Home · About Me · Sitemap ·

Nasib baik dia duduk masjid


Assalamualaikum wbt...

Gambar Hiasan

Balik sekolah, singgah satu masjid untuk solat Zuhor bersama si Abdul kecil. Solat Zuhor berjemaah sudah selesai. Sorang demi sorang jemaah keluar masjid.

Dalam ruang solat wanita, ada seorang perempuan bertelekung tunduk duduk sambil membaca sesuatu di hp nya. Anim terus menyempurnakan solat Zuhor seorang diri.

Selesai solat dan melipat telekung, Anim menoleh ke arah perempuan tersebut. Dia masih tunduk membaca. Kali ini Anim perhatikan dia membaca surah Yassin. Sesekali dia mengesat mata dan hidungnya. Dia membaca sambil menangis!

Blogger sorang ni mulalah rasa nak jadi kaunselor. Tapi tak tahu nak mulakan bicara. Kita pun tak kenal kan. Risau lak keadaan jadi bertambah serius. Bukan ada sesiapa lagi di dalam masjid itu kecuali Anim, dia dan Abdul kecil di luar.

Sewaktu bergerak keluar masjid, Anim menuju ke arahnya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia mendongakkan kepala sambil membalas huluran tangan Anim itu. Bila ternampak airmata di pipinya, serta merta mulut jadi terkunci.

Dalam kereta , si Abdul kecil bertanya kenapa Anim tak tanya perempuan itu apa masalahnya. Anim kata, Anim tak risau sangat. Dia duduk dalam masjid, rumah Allah. Allah akan jaga dia. In sha Allah, kat masjid, hatinya akan tenang. Ok nanti, dia baliklah rumah. Kalau dia menangis tepi sungai ke, tepi jambatan ke....mungkin Anim akan bertindak sebaliknya. Kalau kalian di tempat Anim, apa tindakan kalian?

P/S  Bila ada masalah, Anim suka menenangkan diri dengan p solat berjemaah dan hadir majlis ilmu di  masjid (tapi taklah duduk seorang diri di masjid).Anim pernah dengar satu tazkirah, dalam solat berjemaah, dalam majlis ilmu kita tak tahu siapa yang hadir sama. Doa yang dibacakan Imam atau ustaz yang memberikan kuliah dimaqbulkan Allah; kadang-kadang bukan kerana Imam atau Ustaz tersebut tetapi kerana doa itu diaminkan oleh mereka yang bukan sapa-sapa; mungkin seorang pemandu teksi, penoreh getah atau buruh . Doa mereka yang mustajab. Wallahua'lam .

Artikel berkaitan:

Anak angkat baru lagi


Assalamualaikum wbt...

Ingat lagi anak angkat kami, si Bisu? Dek kerana kasihankan dia ditinggalkan bersendirian di rumah sewa lama, kami angkut ke rumah baru bersama-sama kami.

Kerana bimbang dia "lost" tak dapat cari rumah kalau kami tiada di rumah berhari-hari, terpaksalah tinggal di hotel kucing tak jauh dari rumah. Caj dikenakan RM10 semalam.

Suka ooo dia tinggal sini. Kadang-kadang tak mahu balik. Camnapun ini bersifat sementara. Dah okay dengan tempat baru, kami plan tinggalkan dia sendiri di rumah, huhu. Kucing kampung kenalah lasak sikit. Tak bolehlah dipampered saja.

Alkisah, jam 11 malam Sabtu lalu (balik dari Johor) ada seekor anak kucing di depan pagar rumah. Kucing siapa pulak ni..

Selamba je masuk rumah dan cari port untuk dia melepak. Tengoklah...si Bisu pun curiga dengan kelakuannya. Tapi si Bisu ni baik. Tak dihambatnya si kecil ini keluar.

Selfie.......

Kesian pulak tengok muka sedihnya.

Dan malam tadi muncul satu lagi penceroboh. Pening kepala dibuatnya sebab depa ni terus masuk rumah tak bagi "salam". Kotlah mengiau sat ke dulu. Tau-tau sudah lepak bawah kerusi.

P/S  Bukan tak suka bela kucing banyak-banyak. Bulu depa tu yang boleh buat kita waswas nak duduk di sofa. Dok terangkan kat 2 Abdul hukum tentang bulu kucing ni. Bagi depa faham. Kalau tak...semua kucing yang mai rumah nak dibawa masuk dalam bilik tidurnya.

(UPDATE: Untuk menjawab pertanyaan Che Mid tentang hukum bulu kucing) boleh rujuk SINI, SINI dan SINI

Artikel berkaitan:

Allah dah susun cantik


Assalamualaikum wbt....

Bila cuti hujung minggu Johor dah sama dengan Kedah, terpaksalah ambil cuti emergency bila urusan yang perlu diselesaikan ada kaitan dengan agensi kerajaan di Johor. Selepas urusan di Muar selesai, cadang balik berehat di BP dulu.

Masa yang ada tak sampai 48 jam. Rumah di BP yang Anim plan nak buat homestay tu dah 90% siap. Tinggal kerja-kerja dalaman, pasang lampu, tambah tilam dan bantal. Pinggan mangkuk pun tak siap susun. Duduk jauh macam ni lah jadinya. Mana sempat kemas dalam jangkamasa singkat. 

Tapi 2 Abdul tak mau tidur BP pula. Minta dihantar ke rumah nenek (Bonda). Kita pula disuruh balik BP berdua. Walhal cuti sekolah minggu lalu Anim hantar mereka dengan bas dan tinggalkan beberapa hari di rumah Bonda . Tak puas lagi ke? Anim plan keesokan hari nak balik SP, kami akan singgah rumah Bonda. Masa terhad,,tak bolehlah nak ulang alik BP-Kluang.

Rumah dah berganti langsir. Bilik berairconditioned, TV ada siaran Astro (Njoi). Tak ada sebab nak boring (alasan biasa sebelum ini). Hmmmm...boleh agak kenapa. Rumah nenek ada line tenet. Lama tak mengadap Youtube lah tu. Kat SP, tak de Wifi. Denda sebab selalu tidur lewat leka dengan Youtube. Pernah tertangkap dalam bilik. Ingat tidur dah, rupa-rupanya ada cahaya dalam selimut. depa. So, broadband hanya untuk Anim dan dikawal dengan ketat .  

Tiba rumah Bonda, Abah dah bersiap nak keluar dengan beg kecil di tangannya. Nak ke mana agaknya? Terkejut bila diberitahu dia nak ke rumah sepupu Anim di Pt Yaani yang jaraknya dalam 47km . Tambah terkejut bila tahu dia nak menunggang motosikal Honda Cupnya itu. Dok bayang Abah yang berusia 74 tahun nak lalu jalan Yong Peng-Pt Yaani yang sibuk dengan kenderaan berat. 

Prinsipnya...selagi sihat, terdaya dan ada kudrat. Lainlah kalau dah terbaring tak leh buat apa.

Anim pujuk nak hantarkan ke rumah sepupu dan keesokan hari Anim kata akan jemput dia balik. Actually, dia ada meeting dengan group jemaahnya di BP. In sha Allah, mereka akan ke India selama 4 bulan, Julai ni. Suami sepupu Anim pun group jemaahnya juga. 

Terkejut bila tengahari sewaktu nak menjemputnya pulang, dia kata ambil kat surau. Abah...Abah

Al kisah minggu lalu, Anim  bermimpi Bonda menelefon minta Anim balik. Malangnya Anim tak sempat nak bertanya mengapa. Anim ada beritahu Encik Suami tentang mimpi itu.  Iyalah risaulah bila mimpi tentang mak ayah kita.

P/S Agaknya mimpi suruh balik tu ada kaitan dengan menghantar dan mengambil Abah tadi di Pt Yaani dan menyebabkan hajatnya menunggang motosikal tidak kesampaian. Allah dah susun cantik. Ditakdirkan Anim ada urusan di Johor dan 2 Abdul pula tak mahu balik rumah sendiri. Wallahua'lam,


Artikel berkaitan:

Ayah tak bagi potong


Assalamualaikum wbt...

Nak tau nape Anim kata murid sekarang lebih berani?

Alkisah baru-baru ni, ada sorang murid lelaki Tahun 1 minta izin untuk keluar kelas.  Nak jumpa cikgu I. Terkejut Anim dibuatnya sebab cikgu I tu cikgu disiplin sekolah. Amboi, berani murid Tahun 1 zaman la:-))

Bila ditanya untuk urusan apa...dengan muka sedih, dia menjawab..

"Nak bagitau cikgu I, ayah tak bagi potong rambut"

Alkisah, cikgu I sentuh fasal rambut panjang dalam perhimpunan. Kawan sekelasnya ni jadi contoh, pendek dan senang diuruskan. Dia pun minta ayahnya bawa ke kedai gunting rambut.

Susah hati dia bila keinginannya ditolak. "Ayah tak bagi potong rambut macam tu" ujarnya sedih. Nak jumpa cikgu I nak mengadu. Bimbang kena marah agaknya. Patutlah dia bersongkok ke sekolah. Nak tutup rambut di dahinya. Kami memujuknya, oklah tu...tak sentuh bulu kening.

P/S Kalaulah si ayah dapat membaca entry ini....




Artikel berkaitan:

Kejadian dalam dua bas ekspress


Assalamualaikum wbt...

Anim ada di BP ni. Ada urusan yang perlu disettlekan. Balik bersama 2 Abdul dengan  bas ekspress.
Sebenarnya awal cuti sekolah lalu pun balik BP dengan bas ekspress. Menariknya dua kali juga kami diuji dengan tempat duduk dalam bas.

Kejadian 1 :

Bertolak dari SP, 11 malam. 10.30 malam, bas Mayang Sari yang dinanti muncul. Kami bertiga jadi penumpang terawal. Tak sabar-sabar. Maklum, dah dekat setahun tak naik bas ekspress . Tak lama seorang lelaki India yang membeli tiket SP-JB menunjukkan tiketnya dan mendakwa Anim telah duduk di tempat anak-anaknya (mereka ber4). Begitu juga seat single si Abdul kecil. Ada seorang pemuda yang mendakwa tempat itu juga tempat duduknya.

Anim tunjuk tiket bas kami yang tertera no.seat yang sama. Mereka kemudian turun dari bas. Tak lama seorang lelaki bersama mereka dan lelaki itu mendakwa kami telah duduk di seat penumpang yang membeli tiket dari kaunternya. Tambahnya tiket yang dijualnya  adalah ORI .

Tak boleh jadi. Anim berkeras. Anim kata tiket bas itu dibeli di kaunter bukan dengan ulat tiket. Dia pun kata benda yang sama. Malah tambahnya tiketnya adalah ORI. Anim punya dari ejen. Anim tetap tak mengalah. RM200 sudah bayar untuk tiket bas. Mereka yang tak cekap, penumpang pulak jadi mangsa.

Rupa-rupanya pihak yang mendakwa tiket dijual mereka ORI tulah yang silap. Jual tiket tapi tak tulis no.seat. No.seat diberi bila bas tiba. Manalah tak bertindih. Terpaksalah penumpang yang punya tiket no. yang sama dengan kami duduk di tempat lain. Berpisah jugalah sana sini.

Sampai di Alor Gajah, bas berhenti untuk solat Subuh di sebuah petrol kiosk. Driver meminta penumpang yang turun Batu Pahat  tukar bas Mayang Sari lain yang ada di sebelah. Hanya kami ber3 sahaja. Kami tiga beranak kalut angkut beg ke bas yang satu lagi. Terima kasih pada driver bas yang sudi angkut beg besar Anim untuk dipindahkan ke bas sebelah.

Terpaksalah kami cari tempat duduk kosong dalam bas yang bertolak dari Butterworth itu. Kenalah tanya penumpang lain, yang mana kosong, yang mana ada penumpang, takut-takut ada yang turun solat belum naik lagi. 

Masha Allah....Allah bagi Anim dan 2 Abdul merasai pengalaman mencari tempat duduk dan terpisah sama seperti keluarga India tadi dalam masa 7 jam saja. Sekejap saja Anim "menang"..

Kejadian 2:

Takut kena tukar bas lagi dipertengahan jalan, kelmarin kami naik Cepat Ekspress pula. Double decker...suka 2 Abdul. 1st time duduk tingkat atas. Waktu naik penumpang tak ramai. Bas akan singgah Butterworth, Ipoh....camtulah rasanya. Kami terpisah. Kerani kaunter ni tak tahu agaknya no kedudukan kerusi dalam bas. Dah minta duduk dekat. Apa nak buat...

Anim berdua bersama si Abdul sulung manakala si Abdul kecil duduk seorang (selesa buat dia yang berbadan besar). Nasib baik Anim dah arahkan mereka masukkan bekal makanan dan minuman dalam beg masing-masing. Dah lalui pengalaman sebelum ni. Masuk dalam beg Anim, susah nak bahagi-bahagikan bila duduk terpisah.

Belakang seats Anim, ada couple bersama dua anaknya yang duduk bersama. Mereka penumpang dari Alor Setar agaknya. Anak-anak mereka dah tidur di atas riba masing-masing. Anim pesan kat si Abdul jangan rebahkan kerusi. Kesian kat adik dan baby di belakang. Tak apalah...seats depan kami tiada penumpang lagi, boleh lunjur kaki

Tiba Ipoh, ada couple duduk depan kami. Dah jam 1 pagi, sure nak tidur ajalah bila dapat seats. Mereka merebahkan kerusi mereka. Kami dalam keadaan tersepit. Si Abdul minta Anim memberitahu penumpang depan supaya tidak merebahkan kerusi mereka ke belakang sangat. Anim kata, mereka tak salah. Kalau kami merebahkan kerusi kami ke belakang sedikit, masalah itu settle. Tapi tengoklah adik dan baby di belakang kita. Kesian..kaki adik pun dah terjulur masuk di celah kerusi kami. Tak pelah, kali ni kami tidur duduk. Si Abdul kecil tu badan kecil. Bolehlah lipat kaki atas kerusi. Anim.....takleh lunjur kaki..huhu. Sabar..sabar

Ketika bas berhenti di Hentian Serdang, sekali lagi kami diarahkan turun. Kali ini menaiki KBS ekspress yang ada berhampiran. Ruang bag bawah bas kosong aja. Bila naik atas bas, laaa...banyak kosong. Seronok kami memilih seats masing-masing. Walaupun condition bas taklah sebaru  Cepat Ekspress tapi tempat duduknya....luas bebenor. Nak rebah seat macam tidur atas katil pun boleh (belakang seat takde penumpang). Aaahhhh...puasnya dapat lunjur kaki. Terima kasih ya Allah...Tak sampai 3 jam, kami dapat duduk dan tidur dengan selesa.

P/S. Lepas ni nak cuba bas lain pula kalau perlu balik dengan bas ekspress. Seronok pula bila ingat2 balik -))


Artikel berkaitan:

Lembu dan semut jadi contoh


Assalamualaikum wbt....

Nak tegur, nak nasihat anak murid kat sekolah zaman la bukan senang. Beza umur kita dengan depa dekat 40 tahun. Memang nampak berbeza anak murid Anim sekarang berbanding 24 tahun lalu. Murid sekarang lebih berani bertanya, lebih berani menjawab malah berani menegur cikgu!

Bukan niat nak berbangga, nak hebah kat semua orang, naudzubillah..tentang aktiviti Anim mencari ilmu di masjid. Apa yang diceritakan sekadar berkongsi pengalaman. Alhamdulillah, dari majlis ilmu dan kuliah yang dihadiri, bolehlah Anim bersedekah kepada anak-anak murid di sekolah selain mengajar mereka ilmu duniawi. Bukankah menyampaikan ilmu itu juga merupakan sedekah lisan.

Membaca catatan di Kursus Haji oleh Ustaz Halim Nasir di Masjid Andalusia Laguna Merbok tentang sedekah yang terbahagi tiga;
1- Sedekah harta
2- Sedekah anggota - bantu dengan tubuh badan.
3- Sedekah lisan

Cerita tentang lembu ini Anim perolehi dari Ustaz Shahul Hamid (Pencetus Ummah) sewaktu menyambung kitab Syamail Muhammadiyah di Masjid Qariah Taman Keladi. Bab cara makan Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam. Ustaz Shahul buat cerita tentang lembu.

                                                                            Google image

Anim bawa cerita lembu itu kerana budak-budak ni suka makan sambil berjalan di kantin.
"Pernah nampak lembu makan (ragut) rumput tak?"
"Kamu perasan tak, lembu ragut rumput sambil berdiri kan? Ada tak kamu nampak dia makan sambil berjalan, sambil berlari?"
"Lembu berjalan ke sana sini, tapi kalau dia nak makan, mesti dia berhenti". Manusia pulak makan dahlah berdiri, berjalan pulak. Sekarang Madam nak tanya, siapa lebih pandai dalam adab makan, lembu ke manusia?"
 Mereka tersengih sambil menjawab, "Lembulah, Madam". La kalau bertembung dengan mereka yang pernah ditegur dan Anim senyum kambing, mereka akan cari bangku untuk duduk. Heee....nampak Anim, nampak lembu kot!

Google image

Cerita semut ini dari Ustaz Nazrul Nazir sewaktu kuliah Daurah Kitab di Masjid Kuning baru-baru ini. Ustaz Nazrul sentuh tentang amalan kita walau sebesar zarah sekalipun tetap ada kesan waktu ditimbang di Padang Mahsyar. 

Sekecil zarah mana nak nampak, dia suruh tengok saja binatang sekecil semut. Nampak semut, ingat kebaikan sekecil semut yang kita boleh lakukan waktu itu. Jangan remehkan sedikit pun. Kita tak tahu, mungkin amalan atau kebaikan sekecil itu diterima Allah berbanding amalan lain.

Itu jugalah yang kerap Anim sebut dalam kelas. Bila ternampak semut, ingatlah apa juga kebaikan yang mereka lakukan di sekolah, walaupun nampak remeh di mata kawan-kawan lain, tetap Allah pandang dan kira. Menolong cikgu angkat beg, angkat buku, kutip sampah, tutup air, tutup lampu, pinjamkan alat tulis, bantu kawan jangan dianggap remeh. Manalah tahu, amalan sekecil itulah Allah redha dan mendapat rahmat Allah yang menyebabkan kita masuk ke dalam syurga Allah. Amiiin...

P/S   Tak tahulah camna gaya anak murid 10 tahun akan datang. Waktu itu dah generasi Z. Umur panjang, Allah izinkan..dapatlah lihat perbezaannya...huhu

Artikel berkaitan:

Ayah baru vs Ayah lama


Assalamualaikum wbt....

Satu pagi di kelas Tahun 1...
"Madam, minggu depan saya tak mai sekolah. Mama saya kahwin."
Kalau kalian berada di tempat Anim...apa reaksi spontan kalian? Tentu saja terkejut dan memikirkan apa yang dimaksudkan si kecil ini agaknya... "

Dengan nada bergurau, Anim mengusik...
"Kahwin? Kahwin dengan siapa pulak?"
Sambil tersenyum malu, dia menjawab..
"Dengan ayah baru" 
Dipendekkan cerita, dia memberitahu tahun depan, dia bersama mama, abang dan adiknya akan berpindah mengikut ayah barunya yang bekerja di Putrajaya. Ceritanya lagi, ayah kandung (yang digelarnya ayah lama) tinggal di kampung yang sama.

Anim mengusiknya dengan mengatakan nanti jengoklah 'ayah lama' di kampung. Kesian ayah duduk jauh dengan dia adik-beradik.
"Ayah lama tak kerja. Tak ada duit. Ayah baru ada kereta besar" 
Dia lebih sayangkan ayah baru berbanding ayah lama katanya.
"Saya dah p Putrajaya, Madam, Ada taman, ada tempat main, ada tasik. Cantik, madam"
Tak adil untuk Anim cepat menjatuhkan hukuman terhadap si ayah mahupun si ibu kerana hanya mendengar melalui cerita seorang anak, yang belum sahih benarnya. Cuma Anim sempat menitipkan nasihat buatnya...
"Ayah lama tu ayah **** sendiri. Dia tetap ayah ****walaupun ayah lama tak ada duit, tak ada kereta besar. Jangan lupakan ayah lama, ok. Nanti kalau **** dah besar, nak kahwin, **** kena cari ayah lama tau"
Dia hanya mengangguk-angguk tanda faham. Anim pun tak tahu nak beri nasihat yang sesuai untuk difahami seorang anak kecil berusia 7 tahun.

P/S  Moga pertalian anak dan ayah antara mereka tidak terputus walaupun ibubapa mereka sudah tidak punya apa-apa ikatan lagi,


Artikel berkaitan:

Terlepas cakap


Assalamualaikum wbt...
Percaya tak,keesokan hari (Ahad) Anim minta izin Encik Suami untuk p kuliah muslimat Ustazah Norlaila di masjid Taman Keladi (seperti dalam poster). Plan nak singgah  lepas balik sekolah.Namun aral tiba jugak. Dan waktu itulah Anim rasa Anim tahu kenapa niat untuk ikut majlis ilmu di Masjid Taman Keladi tak diizinkan. Syukurlah Allah beri Anim ilham untuk meneliti sebab. Ianya adalah dari kesilapan Anim sendiri. Next entry Anim cerita ya...
Copy paste entry semalam

Entah macamana teringat dialog yang Anim utarakan waktu bersembang dengan Encik Suami sambil membelek jadual kuliah bulan Mac masjid-masjid berhmpiran yang diperolehi.

 Jarak Masjid Andalusia dari rumah 1 km . Cantik , baru , besar dan gah. Lampu dan kipas (2 in 1) canggih. Majlis ilmu kat masjid ni rata-rata buka kitab. Cuma kita dengar suara penceramah berdengung. Bukan salah PA sistem rasanya. Masjid buat dari batu gitulah katanya.

Jarak Masjid Al-Majidi (Masjid Kuning) pula dalam 3 km . Masjid berairconditioned, ooo...memang suka. Siapa yang tak suka solat dalam masjid berairconditioned kan... 

Masjid Qariah Taman Keladi ni memang hebat. Masjidnya diimarahkan. Sound systemnya A+. Suka p masjid ni walaupun 20km jauhnya. Cuma penumpuan sedikit terjejas dek kehadiran seorang hamba Allah yang kurang sihat di majlis ilmu tersebut. Kuliah Subuh ada, kuliah maghrib pun dia datang.  Kalau dia duduk mendengar saja tak mengapa. 

Yang Anim perasan setiap kali Ustaz berkenaan bersuara deras (kuat), hamba Allah itu akan ketawa dengan kuat. Kita yang tengah syok mendengar terkejut, Ustaz kat depan beri kuliah lagilah terkejut. Tentulah tak senang hati apatah lagi bila kuliah guna kitab Syamail Muhammadiyah contohnya. Cerita tentang Nabi Sollallahu Alaihi Wasalam tapi ada pulak suara orang gelak dalam masjid.

Anim akui terlepas cakap hari itu, "nak p lah majlis ilmu kat Masjid Taman Keladi tapi kan bagus kalau orang tu tak datang". Allahu Robbi...permintaan tu balik semula kat Anim!

Terima kasih Allah kerana menegurku . No.3 tulah yang perlu dilakukan

P/S  Kalau fikir-fikir balik, bukan Anim saja diuji. Jemaah lain pun samalah dua kali lima. Ustaz penceramah pun lagi besar ujiannya dalam kes ini. Dek terkejut dengar suara orang gelak dalam masjid, boleh lupa  nak cakap apa. Bagusnya mereka kerana mereka bersabar berbanding Anim yang mulut celupar...

Artikel berkaitan:

Kuliah Sabtu yang tak diizinkan

Assalamualaikum wbt...

Pagi Sabtu itu, kami terlewat bangun. Terpaku melihat jam di dinding. 10 minit menghampiri 7 pagi. Bergegas bangun dan membelek alarm hp, masha Allah....hp dalam silent ringer. Baru teringat, semasa bertolak balik ke SP dari Bangi, singgah solat jamak Isyak/Maghrib di Hentian Sebelah Taiping. Lupalah tu nak on balik...

Dok ingat-ingat semula sebab lain. Adakah kerana makan malam yang lewat? OTW balik SP, singgah  dinner (orang lain supper) di Char Kuey Teow (Telur Ayam Di Basuh) Sg Dua. Masa tu dalam jam 11 malam.

Makan sepinggan kecil char kuey teow dan sepinggan nasi goreng udang yang dikongsi. Nak kata makan sampai kekenyangan pun dak. (Note: Depa dah buka cawangan di Taman Puncak Jalil, Sri Kembangan, Selangor).

Tiba rumah hampir 12 malam. Beg dan barang yang dikeluarkan tak dikemas dulu. Subuh esok ada Kuliah Bulanan Subuh oleh Ustaz Sharil Long di Masjid Taman Keladi. Dia mai sebulan sekali, sayang nak tinggal. Beg yang dikhususkan untuk majlis ilmu dah letak atas meja. Jubah nak dipakai pun sudah dipilih. Ambil wuduk , pasang niat nak p Kuliah Subuh dan terus tidur.

Mana tak istighfar panjang bila tak sedar langsung. Sedih sangat. Seminggu cuti sekolah, seminggu jugalah tak duduk dalam majlis ilmu. Ke sana sini mengikut Encik Suami yang ada urusan kerja di luar. Terasa kerasnya hati. Allahu Robbi...mungkin aku telah melakukan kemaksiatan terhadapMu, melakukan dosa mata, dosa hati, dosa lidah....hingga sukar untuk aku bangun awal pagi hari itu, ampunilah aku,Ya Allah.

Sabtu yang sama, otw balik rumah lepas breakfast dan cari sedikit keperluan, singgah di Masjid Kg.Penghulu Him. Terpandang sesuatu di papan kenyataan masjid. Tak dapat p kuliah subuh pagi tadi, bolehlah p Kuliah Maghrib pulak di masjid yang sama.


Jarak rumah di kawasan baru ke Masjid Taman Keladi dalam 20km. Bertolak lebihkurang 6.45 petang. Kami p berdua saja. Si Abdul kena siapkan kerja sekolah dia di rumah. Esok nak sekolah baru teringat. Sabar ajalah..

Kami kemudian berdepan dengan kesesakan berhampiran Amanjaya. Dalam jarak 10km lagi, azan maghrib berkumandang dalam kereta. Ambil keputusan singgah di masjid Taman Ria Jaya dan bergerak ke masjid Taman Keladi sebaik selesai solat Maghrib berjemaah.

Sebaik tiba, kami diberitahu kuliah Maghrib belum bermula. Habib belum sampai lagi. Jemaah dah memenuhi masjid. Namun ada juga yang mengambil keputusan untuk pulang. Kami ni baru tiba, takkan nak balik. Lepas solat tahiyatul masjid dan niat iktikaf, duduk menunggu macam jemaah lain. Keluarkan buku kuliah dan belek isi kuliah-kuliah terdahulu yang dicatat. Dekat setengah jam jugalah menunggu.

Tak lama, Si Abdul sulung mengadu kehabisan gas di rumah. Jangan tak tahu, la ni dia rajin masak sendiri. Walaupun  Anim dah sediakan mee sanggul goreng di rumah, dia masih nak makan makanan lain. Nak celur spaghetti katanya..

Kemudian AJK Masjid buat pengumuman. Habib yang ditunggu baru tiba di Gurun. Kami berkira-kira, jarak Gurun-SP dengan keadaan trafik (malam minggu, esok nak naik sekolah), mau sejam juga menanti Habib tiba. Kalau lepas Isyak, Habib tiba, pukul berapa pula kuliah dia tamat. Teringat gas habis dan kedai runcit yang sure dah tutup kalau kami lewat balik nanti. Kemudian teringat anak. Walaupun dah bagitau dia celur spaghetti dalam rice cooker...risau tetap ada. Nak menunggu Isyak dan tunggu Habib terasa lamalah pulak...Kami pun ambil keputusan keluar masjid dan akan singgah solat Isyak kat masjid yang kami singgah waktu maghrib tadi. Masha Allah, lemahnya iman.

Percaya tak,keesokan hari (Ahad) Anim minta izin Encik Suami untuk p kuliah muslimat Ustazah Norlaila di masjid Taman Keladi (seperti dalam poster). Plan nak singgah  lepas balik sekolah.Namun aral tiba jugak. Dan waktu itulah Anim rasa Anim tahu kenapa niat untuk ikut majlis ilmu di Masjid Taman Keladi tak diizinkan. Syukurlah Allah beri Anim ilham untuk meneliti sebab. Ianya adalah dari kesilapan Anim sendiri. Next entry Anim cerita ya...

P/S  Walaupun 20km jauhnya, tapi dah hampir 6 tahun terbiasa dengan jemaah Masjid Taman Keladi..dah serasi. Masjid paling dekat dengan rumah (1km) pun ada jadual kuliah juga. Masalahnya Anim kenal dengan dua ustaz yang terlibat. Almaklum, depa geng bas sekolah...biasa dah dengar tazkirah depa kat sekolah, teringin dengar kuliah ustaz lain le pulak...

Artikel berkaitan:

Tetamu misteri bawa kejutan


Assalamualaikum wbt....

Selesai kelas jam 1.15 petang kelmarin (Ahad) menuju ke bilik guru. Nak kemas barang...nak balik.

 Terkejut bila nampak ada sampul surat atas laptop di meja. Samput surat tertera nama dan alamat sekolah tanpa setem. Surat apa pulak ni? Saspen......saspen

Mau tak terkejut bila isi dalam dikeluarkan. FM Egypt dan dua keping kupon Zalora. Weiii...sapa hantar ni.. Kata geng bas sekolah yang kebetulan free masa tetamu misteri mai mencari Anim semalam, tetamu misteri itu seorang gadis lawa berkulit putih dan style orang KL (orang SP style lain agaknya, leh kenal, heee). Bila dapat tahu Anim ada kelas, dia bertanyakan tempat duduk Anim. Bila ditanya siapa gerangan...jawapannya "Anis...Puan Hanim kenal"...

Anis? Anis mana nih...Ada 2 Anis berlegar-legar dalam kepala. Anis, sepupu yang tinggal di JB..tak mungkin..tak mungkin. Takkan tak habaq nak mai Utara.  Blogger Anies??? Boleh jadi nih. Anim ada baca entry dia p Egypt, Disember 2014.

Aduhai...kami dijarakkan masa tak sampai 5 minit. Kalau betul itulah Anies...nape tak tunggu kak Anim? Ralatnya tak bersua muka. Selalu sembang di alam maya saja. Dalam masa yang sama, rasa sangat-sangat terharu dengan kesudiannya menghantar souviner sendiri. Bukan senang nak jumpa sekolah Anim ni. Hujung kampung..Allahu Robbi....Jazakallah khairan kathiran...moga Allah membalas kebaikan buat Anies yang telah menggembirakan hati kak Anim semalam. (Semalam p sekolah dalam bad mood).

Suka ada malu pun ada. Almaklum...rakan blogger sudah nampak meja kerja Anim yang bersepah, huhu. Printer dan kipas angin tu sendirian berhad. Apa nak buat...

P/S  Anies...andakah tetamu misteri itu?

Artikel berkaitan:

Siput peha ayam pemanas cerita


Assalamualaikum wbt...

Lama tak bersua. Tak tahu nak bagi alasan apa. Hati meronta-ronta nak update blog tapi ada saja halangan yang membantut keinginan.

Sejak mengambil keputusan membatalkan pertukaran ke Perak tempohari, banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi. Jenuh juga memberi jawapan kepada individu yang tidak memahami situasi sebenarnya. Malas nak cerita dari A-Z,  jawapan diberi minta Ipoh dapat Malim Nawar. Bukan dekat nak berulang alik. Noktah.

Ok...slow-slow cerita nanti. Entry warming up petang ini dengan hidangan siput peha ayam. Hampir 6 tahun dok SP, first time tau siput ni, beli dan try masak. Kebetulan ada geng bas sekolah bagitau kawan dia dok cari siput peha ayam ni...apalagi, teruja nak cuba!

 Ni rupa siput peha ayam...

 Beli dah siap kopek, Semangkuk ni RM20. Kena rendam ngan air asam dan garam kasar sekejap untuk hilangkan lendir. Toskan.

 Siput peha ayam goreng kunyit. Isi hak putih tu rasa macam daging ayam. Tu kot dapat nama peha ayam. Kena masak kering-kering macam ni baru sedap. 

 Siput ini lak yang sedang dicari. Menarik kan..Besar bebenor gayanya. Kalau dapat nanti, boleh share rasanya .

Ini siput kemudi  Depa kata rasa siput peha ayam lagi sedap berbanding siput kemudi. Depalah kata....

P/S Sebelum ni. hanya tau makan siput sedut aja..huhu

Artikel berkaitan: