Kami tiba di Mekah jam 2.00 pagi. Hijjaz Palace terletak kira-kira 150m dari perkarangan Masjidil Haram. Alhamdulillah...dekat sangat. Selepas meletakkan beg di bilik (Anim berdua sebilik dengan Encik Suami) dan memperbaharui wuduk , jam 2.30 pagi sudah ada di lobi hotel. Ustaz Aryan akan membawa kami membuat umrah pagi ini juga. Maklumlah..masing-masing masih dalam ihram.
Dengan tidak semena-mena, hujan turun renyai-renyai sewaktu kami memulakan langkah ke Masjidil Haram. "Hujan rahmat buat kita. Kita teruskan ya. Masa tawaf saja kena hujan. Sa'ie tak ada masalah" kata Ustaz Aryan.
Perasaan hiba berbaur sayu muncul sewaktu memandang buat pertama kalinya Masjidil Haram. Suasana pagi masih sibuk dengan gelagat jemaah yang keluar masuk.
Syukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk hambaNya yang serba kekurangan ini mengunjungi Masjidil Haram.
Kami mengikut mutawwif membaca doa apabila masuk ke Masjidil Haram. Pendekata..tak perlu risau buka buku doa. Semua ikut mutawwif. Selepas bersolat Tahhiyatul Masjid serta solat jamak Maghrib /Isyak berimamkan Ustaz Aryan , kami menuruni tangga untuk ke daratan Kaabah. Menitis air mata menatap Kaabah di hadapan mata. Kalau selama ini..Kaabah hanya mampu dipandang di sejadah...kali ini tersergam Kaabah yang agung dan mulia itu di hadapan mata. Subhanallah!!!
Hujan renyai tadi berhenti tiba-tiba. Namun begitu perkarangan Kaabah masih basah. Anim dan Encik Suami memulakan tawaf iaitu rukun umrah ke 2 buat pertama kalinya mengikut mutawwif dan rakan-rakan jemaah. Jam 3 pagi, taklah terlalu sesak dengan jemaah lain yang melakukan tawaf. Kami pun tak terputus barisan dengan mutawwif dan rakan-rakan jemaah serombongan.
Selesai tawaf, kami melakukan solat sunat tawaf . Ustaz Aryan kemudiannya meminta kami meminta maaf di antara satu sama lain, di antara jemaah, di antara anak-ibu, di antara kakak-adik dan suami isteri. Aduhh..hening pagi itu kedengaran suara tangisan kecil. Sedih.....
Kami kemudiannya memulakan rukun umrah ke3 iaitu sa'ie . Bergema kawasan Safa-Marwah itu dengan suara kumpulan jemaah Turki yang membaca doa dengan kuat. Walaupun penat di dalam bas belum hilang...bersemangat menyelesaikan sa'ie sehinggalah kepada rukun umrah ke 4 iaitu bertahalul (bergunting). Alhamdulillah...ibadat umrah wajib kami selesai jam 4 pagi
Suasana selepas solat fardu di luar Masjidil Haram
"Alhamdulillah, sudah selesai. Kalau ada jemaah yang mahu menunggu solat Subuh di masjid, silakan. Kalau ada yang mahu pulang ke hotel, menyalin pakaian dan sebagainya boleh ikut saya. Masih ada banyak masa lagi untuk solat Subuh. " kata Ustaz Aryan .
Hampir separuh jemaah memilih untuk tinggal di masjid. Anim dan Encik Suami memutuskan untuk pulang ke hotel , berehat, mandi dan menukar pakaian. Aduh...letihnya badan. Bayangkanlah 4 jam duduk di dalam bas. Bukan boleh lena sangat pun. Tiba Mekah, terus buat umrah yang memakan masa hampir 2 jam . Tiba di bilik, rehatkan diri di atas katil dengan meluruskan kaki sambil bersandar di dinding.
"Bah, Ummi baring kejap boleh? Letih betul badan dan kaki ni"
"Eh, nanti tertidur. terlepas Subuh. Sayang tak berjemaah. Pahala solat 100,000 kali "
"Tak. Baring kejap aja. Sementara abah p mandi, Ummi baring kejap. Letih sangat badan ni tadi duduk dalam bas"
Anim pun tak ingat apa berlaku. Sedar-sedar bila terjaga, Anim lihat Encik Suami pun terlena di katil satu lagi. (Bilik kami 2 katil bujang). Laaa...dia pun terlena jugak!!!! Alamak......
"Bah..bah..Ya Allah. Abah pun tertidur jugak ke? Astagfirullahal'azim...terlepaslah Subuh kita. Dah pukul berapa ni? " sambil mencari jam dan menyelak langsir tingkap.
"Ya Allah...abah pun tertidur. Tak tau macamana boleh lena. Tadi duduk-duduk kat katil aja"
Macam dah berjam-jam kami lena. Puas rasanya tidur tadi. Sedih kerana "kesiangan"..menyebabkan kami terlepas solat Subuh buat pertama kalinya di Masjidil Haram.
"Eh, gelap lagi kat luar. Orang, ramai lagi berjalan ke masjid . Pukul berapa ni?"
Subhanallah.....baru pukul 4.20 pagi. Ini bermakna kami lena dalam 15 minit sahaja tetapi rasanya sudah berjam-jam kami tidur.
Menitik airmata mengenang kebesaran Allah dan rahmat yang diberi kepada kami dihari pertama menjejakkan kaki ke bumi Mekah al Mukarramah. Disinilah Rasulullah s.aw dilahirkan, disinilah Baginda diangkat menjadi Rasul dan menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.
Kesimpulannya, Anim dan Encik Suami berkesempatan mandi, bertukar pakaian dan menuju ke Masjidil Haram sebelum azan Subuh. Alhamdulillah...
P/S Selama ini mendengar suara imam Masjidil Haram di televisyen dan kaset/Cd...kali ini secara live. Meremang bulu roma mendengar bacaannya..
Belum ada komen untuk "Jejak Musafir Hari Ke5"
Catat Ulasan
Komen anda amat dihargai