Home · About Me · Sitemap ·

Mudah-mudahan Niat Termakbul


Selepas mengambil jubah konvokesyen minggu lalu di Main Campus OUM di Jln.Tun Ismail, Anim sempat mengajak Encik Suami ke Shah Alam. Anak-anak kami tinggalkan bersama adik ipar di Rawang.

Kali ni Encik Suami fenin tujuan Anim ajak ke Kompleks PKNS lagi kerana baju untuk konvo tu Anim kata boleh guna untuk raya nanti...huhu

Terkejut gorila (kata Ustaz Kazim) bila Anim masuk ke kedai menjual barangan umrah/haji. Dan tambah terkejut bila Anim mencuba, memilih dan meletakkan (gambar di atas) berupa 2 pasang jubah putih ,2 pasang singlet berzip wanita, stokin, sarung tangan, seluar panjang putih dan 2 pasang kasut di atas kaunter bayaran.

Dibisiknya ditelinga, kenapa cepat sangat membeli. Tunggu jawapan rayuan akhir puasa nanti. Kalau tak dapat pergi tahun ni, macamana pulak.

Anim kata, 
kalau nak raya kita boleh sedia awal, takkanlah nak pergi haji tak boleh. Walaupun mungkin bukan tahun ini atau tahun depan atau entah bila giliran kami, yang penting NIAT nak ke tunaikan rukun Islam ke 5 tu berkobar-kobar. Mudah-mudahan dengan melihat barangan ni, niat dan impian bertambah kuat sehari ke sehari. 

Mudah-mudahan juga barangan ini menjadi saksi andai ditakdirkan Anim dijemput Ilahi sebelum dapat menunaikan fardu haji.

P/S Encik Suami tak pernah persoalkan lagi hingga ke saat ini.

Artikel berkaitan:

Satu Penghijrahan Kecil...



Sudah hampir 3 bulan Anim tak bertemu Kak Nani (bukan nama sebenar). Dia dan keluarganya menziarahi Anim di rumah sewaktu Anim pulang menunaikan umrah Mac lalu. Namun...pertemuan kami petang lalu...membuatkan Anim ternanti-nanti apakah ayat yang akan keluar dari mulutnya bila melihat penampilan terkini Anim.Kami keluar bersama (dengan izin suami masing-masing).

Akhirnya sewaktu duduk menikmati pulut mangga dan bihun tomyam di Central Square...barulah Kak Nani membuka mulut,

"Terkejut kak Nani...tudung Anim dah labuh"

Kak Nani.....di Mekah, Anim sering berdoa agar  "menjadi lebih baik dari semalam". Anim amat bersyukur kerana digerakkan hati oleh Allah untuk berubah. Kak nak tau, sebelum berangkat mengerjakan umrah, Anim pernah memberitahu Encik Suami, Anim susah nak mengubah penampilan dan mungkin akan kekal begitu selepas balik.

Namun...benarlah yang dikata orang. Satu-satu amalan, andai kita lakukan sebanyak 40 kali atau lebih, maka ia mendarah daging dalam diri kita. Ia akan menjadi tabiat kita.  Kita dah bertelekung sepanjang masa selama 15 hari di Madinah dan Mekah...Anim rasa "lain macam" bila mengenakan tudung bersaiz M seperti sebelum ini.

Melihat diri sendiri di cermin. Kalau dilihat dengan nafsu, memang terlintas "Aku ni walaupun 42++, masih orait lagi." Wah...masa ni kalau orang panggil "makcik" memang panas darah!!!
Namun bila melihat diri Anim dengan hati...terlintas dalam diri keinsafan, kelemahan dan ketakutan Lebih-lebih lagi melihat uban sudah timbul dicelah rambut, mata pun dah rabun dekat, kulit pun tak setegang dulu...lantas membawa kita mengingati mati.

Ustaz Ghazali Ibrahim dalam bukunya "Kembara Hati Di Tanah Suci" menceritakan Imam Syafie di kala umurnya 40 tahun, beliau berjalan memegang tongkat. Bila ditanya orangramai,

"Wahai Imam! Kau masih muda. Mengapakah engkau berjalan sambil memegang tongkat? Tunggulah sehingga engkau tua nanti!"

Jawab Imam Syafie, "Umur aku ni mencecah 40 tahun. Umur 40 tahun ada dinyatakan oleh Rasulullah SAW, andai  kebaikan tidak melebihi kejahatan, maka bersiap sedia untuk dihumbankan ke dalam api neraka. Hari ini mengapa aku berjalan sambil memegang tongkat? Kerana aku mahu mara, pecut ke depan, terus beramal dan aku tidak mahu lagi toleh ke belakang"

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW ada menyatakan;
"Setiap hari, tatkala matahari terbit, bila terkena saja cahaya matahari pada tubuh orang yang berusia 50 tahun. Maka akan berkata cahaya matahari, "Wahai orang yang berusia 50 thn, bersiap sedialah untuk mati"

Dalam hadis Rasulullah SAW yang lain juga ada menyatakan ;
"Bagi orang yang mencecah usianya 60 tahun, Allah SWT tidak akan terima alasan-alasan kenapa kita tidak mampu beribadah"

P/S Perubahan baru yang kita lakukan pada diri kita amat menyeronokkan dan menenangkan.

Artikel berkaitan:

Berhati-hati Terima Panggilan


Anim terima panggilan telefon di sekolah. Pemanggilnya memberitahu yang nama Anim tersenarai pendek dalam kursus perikanan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bila bertanyakan kaitan Kementerian Pelajaran denganKementerian Pertanian pulak, pemanggil memberitahu kerajaan negeri Kedah sendiri yang beri nama Anim (dan kakitangan kerajaan lain, katanya) kepada pihak mereka dengan tujuan membolehkan kakitangan kerajaan mencari pendapatan sampingan. Ooo...ada macam bau nak kena goreng!

Walaupun waswas, Anim masih lagi melayan panggilan ini. Tambahnya kursus akan diadakan di Golf Country Club, Jitra. Anim boleh bawa pasangan dan akan diberikan no.rujukan untuk kemasukan percuma kerana kursus ini katanya akan dikenakan bayaran RM350.   

Setelah mengambil nama pasangan dan bertanyakan pendapatan isirumah, si pemanggil mengatakan Kementerian Pertanian juga menyediakan subsidi untuk peserta yang pendapatan isirumah dibawah RM15 ribu ringgit. Dia juga berjanji akan memberikan no.rujukan melalui sms keesokan hari).

Bila called Encik Suami tentang hal ini, kesimpulannya:

1. Sah--sah pemuhung. Mana ada Kementerian Pertanian buat kursus untuk kakitangan awam cari duit sampingan. 
2. Ni sepupu sepapat dengan ke ternak ikan keli, ternak lintah, ternak cacing dan macam-macam lagi dan sampai la tak nampak hasilnya..
3. Tarikh diberi, JUMAAT. Hallo...cuti hujung minggu kat Kedah, mana mungkin kakitangan Kementerian Pertanian bekerja.
4. Kursus perikanan untuk cikgu anjuran Kementerian Pertanian? Huarghhhh..
5. Kalau dari awal pemuhung...sampai kesudahnya membohong nanti...

P/S    Terima undangan berserta no.rujukan kemasukan percuma melalui sms keesokan harinya.Sorrylah...I'm not coming.

Artikel berkaitan:

Hidup Ini Anugerah

"Syukuri apa yang kita ada...hidup ini satu anugerah"

Carian google

"Bah, naik kereta mana?" soal anak-anak sewaktu kami bersiap-siap untuk keluar ke GIANT Supermarket petang semalam

Kami ni kalau kes berjalan atau keluar membeli barangan kena masukkan agenda solat bersama. Maksud Anim, bila dah masuk waktu Magrhrib, kenalah bergerak ke masjid untuk solat berjemaah.
Soal nak solat di rumah memang tak ada.

Sejak kes pecah kereta kami di masjid tempohari, memanglah fobia sikit. Kalau boleh nak "simpan" aja kereta Encik Suami tu di rumah, dan kami guna kereta Anim...yang lama sikit tu...

Tapi, bila Anim ajukan kebimbangan Anim, dengan selamba Encik Suami membalas
"Syukuri nikmat naik kereta abah ni . Hidup ni anugerah.. Takkanlah kerana sekali cermin kereta kita pecah, kita dah risau nak ke masjid naik kereta yang elok sikit. Abis...nak simpan kat rumah, nak selimutkan kereta abah ni? Bila nak gunakan? Kita dah bayar lebih...dia patut berkhidmat dengan kita, bukan kita jadi hamba dia. Lanyak ajalah" 

"Tawakal ajalah. Allah saja yang boleh tolong kita. Kalau kereta kena pecah lagi..sabar dan redha ajalah. Mana tahu, Allah gantikan dengan kebaikan berganda-ganda"

Alkisah..ada teman yang mencadangkan Anim bergilir bersembahyang dengan Encik Suami untuk mengelakkan kes pecah cermin kereta di masjid terjadi lagi.. Nampaknya tak perlulah Anim kemukakan cadangan itu padanya. Tak pasal-pasal kena "basuh" lagi, huhu....

P/S Tiada satu pun di dunia ini milik kita...semuanya milik Allah SWT.  Kenikmatan, kesenangan dan kemewahan harta benda...boleh diambil bila-bila masa. Jika kita sedar akan hakikat itu..kita akan redha dengan musibah yang menimpa..


Artikel berkaitan:

Melentur Buluh Biar Dari Rebung

Ini bukanlah masjid yang dimaksudkan ( Gambar di atas ialah Masjid Wilayah K.Lumpur)

Hari ini kami sekeluarga bersolat Maghrib di salah sebuah masjid kegemaran 2 Abdul di Sg.Petani. Masjidnya cantik dan menarik. Tenang bersolat di sini. Kadangkala kalau Anim turut serta, Anim seorang saja jemaah wanita. 2 Abdul cukup suka kalau Anim ikut sebab selalunya Anim akan ajak Encik Suami "ngeteh" di kedai (minum teh tarik) selesai solat. Kalau depa ber3 saja, sure Encik Suami terus balik rumah...hihihi

Hari ini ada 7-8 kanak-kanak yang datang bersolat (berusia dalam lingkungan 9-12 tahun).  Mereka datang berbasikal beramai-ramai. Mungkin dari perumahan berhampiran agaknya. Alhamdulillah... melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mudah-mudahan salah seorang dari mereka inilah bakal pengganti imam, bilal dan tok siak masjid kelak.

Sebaik sahaja solat Maghrib berjemaah dimulakan, kedengaran riuh rendah suara budak-budak bercerita. Kemudian kedengaran suara-suara nakal yang ketawa dan bercakap-cakap. "Eh budak-budak ni tak mula solat lagi ke?" . Anim percaya bukan solat Anim sahaja yang terganggu kerana terdengar-dengar di telinga ini bunyi orang berlari ke sana ke mari...Masya-Allah, memang tak boleh nak khusyuk!!"

Sangkaan Anim tepat kerana selesai Imam memberi salam, dari celah-celah tabir Anim terlihat seorang lelaki tua datang menasihat budak-budak itu. Hmmm...diam sekejap aja. Bila jemaah belum habis berzikir dan berdoa...keadaan jadi riuh semula. Dan kali ini seorang lelaki pertengahan umur mendatangi mereka dan menarik telinga 2 kanak-kanak (yang paling besar dan paling bising). Perlahan-lahan mereka bergerak keluar dari masjid.

Bila bertanya 2 Abdul tentang perkara  itu...si adik kata depa jolok b****t masa dia sedang sujud manakala si abang pula mengadu waktu dia tengah ruku' , budak yang paling besar dok kat kelengkangnya.

P/S Si ayah kena pantau apa yang anak dia buat di masjid. Inilah akibatnya si ayah tak ikut serta, menyangkakan anaknya bersolat di masjid namun lain pula yang dibuatnya. Renung-renungkanlah. Mereka ini masih muda...mungkin ada yang belum akal baligh lagi. Mereka perlu diajar menghormati masjid, menghormati jemaah yang sedang bersolat dengan tidak mengganggu dan membuat bising.

Artikel berkaitan:

Pencuri yang tak kenal tempat



Lokasi : Masjid Abd Rahman, Jln.Pengkalan, Sg.Petani
Masa : Selepas solat Maghrib, lebihkurang jam 8.05 malam, Selasa lepas
Kes : Cermin pintu penumpang (belakang pemandu) dipecahkan
Kerugian : Sebuah beg sandang berisi Iqra'. Al-Quran  dan buku latihan Salahuddin (and of course..cermin kereta lah )
----------------------------------------------------------------------
Berbaloikah bila yang hilang hanyalah beg sandang mengaji Al-Quran si Uddin.  Sewaktu membuat report di IPD Kuala Muda, dimaklumkan oleh pegawai bertugas...sejak pagi tadi tak habis-habis kes pecah cermin kereta di beberapa masjid di Sg.Petani. Ada yang kerugian wang tunai RM 4000, ada yang kehilangan laptop dan sebagainya. Bagi kes kami pulak, tiada barang berharga yang hilang...kerugian cermin kereta saja la kan? (Mungkin mereka sangkakan beg Salahuddin itu berisi laptop) Mudah-mudahan Al-Quran  Uddin yang dibawa lari mereka itu menginsafkan mereka!!!  Manalah tau kan, Allah beri hidayah buat mereka malam itu....
-----------------------------------------------------------------------
Panduan mengelak kecurian yang diberikan oleh pegawai penyiasat di IPD malam kelmarin:
Bila hendak masuk ke masjid, jangan tukar seluar di dalam kereta. Kalau si penyangak tu nampak si fulan keluar berkain pelekat le pulak masuk ke masjid...sure kereta kena pecah!!!
Bukan saja penyangak lelaki...yang perempuan pun ada! Depa ikut sembahyang ngan kita. Handbag yang kita letakkan di hadapan kepala, di rembat lari sewaktu kita sedang sujud!!! So, terpulanglah bagaimana cara kita nak atasi masalah itu. Penyangak ni sekarang dah tak reti malu...di rumah Allah pun nak buat dosa!


P/S Kalau yang mengaku Islam pun tak hormat rumah Allah.....(sambung sendiri.)

Artikel berkaitan:

Terima skroll diusia 42++

Terima kasih buat Encik Suami yang begitu memahami dan memberi semangat waktu Anim "down". Kalau boleh nak tolong buatkan assignment Anim...apakan daya bahasa orang engineering memang tak sama dengan kita!!!

Juga 2 Abdul yang sporting bila Ummi sibuk dengan assignment dan peperiksaan. Selalunya Anim akan "bertapa" dalam bilik seorang diri berjam-jam bila menghampiri date line...

Terharu bila Bonda dan abah sanggup datang menaiki keretapi dari Kluang, Johor semata-mata ingin turut serta di hari penuh sejarah Anim ni. Alhamdulillah...dapat juga mereka lihat anak perempuan ke2nya memakai jubah naik ke pentas di usia 42 tahun. Rezeki abah dapat turut serta masuk dewan....ada pass masuk pemberian suami kenalan yang terpaksa jaga anak kecilnya di luar dewan!
Abah kata, "Abah ingat Anim seorang je graduan tua....rupa-rupanya ramai lagi yang lebih tua dari Anim". Hahahaha...tau tak pe!

Terima kasih juga buat Gee dan 2 anak saudara Anim, Fahmi dan Farah yang sudi mai dari Bangi....sudi menjaga 2 Abdul sepanjang majlis berlangsung. Dengarnya....sempat ke The Mall, window shopping dan makan-makan ye!!

Bersolat di Masjid Wilayah Kuala Lumpur bila surau di PWTC sesak dengan manusia sebaik majlis konvokesyen selesai jam 5 petang. Pertama kali bawa Bonda, abah dan 2 Abdul bersolat di masjid yang indah dan menarik ini.Ingat nak berehat lama sedikit di sini..tapi perut sudah merayu minta diisi.


P/S Sebak berada di atas pentas...saat mendengar nama disebut pengacara

Artikel berkaitan:

Gerai Ikan Bakar Tanglin@KL

Sempat singgah lunch di gerai ikan bakar berhampiran Klinik Tanglin...belakang Masjid Negara Kuala Lumpur, Jumaat lepas. Nak jadi cerita...pagi tu Encik Suami ada mesyuarat jabatan di Jln. Sultan Salahuddin. Anim pula dikehendaki mengambil jubah konvokesyen 2.30 petang di OUM, Jln. Sultan Ismail. Laaaa...rezekilah. 2 in1 program. Setidak-tidaknya lepas kos minyak kereta, duit tol,  penginapan dan elaun makan....

Ikan bakarnya superb!!! Kalah kuah asam ikan bakar di Sg.Petani. 

Sotong untuk Anim, kembung untuk Mr.Hubby. Kuah asamnya pekat, pedas. Fuhhhh, memang power. Macam-macam ikan ada...pari, terubuk, ayam....tapi 2 tu je yang jadi favourite kami. Tak payah ambil lauk banyak...makan lauk ni bersama kuah dan sedikit ulam sudah cukup.Bau kuah asam di jari tak hilang2 sampai ke petang.

Pendekata....semasa menunggu Encik Suami tunai solat Jumaat di Masjid Bukit Aman, lena Anim dibuatnya di dalam kereta kerana kekenyangan....

P/S Buka waktu bekerja Isnin-Jumaat. Waktu puncak ialah waktu lunch kakitangan kerajaan bangunan berhampiran.

Artikel berkaitan:

Cikgu Tahun 1


Mengajar kelas 1C mengundang banyak kesabaran. Olehkerana hari ini kelas mereka berada di hujung waktu pulang, mereka sudah get ready nak balik. Masing-masing sudah tak ada mood nak belajar...nak balik, lapar nasi kot!
--------------------------------------------------------------------------
Tajuk minggu ini "My Favourite Toys". Mula-mula riuh-rendah suara kelas bila introduction set menyentuh soal mainan yang mereka ada di rumah. Wah...seronoknya bercerita tentang mainan lori, keretapi, PS2, PSP.....tergambar dari riak wajah masing-masing. Tu belum lagi part depa menggayakan mainan depa ngan kawan-kawan sebelah meja.
-------------------------------------------------------------------------
Sekarang tiba part latihan bertulis (gambar di atas). Arahan Anim mudah saja...(translation)

"Ada 6  gambar mainan di dalam gambar. Kamu pilih 4 sahaja yang kamu suka. Lepas tu, tulis dan warnakan 4 mainan yang kamu dah pilih itu"

Arahan mudah. Aktiviti taklah mengelirukan. Namun...seorang guru tidak boleh menganggap anak muridnya faham kehendak soalan. Bila ditinjau kerja mereka seorang demi seorang..aduh...cikgu fenin...fenin...


Anim      : "Ni kenapa tulis dan warna 2 gambar sahaja?"
Murid 1  : Saya suka mainan robot dengan reta (kereta). Yang lain saya tak suka.

Anim      : "Satu saja yang awak tulis? Doll saja? Mana 3 lagi?
Murid 2  : "Budak pompuan main doll, main teddy bear . Teddy bear tak dak la Madam.

Anim      :  "Laaa..satu pun awak tak buat, tak kaler..faham tak apa saya suruh tadi? 
Murid 3  :  "Kat rumah saya tak dak satu pun permainan ni. Saya suka moto, lori, lori bajak, lori traktor....(spesis cakap tak leh berhenti)
Anim      :   "Dah..dah. Sekarang tulis dan warnakan 4 mainan dalam gambar ni. Suka ke, tak suka ke, kamu pilih 4"


P/S Hampir 22 tahun jadi guru Tahap 1...nampaknya tetap dan berpencen!


Artikel berkaitan:

Kawan Gaduh Si Itik

3 stooges (1 jantan 2 betina) yang dibeli di Pasar Taman Ria. 

La ni, si Abdul 2 jadi mangsa. Sebelum ini kami gelar dia  "Majlis Bandaran" kerana hobinya yang suka meratah baki lauk pauk , dari tulang ayam sampailah ke kepala ikan. Merungut juga dia bila hobinya dihalang oleh Encik Suami kerana nak diberi kepada 3 stooges tu la..

Ayam-ayam ni memang pure kampung sebab depa hanya suka makan nasi, mee dan sisa-sisa lauk pauk kami. Dedak dan jagung...tak dipandangnya pun.

 Menjadi kawan gaduh si betina itik yang marah bila makanan yang disuakan di rebut. Mana tak marah si betina itik....3 stooges ni memang kuat makan dan tak berhenti-henti makan. Bahagiannya yang dulu hanya dibahagi 2, kini dah dibahagi 5. Itik ni pulak...makan slow2..makan sikit berhenti. Tapi bila dia nak sambung makan...semua dah dibedal dengan 3 stooges.
3 stooges ni pulak, pantang nampak tuannya bawa makanan, bukan takat berlari...berkejar, melompat..habis dilanggar benda yang ada didepannya.Kadang-kadang dia bawak lari makanan ke tempat lain...
Sabar ajalah itik oiii...dekat raya nanti depa kena korban!!!!

  P/S Bagusnya 5 ekor haiwan peliharaan kami ni....walaupun pintu pagar depa terbuka, bila malam...tau pulak masuk dalam. 3 stooges tidur atas pokok, 2 mat dan minah Salleh (itik) tu pulak tido bawah pokok.


Artikel berkaitan:

KOPEK???

Cerita 1:

 "Madam tak guna ke kopek saya bagi?"

"Compact?? (bedak padat)...ish, mana ada awak beri saya"

"Laaa....kan saya ada hadiahkan kopek warna biru  Hari Guru hari tu"

"Kopek? Kopek apa ni? Kopek durian, kopek kulit?"

"Kopeklah Madam..tempat taruh duit tu!"

"Laa...dompet ka?"

(Alamak...kopek tu.."dalam loghat Kelantan lain maksudnya Hadirah oooi...)

@@@@@@@@@@@@@

Cerita 2:

"Madam, Fahmi mencarut"

"Haah, apa yang dia carutkan?"

"Dia kata dia taruh juboq dia dalam kotak pensil"

"Juboq tu apa ke bendanya?"

"Juboq tu pungkok la Madam..."

"Pungkok tu menatang apa pulak?"

"Pungkok tu bottom la Madam...."
(Lucu betul anak-anak Tahun 1 ni...)

"Bottom tu apa pulak?"

"Madam ni..semua tak tahu. Bottom tu b****t nilah (sambil menepuk-nepuk punggungnya)

P/S Kih...kih..Madam hilang mengantuk tengahari buta ni...


Artikel berkaitan:

Kerana Anak Masih Kecil

Dikurniakan anak di usia 30an...menjadikan kita jadi muda. Bila umur kita menganjak ke 40an...hajat si anak seperti juga rakan-rakan sebayanya. Kita pulak dah "tak larat"...maklumlah zaman berseronok-seronok, melayan hobi yang "mengambil banyak masa" dah berakhir.

Si Abdul sulung ni bukanlah merengek nak ke Taman Tema Air ke..hirup udara segar di atas bukit ke. Tapi rengekannya sejak awal cuti ialah memancing di tengah sungai. Alamak..memancing bukanlah hobi si abah!!

Kalah juga Encik Suami dengan rengekannya. Dengan bantuan Pak Su Razak, dibawanya ke Sg.Petani...berdekatan Sg.Jagong

 Impiannya nak memancing di tengah sungai termakbul...

Encik Suami yang tersenyum simpul mendapat siakap merah.....jangan jadikan hobi baru lak ya !!
Tak habis-habis menceritakan kepuasannya memancing di Sg.Jagong.

Tapi Ummi dia lagi puas hati bila dia cerita pengalaman solat Asar kat pondok tengah sungai ni. Memancing pun memancinglah....solat jangan tinggal!

P/S Lepas ni dia teringin nak panjat Gunung Kinabalu la pulak.......

Artikel berkaitan:

Gunakan Kesempatan Yang Masih Diberi...



 Bismillahirrohmanirrohim......

Menggetar perasan, terkesan di sanubari “5 Minit Aje” Halaqah Sentuhan Qalbu TV9 kelmarin amat menginsafkan.
Tak perlulah Anim huraikan isi sentuhan kalbu di atas. Namun airmata tidak tertahan-tahan mengenang kelemahan diri bila jurulatih kecerdasan, emosi dan spiritual mengucapkan...

"Demi masa...sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Maka sekarang bayangkan kalau masa itu telah berhenti. ..tiba-tiba diri kita kembali kepada Allah..tiba-tiba anak-anak kita diambil lagi oleh Allah. Sementara tak ada lagi kesempatan untuk mendidik anak-anak kita. 
Maka sekarang tolong bayangkan tuan puan pada hari kemudian. tolong bayangkan padang Mashyar. Ketika itu kita melihat bagaimana anak-anak kita berjalan di padang Masyhar. mata mereka yang buta.... tak mampu melihat. 

Lalu kemudian bayangkan tuan puan ketika itu kerana dosa-dosa yang dilakukan anak-anakmu yang tidak pernah dibimbing, dididik olehmu selama ini, mereka akan dilemparkan ke neraka jahanam tetapi ketika itu sebelum anak-anakmu dilempar  ke neraka jahanam, anak-anakmu berkata :
"Ya Allah sebelum kau lemparkan kami ke neraka Ya Allah,itu ayahku Ya Allah, itu ibuku Ya Allah, 
seumur hidup mereka, mereka tak pernah mendidikku tentangMu, Ya Allah... mereka tidak pernah mengajarkanku tentang Mu, Ya Allah .....mereka terlalu sibuk dengan dunia...Ya Allah, maka sebelum Kau lemparkan kami ke neraka Ya Allah, LEMPARKAN TERLEBIH DAHULU ORANGTUA KAMI, Ya Allah"


P/S Betapa beratnya amanah yang dipikul oleh ibubapa

Artikel berkaitan:

Cinta Sampai Jadi Botak

Tengok saja boleh....jangan diikut!

Juha dan kedua isterinya hidup aman damai. Kedua-dua isterinya amat menyayangi suaminya. Juha pula melayan mereka dengan adil.

Alkisah, isteri yang tua suka jika Juha nampak lebih tua supaya orang melihat mereka pasangan sepadan.
Sebaliknya si isteri muda. Dia mahukan Juha kelihatan lebih muda supaya secocok pulak dengan dirinya.

Apabila ke rumah isteri muda, isterinya akan menyediakan pakaian yang sesuai untuk Juha supaya kelihatan muda. Dia selalu check rambut Juha untuk mencabut uban yang terdapat di kepala suaminya itu. Almaklum...biar tinggal rambut hitam...biar nampak lebih muda
--------------------------------------------------------------
Apabila Juha ke rumah isteri tua, si isteri pulak akan menyiapkan dirinya supaya kelihatan lebih tua sesuai dengan dirinya. Apabila memeriksa rambut Juha, dia akan mencabut pula rambut hitam yang ada di kepala suaminya supaya Juha kelihatan lebih tua dan secocok dengan isterinya.
--------------------------------------------------------------
Begitulah yang berlaku selama beberapa waktu, Isteri muda cabut uban, isteri tua cabut rambut hitam. Akibatnya Juha yang menjadi mangsa apabila sampai satu ketika habis semua rambut dan ubannya dicabut dan akhirnya dia menjadi botak!!

P/S Realitinya....dalam masyarakat kita sekarang. Kali ni tak cabut uban le gamaknya. Isteri muda inaikan rambut si suami....isteri tua pula kenalah cari jalan dye rambut suami ke putih le pulak...

Artikel berkaitan:

Muzium Sejarah@Kota Tinggi

Mereka yang mengaku anak Johor WAJIB ke Muzium Kota Tinggu. Sejam berada di sini (hujan di luar) pengunjung mampu menggarap sejarah awal Kerajaan Johor, khususnya mulai pemerintahan Sultan Allauddin Riayat Shah II sehingga Sultan Mahmud Shah II. . Mulai 2001, Muzium Sejarah ini diselenggara oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ). Masuk free dan ia dibuka  setiap hari dari jam 9 pagi hingga 4 petang, kecuali Jumaat.

 12 jenis batu nesan yang terdapat di Kota Tinggi di luar perkarangan muzium.
Ada batu nesan Makam 12 , Sayong Pinang ; Makam Bendahara, Kg Makam;
Makam Tanjung, Johor Lama; Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Tauhid dan lain-lain.

Artifak, peralatan lama,alatan muzik , lukisan (kami melihat koleksi wang lama) yang dipamerkan  memberikan suatu pengalaman yang menyeronokkan. Bagi anak jati Johor khususnya, lawatan ke muzium berkenaan amat berguna dalam memahami sejarah negerinya sendiri terutama pada era pasca kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

 Di sinilah juga sumbangan Tun Sri Lanang terhadap penulisan Sejarah Melayu dapat diapresiasi.Tun Sri Lanang adalah lambang kebangkitan intelektual di Johor. Beliau telah menyusun Sejarah Melayu dengan bantuan penulis dan beberapa orang pembantunya..

Si gagah perkasa, Badang ni rakyat Johor rupanya....

Si kaki buku ni tak lepas peluang membeli buku-buku sejarah terbitan Yayasan Warisan Johor di muzium ini. Mudah-mudahan dapat menambah maklumat yang lebih mendalam mengenai sejarah awal dan moden Johor Darul Takzim.


P/S Tahniah buat YWJ. Segala aspek penting dalam sejarah awal Johor dapat difahami bila berada di dalam bangunan ini. Sejarah adalah sesuatu yang indah dan perlu diperluaskan kepada tontonan generasi muda supaya mereka dapat mengenal sejarah diri, bangsa dan negara.


Artikel berkaitan:

Kampung Tanjung Buai@Kota Tinggi

30 minit perjalanan dari rumah mak mertua. Namun..dah 20 tahun jadi menantunya...baru nilah jejak kaki ke sini. Biasalah...kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata...buat tak tahu je

Ada pertandingan memancing pada hari ini

Penginapan di rumah rakit juga disediakan. Boleh memancing, berbarbeque di tengah Sungai Lebam, Kota Tinggi. Ada khidmat bot untuk ronda Sungai Lebam ni.

Lebih cantik dan menarik dari Segantang Garam. Senang nak parking kenderaan di sini.


P/S Barbeque di rumah rakit??? Fully booked...cuti sekolah le katakan...



Artikel berkaitan:

Kembara Mahkota 2011 Nak Mai....

Tiba di bandar Kota Tinggi...nampak meriah dengan banner yang terpampang di sana sini. Seronok juga melihat persiapan yang dibuat di kampung Mr.Hubby di Kota Tinggi.Rupa-rupanya 18-21 Jun ni, Kembara Mahkota oleh DYMM Sultan Johor akan melalui kawasan Felda di sini.

Orang Johor kalau bab hias menghias memang no.1!!
-----------------------------------------------------------------------

Kembara Mahkota Johor adalah cetusan ilham DYMM Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang pada ketika itu sebagai DYAM Tunku Mahkota Johor, bertujuan mendekatkan hubungan keluarga Diraja Johor dengan rakyat Negeri Johor menurut baginda.
-------------------------------------------------------------------------
Pada zaman dahulu, raja atau sultan ditandu ketika melawat jajahan takluknya. Ada kalanya, raja menunggang kuda atau gajah untuk ke destinasi yang agak jauh.Kini, semuanya telah berubah. Dengan segala kemudahan yang tersedia, perjalanan semakin mudah dan dekat. Pihak istana juga tidak terlepas dilanda arus perubahan.Tandu tidak lagi digunakkan,gajah pula entah ke mana. Untuk ke sesuatu destinasi, raja dibawa dengan kereta yang lebih pantas dan selamat.
------------------------------------------------------------------------
Program yang bermula pada tahun 2001 dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama-sama beberapa orang tokoh koprat, VVIP, serta ketua-ketua jabatan menyusuri setiap pelusuk negeri merangkumi 8 daerah pada ketika itu.
---------------------------------------------------------------
Lantaran kerbekesanan Kembara Mahkota Johor 2001, DYMM Tuanku Sultan telah mengumumkan agar program ini dijadikan acara tahunan istana. Selain mendekatkan hubungan antara pihak istana dengan rakyat, Kembara Mahkota Johor juga bertujuansebagai satu program amal bagi menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Program ini juga dapat mempromosikan lokasi lokasi menarik bagi industri pelancongan dan baginda dapat meninjau sendiri pembangunan yang telah disalurkan oleh pihak kerajaan kepada rakyat negeri Johor. Selain itu Kembara Mahkota Johor juga bermatlamat untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negeri Johor.
Kembara Mahkota Johor mempunya beberapa konsep iaitu bermotosikal, menaiki bot (jelajah pulau), pacuan 4 roda (pedalaman), dan jelajah perkampungan orang asli.
---------------------------------------------------------------
Program Kembara Mahkota Johor ini menjadi lebih bermakna apabila DYMM Tuanku Sultan bersama keluarga baginda mencemar duli untuk bermalam di rumah penduduk kampung yang terpilih. Baginda seisi keluarga juga bersukan dan bermesra dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira darjat dan kaum. Program ini juga memperlihatkan kesetiaan rakyat terhadap institusi diraja apabila masyarakat berbilang kaum dan lapisan sanggup berhujan dan berpanas untuk menunggu keberangkatan DYMM Tuanku Sultan dan berebut untuk bersalaman dengan DYMM Tuanku Sultan yang mereka kasihi.
 (Sumber: Laman Web UTHM, Johor)



Artikel berkaitan:

Restoran Mohd Chan @Rawang

  Sewaktu singgah transit di rumah adik di Rawang, dibawanya kami anak beranak ke sebuah restoran Cina Muslim yang baru dibuka.

"Mak Ngah, malam ni kita makan kat Restoran Macan" bisik anak saudara Anim .
"Laa...Macan pun ada orang ambil nama untuk restoran ke? Nak masuk pun takut!
(macan = harimau dalam bahasa Jawa)

Bila tiba depan restoran, kihkihkih. Mak Ngah sound trouble. Rupa-rupanya Restoran Mohd Chan b. Abdullah

Rasulullah SAW pernah bersabda, "Tempoh bertamu adalah 3 hari dan jamuannya satu hari satu malam.Seseorang tidak boleh berada di rumah saudaranya sampai membuatnya berdosa"

Kemudian Rasulullah SAW ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana tetamu yang membuat tuan rumah berdosa?"

Rasulullah SAW menjawab, "Iaitu tetamu yang tinggal di rumah seseorang yang tidak memiliki sesuatu untuk menjamunya." 
( Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Makanan ke"cina"an yang diorder...
Nasi Itik Panggang bersama teh bunga ~ Anim dan Encik Suami je yang sanggup makan!

Tauhu kukus

Sotong dan udang rangup ~ macamana depa leh buat sotong tu rangup ek!


Si Abdul 1 dan 3 anak saudara pilih Nasi Ayam Barbeque

 Menu si Abdul 2 je berbeza ~ Nasi Sotong Sour Sweet

Kuey Teow Daging

Homemade rojak buah (serupa rasa kuah rojak Mak Bee, Alor Setar aje...)



P/S Olehkerana tak ada Chinese Muslim Restoran di Sg.Petani...2 Abdul kata..lain kali nak order itu ini (dalam menu card) bila ke sini lagi. Amboi....lain kali kuar duit sendiri la...hari ni Pakcik Fauzi belanja makan...

Artikel berkaitan:

Nuri Reflexology @ Medan Mara


Kalau pulang ke Johor....ambil peluang transit di KL. Tempat yang paling best disinggah selain bershopping di  di Sogo ialah di bangunan sebelahnya. Penat travel dan jalan kan...ambil peluang urut kaki dan badan di Nuri Refloxology Theraphy yang terletak di Tingkat 2, Bangunan Medan Mara, Jln.Raja Laut   . 

Pekerja-pekerja yang mengurut kaki di sini terdiri dari orang-orang buta. Tuan punya (Kak Nur) adalah bekas pengajar di Pusat Latihan Gurney (Orang Buta) dan rata-rata pekerjanya adalah bekas anak-anak muridnya . Sewaktu berbual-bual dengan Kak Nur, Anim diberitahu Tukang Urut Abdullah dulu pun bekas anak muridnya. Lebih 10 tahun lalu Anim mengenali pusat urut reflexology ini. Kini hanya "Wak" (orang Rengit, Johor) sahaja yang masih kekal di sini. Dia yang kami kenali masih bujang kini sudah beruban dan beranak 4. 

Pendekata..dah banyak tempat urut kaki dituju.Setiap kali berpindah, pasti kami akan mencari pusat urut kaki. Banyak pusat reflexology yang telah ditry dan diterjah hinggalah ke Siam sana..Namun di Medan Mara ini juga yang paling best. Belum ada yang menandinginya sejak 10 tahun yang lalu...Yang tambah terharu...Wak masih "mengenali" suara Anim...Masih boleh ingat mana kita tinggal dulu, asal mana, kerja mana, pindah mana...terang betul hatinya dan kuat memorinya walaupun matanya tidak dapat melihat.rupa kita.

P/S Mata saja tak nampak...tangan laju bekerja..

Artikel berkaitan: