil amalan kita. Kita lakukan amalan di dunia adalah sebagai bekalan untuk berhadapan dengan Allah SWT bukannya amalan itu untuk kepentingan duniawi dengan mendapatkan kemahsyuran dan lain-lain. Di perhimpunan Mahsyar kelak, Allah SWT mencabar orang yang riyak supaya dia memanggil orang-orang kerananya dia lakukan amalan supaya mereka menolong si riyak tadi di hadapan Allah SWT.
3. Sentiasa memuhasabah setiap amalan yang dilakukan samada benar-benar kerana Allah SWT ataupun sebaliknya. Biasanya kita mengetahui keadaan niat kita. Kalau kita rasa tidak ikhlas, bersegeralah bertaubat serta beristighfar kepada Allah SWT. Antara sifat orang yang benar-benar ikhlas dengan Allah SWT, perasaan bahawa amalan kita tidak akan diterima oleh Allah SWT lalu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat mengikut kehendak Allah SWT.
4. Ulama telah menyebut dua syarat penting supaya amalan kita diterima oleh Allah SWT.
Pertama, ibadah yang betul dan bertepatan dengan kehendak syariat.
Kedua, yang benar-benar ikhlas kepada Allah SWT
5. Membiasakan diri dengan melakukan ibadat secara bersendirian dan jauh dari pandangan umum serta kita tidak suka kalau amalan kita diketahui umum. Salah satu cara terbaik adalah bangun sembahyang malam ketika mana orang tidur lena. Waktu itu kita hanya keseorangan bermunajat kepada Allah SWT serta doa pada waktu itu dimakbul oleh Allah SWT.
6. Tidak tertipu dengan pujian umum tentang kita serta sentiasa beristighfar jika dipuji serta menerangkan bahawa segala puji hanya layak bagi Allah SWT. Sentiasa bertawadduk dengan pujian orang, menyedari bahawa amalan yang kita lakukan tidak dapat untuk membalas nikmat yang telah Allah SWT anugerahkan kepada kita.
7. Cuba letak di dalam diri kita bahawa setiap amalan yang dilakukan hanya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT bukannya mengharapkan balasan manusia serta pujian mereka.
8. Di antara tanda keihklasan adalah sifat sabar di atas jalan Allah SWT. Sesungguhnya amalan yang dilakukan tidak semestinya mendapat balasan segera. Kadang-kadang kita mudah putus asa serta diselimuti oleh perasaan malas. Amalan yang ikhlas hasilnya besar di sisi Allah SWT walaupun kita tidak menikmatinya di dunia.
9. Orang yang benar-benar ikhlas akan merasakan kenikmatan dalam beribadat lalu dia sentiasa mempertingkatkan daya keimanan dengan menambahkan amalan-amalan sunatnya sehingga dia mencapai taraf kekasih Allah SWT yang setiap permintaan dikabulkan Allah SWT.
10. Menjauhkan diri daripada berbangga diri sendiri dan amalan yang dilakukan di samping mengelak daripada suka meninggikan diri sendiri.
11. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dijauhi daripada sifat riyak.
~Wallahua'lam~
P/S Sumber : 26 Pintu Pahala Ke Arah Insan Mukmin, Al Hidayah Publications.
gud info..tq anim
BalasPadamena, peringatan buat diri saya sendiri..
BalasPadam