Home · About Me · Sitemap ·

Anak Ke Cucu?



Belum sempat panas punggung berkursus 3 hari di luar daerah, Anim dihantar pula berkursus 4 hari di dalam daerah. Pinau biji mata dibuatnya. Pagi tadi (Sabtu) sudah mula berkursus. SABTU??? Waaa.....moody..

Anim terpandang seseorang yang pernah Anim temui ..kursus di mana ya? Anim lihat dia mengatur langkah perlahan. Rasa-rasa dalam pertemuan sebelum ini, perutnya sudah membesar...tapi takkan tak bersalin lagi . Tergerak untuk menegurnya,  "Eh, kak...belum bersalin lagi ya?". Dia mengerutkan dahi dan bertanya, "Bila kita jumpa ya?"

Bila? Aaaah...bila jumpa dia? "Tahun lepas kalau tak silap, kan?" penuh confident menjawab. "Bukanlah. Tahun lepas dah bersalin. Ini tahun ni pulak," dia tersenyum menjawab.

Allah, malunya Anim. Usia kandungannya dah 9 bulan pun. Nampaknya anak ke 8 nya ini perlu dilahirkan secara pembedahan kerana berkedudukan songsang. Dalam sarat mengandung, dia tetap gagahkan diri menaiki tangga ke Tingkat 1, tempat kami berkursus. Bila ditanya, takde ke cikgu lain yang boleh hadir berkursus, dia menjawab "Tak de orang nak ganti. Cikgu yang satu lagi pun mengandung, masalah dia lagi berat dari kak. Sampai dok hospital" Inilah masalah sekolah kecil. Pusing, pusing dok jumpa orang yang sama juga bila terima arahan berkursus. Bilangan guru sikit....asyik-asyik muka yang sama lah bila berkursus.

Mungkin jika diperhatikan teman-teman lain, Anim ni agak "OVER" melayan kakak ni tadi. Anim tunggu dia turun tangga. Anim tunggu di belakangnya waktu dia naik tangga. Anim ambilkan air minuman waktu kami beratur mengambil lunch. Kalau nak ikutkan....nak saja Anim suruh dia duduk dan Anim ambilkan makanan untuknya. Tapi...itulah, kita rasa kita ni cam OVER ACTING. Kita rasa orang dok perhatikan kita (walhal kita PERASAN lebih).

Sebenarnya...bila memandang "kesukaran"kakak ni, duduk lama (8 am-4.30 pm), naik turun tangga...Anim teringat keadaan emak yang mengandungkan adik bongsu (ke 11) di usia 45 tahun. Sewaktu usia perkahwinan Anim 2 tahun, Anim terima adik baru. Hahaha....dah satu emak, satu ayah...bila ada kesempatan membawanya berjalan-jalan, orang mesti kata itu anak Anim. Dan rasa kasihan itu juga yang automatik lahir waktu memandang kakak yang mengandung anak ke 8nya di usia 46 tahun ini!

Dia sempat berbisik kat Anim, "Kalau ikut kak, dah umur macam ni, kak tak mau dah". Nampaknya, jawapan kak ni sama dengan jawapan emak 19 tahun lalu..."Suami kak nak anak lagi. Dia sukakan budak kecil. ". 

Hebat kakak ni walaupun ada yang memandang kakak ini dengan "pandangan berbeza". Syukurlah, Allah telah mengurniakannya seorang suami yang sanggup menguruskan segala-galanya dari A hingga Z. "Dah lama kak tak masuk dapur. Kerja memasak, basuh semua suami kak buat. Anak-anak pun suami kak urus. Kak bersalin pun suami kak jaga". Suaminya yang telah bersara awal mengasuh dan mengurus anak-anaknya dengan kerelaannya sendiri tanpa dihantar ke rumah pengasuh!Kalau camtu kak...bukan kata 8 orang, lebih dari itu pun tak ada masalah.

Embah...

Sebenarnya, Embah (Nenek) sebelah Encik Suami ni juga dikurniakan Allah seorang suami yang baik, yang menguruskan segala keperluan rumahtangga. Kata Encik Suami , sepanjang tinggal bersama Embah dan Embah Lanang (arwah datuk) , tak pernah dia lihat Embah menoreh getah, angkut air dari perigi mahupun potong kayu untuk memasak. Kerja Embah ialah jaga 14 orang anak-anaknya saja (9 telah meninggal dunia dan sekarang tinggal 5 orang). Kalau tak....takkan terkeluar dari mulut Encik Suami, "Rindu lah dengan roti canai dan kopi yang arwah Embah Lanang buat"...

P/S  Tabik kat wanita bekerjaya yang punya anak ramai....

Artikel berkaitan:

Si Bisu Sudah Berteman...

Puas dipanggil untuk makan. Dia tak muncul-muncul jugak...Tak lapar ke ? Tiba-tiba ternampak kelibatnya di seberang jalan....

v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
Amacam Ummi? Cun tak kawan baru saya yang bersopan santun ini? Suke...suke..


P/S Si Bisu memang tak de kawan sebelum ni. Baguslah jumpa "awek cun" depan rumah. Cuma pesan Ummi..baik-baik lintas jalan..Kereta banyak lalu lalang...heeee...

Artikel berkaitan:

HARUS? WAJIB? Kena Paksa.....


3 hari lalu, sewaktu si adik mengikuti lawatan sekolah ke Zoo Taiping dan Cameron Highlands, Anim ambil peluang bawa si Abdul sorang lagi ni ke  r  e  s  t  o  r  a  n   k  e  g  e  m  a  r  a  n  n  y  a . Kan ada Anim cerita fasal Si Abdul ni yang enggan turut serta dalam lawatan sekolah itu tempohari...Nasib baik tak WAJIB! Berbuih mulut memujuk, dia tetap geleng kepala. Alasannya..."Dah pergi Cameron hari tu, nak pergi lagi nak tengok apa?"..Pulak dah...

Bagi chance dia relax dulu...kita pun join sama bermain. Ada yang nak dibincangkan sebenarnya. Slow talk sambil makan-makan ber2 la ni....

 Pilihan Si Abdul...Salmon Teriyaki bersama 2 free side line, Mash Potato dan Macaroni Cheese.

Dah bisik kat dia waktu order menu ini."Teriyaki tu cam nama Jepun. Ummi tak pernah cuba. Tak taulah macamana rasa dia. Nak jugak ke?" Tapi dia tetap dengan pilihannya.  Bila ordernya sampai, berkerut muka bila selesai suapan pertama. "Manis lah sos ikan ni. Ikan ni ada banyak tulang. Besar pulak ikan ni, mana habis"...Amboi, lain macam bunyi, mesti ada sesuatu yang tak kena nih...

 Pilihan Anim...Ikan dory sos kampung (sambal belacan) bersama Baby Fried Rice dan Coleslaw

Rupa-rupanya...dia berkenan dengan pilihan Anim. Tersengih lebar bila ditanya, "Nak tukar pinggan ke?".

Dengan tanpa rasa bersalah menghabiskan hidangan yang sepatutnya masuk ke perut Anim. Anak...anak.... Nasib baiklah Salmon Teriyaki tu kena dengan tekak Anim.. Kalau tak, harus kupaksa dia makan hidangan yang diordernya tadi....heeee. Dah kenyang...barulah boleh bukak mulut...

Sebenarnya nak slow talk dengan si Abdul ni..Bulan 10 ni, dia akan mengikuti perkhemahan Unit Kokurikulum Sekolah di IPSAH. Jangan bagi excuse tak mau p dan mogok lagi seperti Kem Bahasa Arab 5 bulan lalu. Dia perlu berdikari..perlu ikut semua aktiviti sekolah tanpa excuse. Tak mahu lagi timbul soalan, "Nak makan macamana, nak tidur macamana, nak mandi macamana". Ni baru sekolah rendah. Ooo..2 tahun lagi naik sekolah menengah...cabaran lagi hebat, macamana nanti...

P/S HARUS? WAJIB? di paksa walau dia tak rela....

Artikel berkaitan:

# Rabu Yang Senyap 8 :Bagaikan Berada Di Istana??


Bagaikan berada di istana......bukan saya kata..

Tapi depa yang kata.....



P/S Kalau anda, boleh ke ?

Artikel berkaitan:

Teringat-ingat Kat Dia...


Sudah 2 hari hujan lebat tak berhenti-henti di SP. Hanya ini saja murid yang mai sekolah semalam.

FAKTOR PERTAMA.. hujan...Almaklum...ramai yang ke sekolah berjalan kaki, ramai juga yang dihantar waris dengan motor...tak ke sekolah le gamaknya.  Kelas sana suku, kelas sini suku...kelas sunun sekerat, dan akhirnya selepas rehat kami himpunkan dalam satu dewan untuk sessi tazkirah Ustaz Akmal mengenai solat.

 FAKTOR KEDUA..lawatan sambil belajar 2 hari ke Zoo Taiping dan Cameron Highlands. Hampir 30% murid dan berbelas guru tiada di sekolah. Rekod tercatat 2012 bila 100 murid dari Tahun 3 hingga Tahun 6 turut serta dalam lawatan ini. 3 bas sekali bergerak pagi semalam. Walaupun Anim tidak turut serta ...tapi sebagai waris, kerisuan tetap ada. Maklumlah...selama ini ke mana pergi sentiasa bersama, boleh nampak depan mata...

Tapi biasalah...kita je risau. Dia happy saja..Walaupun sempat mengusiknya, 
"Kita kan baru pergi Cameron Highlands tahun ni".
Tapi Abdul kecil tetap mahu pergi dengan alasan,
 "Pergi dengan Ummi, dengan Abah lain. Ni p ngan kawan-kawan, dengan cikgu". 

Macam-macam pesanan diberi.. telefon lagi...bila tak nampak depan mata, teringat-ingat kat dia. Tentu banyak yang nak diceritakannya bila dia pulang malam nanti tapi...Anim pula dihantar 3 hari berkursus luar daerah (jiran sebelah je...)

P/S Si Abdul satu lagi tak ikut serta. Next entry story...tak cukup masa nak tulis panjang. Belum siap kemas beg lagi ni. Jam 12 nak berangkat dah..

Artikel berkaitan:

Doa Kami Untukmu, Fauziah


Malu nak tunjuk "meja kerja" kami..Tapi itulah kenyataan..sudah hampir 22 tahun bertugas, 8 buah sekolah...sama saja keadaannya, meja kerja kerani lagi canggih dari meja guru...huhu...

Sejak Ramadan lalu....meja "jiran riuh" di sebelah kosong. Mati kutu Anim dibuatnya. Selalunya kami berdua akan "main sembunyi-sembunyi" kat sini. .borak fasal murid, borak fasal kerja, borak isu semasa...gossip je tak de ya. Telefon sahaja menjadi penghubung...I tak de FB cam kawan lain. Setiap kali menyuarakan hasrat untuk menemuinya, dia pasti akan menjawab, "Tak pelah kak. Saya ni bukan sakit. Sihat.". Hampir 2 bulan tak bersua wajah.....

Semalam, kami anak beranak mengunjunginya di Hospital Sultan Abd Halim, Sg.Petani yang menjadi rumah ke2 nya hampir 2 bulan. "Raya tak balik Terengganu, macam raya kat oversea " katanya.. Dia sedang menghitung hari tarikh pembedahan yang dijangka pada Rabu, 26/9 ini  kerana Placenta Previa (uri di bawah) . Doa kami semoga dia bersama kandungannya yang berusia 38 minggu pada tarikh tersebut (anak pertama) selamat dalam jagaan Allah.


P/S  Kagum dengan semangat dan ketabahannya mengharungi "segala-galanya" .Doa kami semoga penantian 6 tahunnya ini menjadi hadiah berharga buat dia dan suami, Ustaz Razak serta seluruh keluarga . Amin......

UPDATE : Gembira terima SMS dari Fauziah, jam 4 petang sebentar tadi. Dia telah selamat melahirkan baby boy seberat 2.67kg jam 12 lebih tengah hari ...bakal daie dah jengok dunia nih!  Menurut Fauziah, pagi tadi ada bleeding sikit, jadi doktor proceed pembedahan. Turut bersama berkongsi kegembiraan bila dia turut mengatakan, macam tak percaya dia sedang menyusukan anak...

 

Artikel berkaitan:

Syawal ada berapa hari agaknya?


 Udah-udahle, cukup-cukuplah beraya tu....dah nak masuk musim haji dah ni...


P/S Kalau nak buat jugak...tukarlah nama sambutan tu ke nama lain..

Artikel berkaitan:

Arab Saudi Tak Lulus Kuota Tambahan Haji Malaysia 2012



PETALING JAYA 21 Sept. - Malaysia termasuk dalam senarai 40 negara yang tidak mendapat tambahan kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini.

Beliau berkata kegagalan mendapatkan penambahan kuota itu disebabkan keputusan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan hanya satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara dibenar menunaikan ibadah haji. "Semua negara diberi kuota sebanyak satu peratus daripada jumlah penduduk bagi setiap negara... Kita ada 28 juta orang rakyat bermakna kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan seramai 28,000 orang jemaah sahaja daripada negara kita," katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil ke-22, di sini.

Katanya Malaysia memohon penambahan kuota sebanyak 10,000 memandangkan jumlah yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat haji kini mencecah 982,000 orang. Pada 12 Sept lalu, Tabung Haji menghantar surat rasmi buat kali kedua kepada kerajaan Arab Saudi bagi memohon tambahan kuota sebanyak 10,000 orang jemaah haji Malaysia untuk tahun ini. - BERNAMA ----------------------------------------------------------------------------------------
Tahniah buat mereka yang telah Allah SWT pilih untuk menjadi tetamu-Nya dari jutaan tetamu-Nya musim haji 1433H ini. Jangan persiakan peluang yang telah diberi Allah SWT..kerana masih ramai lagi yang sabar menunggu giliran untuk dipanggil.

Jujurnya buat diri Anim, Encik Suami dan kedua-dua MIL dan FIL....bohonglah kalau kami tak sedih walaupun telah dimaklumkan TH sebelum ini. Allah SWT lebih mengetahui mana yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Pasti ada sebab musababnya Allah tangguhkan dulu.

P/S  Insya-Allah, kami akan terus memohon dan meminta dari-Nya..mudah-mudahan ada rezeki kami nanti akhirnya.
 

Artikel berkaitan:

Syirik Jangan Dimulakan


Selesai mendengar tazkirah pendek Ustaz Amin  mengenai "Syirik Jangan Dimulakan". Ustaz Amin kata...benda syirik ini jangan dimulakan kerana kalau kebetulannya betul, kita akan percaya sampai bila-bila.

Ustaz Amin menceritakan pengalamannya didatangi seorang lelaki yang memberikan ayat jampi untuk elak speed trap. Menurut Ustaz Amin lagi, katakanlah seorang tak berilmu, baca ayat jampi dan secara kebetulan dia tak kena speed trap...dia percaya akan ayat jampi itu yang membantunya maka jadi syirik sampai bila-bila.

Walhal kata Ustaz lagi, ada doa dari Quran semasa naik kenderaan dan doa keluar rumah yang boleh dibaca..

Tertarik nak kongsi cerita tentang tapai pulut ini yang menjadi kegemaran kawan-kawan di Utara .  Teringat perbualan bersama rakan-rakan mengenai petua dan syarat menyediakan tapai pulut ini.

Alkisah seorang teman merungut kerana tapai pulutnya yang hendak dihidangkan di hari raya tak menjadi (masam) tidak seperti raya sebelum-sebelum ini. "Anak perempuan kak p habaq kat pak dia...mak buat tapai". Dia menyalahkan anak perempuannya kerana "bocor rahsia". Eh..apa kena mengena pulak tapai dengan rahsia, kak?

"Eh, tu sebab orang-orang tua dulu kalau buat tapai, tak cakap kat sesapa. Senyap-senyap aja. Kalau habaq kat orang, nanti tak jadi" ujarnya.

Diiyakan oleh beberapa rakan Utara dan turut menambah, "Orang perempuan yang datang haid pun tak leh buat. Nanti tapai tu jadi merah." Ish....merepek lah kak ni.

Seorang teman lain menceritakan pula pengalaman di ofis suaminya. Depa bergotong royong membuat tapai pulut di pejabat untuk majlis Sambutan Hari Raya. Bila selesai, mereka kemudiannya menyimpan tapai pulut yang berkilo-kilo tu di dalam bilik server (sejuk). Alangkah terkejutnya bila keesokan hari, tapai pulut itu masam dan terpaksa dibakulsampahkan. Yang pelik, beberapa bungkus tapai pulut yang dibawa balik, rasanya manis pulak!

Biasalah, lepas tu keluar cerita, ada staff perempuan mai haid dok buatlah..yang buat tu bukan tangan staff Melayu saja tapi macam-macam kaum buat (dah gotong-royong satu ofis la katakan).

Bagi kami pulak, Pak Mertua memang terror membuat tapai ubi (orang Jawa makan tapai ubi). Encik Suami kata, dulu orangtuanya menjual tapai ubi waktu mula-mula tiba Felda. Pak Mertua akan menyediakan tapai ubi itu waktu malam. Anak-anak dah tidur, jiran-jiran dah tidur. Bukan nak buat senyap-senyap (dah semua orang tau dia jual tapai!)....tapi suhu waktu malamlah paling sesuai untuk proses penapaian. Kemudian tapai ubi itu akan diletakkan di bawah pangkin (macam serambi) di rumahnya. Kalau nak masuk "ice box" ..nama lain selain peti sejuk..hee , tunggu dah jadi baru masukkan. Selain suhu, kalau tapai tak menjadi....RAGI lah yang menjadi puncanya...

P/S Pasti ada jawapan dari sudut Sains untuk masalah tapai pulut tu tak menjadi..suhu, ragi, kebersihan tangan dan lain-lain . Ingat nasihat Ustaz Amin....mungkin secara kebetulan perkara-perkara yang disebutkan berlaku. Ingat...syirik jangan dimulakan!!!!

Artikel berkaitan:

Tinggalkan Yang Haram


Pada suatu malam yang hening, seorang lelaki yang kelaparan berjalan-jalan di sekitar Madinah. Ketika mencari makanan, lelaki itu terbau makanan yang enak dari sebuah rumah berhampiran. Keadaan rumah itu gelap menandakan penghuninya sudah tidur. Oleh kerana nafsu laparnya tidak dapat dikawal tambahan pula tiada wang untuk membeli makanan, akhirnya dia mendapat ilham.

Sambil menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tidak ada orang melihat kelakuannya, lelaki itu menghampiri rumah itu bertujuan untuk memasukkinya. Setelah memastikan tiada siapa pun yang melihat perbuatannya, lelaki itu perlahan-lahan mengumpil pintu rumah itu dan terus masuk tanpa disedari tuan rumah.

Sebaik sahaja masuk, dia terus mencari di mana bau makanan itu disimpan. Akhirnya dia betemu makanan yang diletakkan di atas meja di dalam rumah. Tanpa berlengah, dia segera mencapai makanan yang enak itu. Tetapi perlakuannya tiba-tiba sahaja terhenti apabila teringatkan pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam ketika mengikuti majlis ilmu selepas Maghrib pada malam tersebut.

Di dalam majlis ilmu itu Rasulullah  Sollallahu Alahi Wassalam berulangkali berpesan, "Barangsiapa meninggalkan yang haram, dia akan mendapat yang halal". Teringatkan pesanan itu, lelaki itu tidak jadi hendak mengambil makanan tersebut walaupun pada ketika itu dia masih kabur apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam.

Akhirnya, lelaki itu pun beredar.

Ketika mahu melangkah keluar, dia ternampak sebuah almari. Di bawah almari itu terdapat sebuah laci. Lantas dia segera membukanya. Alangkah terkejutnya apabila dia terpandang barang-barang kemas yang tersimpan di situ. "Sudah tentu aku tidak perlu bekerja keras jika mendapat emas sebanyak itu", fikirnya di dalam hati.

Dia segera menggenggam emas itu untuk dimasukkan ke dalam poket baju tetapi sebaik saja menggenggamnya, pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Tinggalkan yang haram, percayalah kamu akan mendapat yang halal". Pesanan itu berulangkali menusuk ke telinganya.

Sekali lagi lelaki itu tidak jadi mengambil emas tersebut dan meletakkan semula ke dalam laci. Oleh kerana tidak jadi mengambil barang kemas itu, dia segera beredar. Ketika melewati sebuah bilik yang terbuka, dia terlihat seorang perempuan cantik sedang tidur.

Tergoda nafsu lelakinya apabila melihat wanita cantik itu tidur dengan pakaian menggairahkan. Dia tidak mampu untuk mengawal nafsu lantas menghampiri wanita yang sedang lena itu. Nafsunya meluap-luap tambahan pula hasutan syaitan supaya melakukan maksiat terhadap wanita itu tidak mampu dikawal lagi. Ketika itu juga nafsunya berperang hebat.

Saat dia mahu memegang tubuh wanita itu, sekali lagi pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam menusuk kuat dalam fikirannya. Akhirnya, dia tewas dengan pesanan yang menerjahnya.

"Tinggalkan yang haram. Kamu pasti akan mendapat yang halal".

Pesanan yang menerjah itu menyebabkan dia beristighfar berkali-kali. Perlahan-lahan dia keluar tanpa sempat menutup pintu itu semula sepertimana dia membukanya tadi. 

Setelah gagal memperolehi apa yang dihajati, dia kembali ke masjid. Tanpa disedari, Subuh hampir menjelang. Setelah bersolat Subuh secara berjemaah, dia kemudiannya pergi ke serambi lalu berbaring. Akhirnya dia terlena kerana terlalu mengantuk terjaga pada malam tersebut.

Apabila matahari sudah naik dan hari mulai siang, seorang wanita bertemu dengan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam yang ketika itu masih berada di masjid.

"Ya Rasulullah. Malam tadi rumahku telah dimasuki pencuri tapi mujurlah tidak ada barang yang hilang. Saya percaya pencuri itu akan datang lagi. Saya menjadi takut dan memohon Rasulullah mendapatkan seorang pengawal untuk mengawal rumah saya," beritahu wanita itu dengan harapan hajatnya dapat ditunaikan.

"Wahai puan, dengan siapakah kamu tinggal?" Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam bertanya.

"Saya seorang janda dan tinggal seorang diri, ya Rasulullah," ujarnya jujur.

Sebaik sahaja mendapat penjelasan itu, Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam memandang di sekitar masjid jika ada sesiapa yang boleh ditawarkan menjadi pengawal rumah wanita itu. Akhirnya, Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam ternampak lelaki tadi yang sedang terbaring di dalam masjid. Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam segera mengejutkan lelaki itu dan bertanya,

"Hai lelaki, apakah pekerjaan kamu sehingga tertidur di sini?"

"Ya Rasulullah, saya tidak mempunyai pekerjaan tetap"

"Adakah kamu sudah bekeluarga?"

"Saya seorang duda yang kematian isteri. Sejak itu hidup saya tidak terurus kerana sedih dengan pemergiannya , ya Rasulullah"

"Bagaimana kalau aku tawarkan kamu satu pekerjaan?"

"Apakah pekerjaan itu, ya Rasulullah?'

"Menjadi pengawal rumah seorang wanita."

"Siapakah wanita itu , ya Rasulullah?"

"Wanita itu seorang janda dan memerlukan pengawal kerana rumahnya telah dimasuki pencuri. Dia bimbang pencuri itu akan masuk lagi ke rumahnya." beritahu Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam sambil mengharapkan jawapan lelaki itu.

Kemudian Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam memperkenalkan wanita tersebut kepada lelaki itu. Alangkah terkejutnya lelaki itu apabila melihat wanita tersebut. Ya...dialah wanita yang hampir-hampir mencairkan imannya.

"Tetapi saya seorang duda dan dia seorang janda ya Rasulullah, tentulah tidak elok jika pada waktu malam saya berada di rumah itu." Lelaki itu melahirkan rasa bimbang.

"Jika begitu, bagaimana kalau saya cadangkan kamu berdua bernikah supaya kamu dapat menjadi penjaga rumah itu dan menjaga wanita ini dari sebarang gangguan."

Lelaki itu tidak menjawab. Dia tersipu-sipu malu. Begitu juga dengan wanita itu yang tersipu-sipu malu walaupun di dalam hati tidak menolak jika dijodohkan dengan lelaki itu.

"Apa pendapat kamu wahai lelaki?"

Olehkerana terlalu terharu dengan permintaan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam, lelaki itu akhirnya membuka rahsia. Dia menceritakan apa yang sebenarnya yang telah dilakukan pada malam itu gara-gara tidak dapat mengawal nafsu. Tetapi setelah diasak dengan terjahan pesanan-pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam supaya meninggalkan yang haram, dia tersedar lantas bertaubat.

Akhirnya Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam menikahkan lelaki itu dengan wanita tersebut bersaksikan para sahabat. Sebaik sahaja dinikahkan, barulah lelaki itu mengerti apa yang tersirat disebalik pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam supaya meninggalkan yang haram dan mendapat yang haram.

Lelaki itu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah menyelamatkannya dari hawa nafsu dan bisikan syaitan. Alhamdulillah......

Sumber : 100 Pesanan Terakhir Rasulullah oleh Muhd Nasruddin Dasuki

P/S Banyak pengajaran yang boleh dikaitkan dengan kehidupan kita pada masa ini.

Artikel berkaitan:

Kereta Tanpa Pemandu?



Boleh bayangkan tak perasaan Anim anak beranak bila melihat kereta ini bergerak dalam keadaan begitu rupa  (kereta ini tidak berhenti di tepi jalan yaa)...semakin dekat semakin berdebar jantung.

Almaklumlah ini bukannya PLUS Highway yang banyak kenderaan lalu lalang. Bantuan PLUS pun tak ada no....Seram sejuk gak bila teringat cerita kereta Volkswagen kuning yang bergerak tanpa pemandu yang sinonim dengan Karak Highway satu masa dulu...tak taule sekarang... 

Tarik nafas lega bila sewaktu kami melintasinya, terlihat pemandu dan penumpangnya ada di dalam kereta. Kalau berjalan sendiri dan tiada pemandu...jawabnya CHA ALIF BUT....mau 200 km/h pecut. Heeeee....

Sambil meneruskan perjalanan....kami berbincang sama sendiri. Hebatnya driver...macamana dia boleh bawa kereta betul-betul dilaluannya tanpa tersasar kiri kanan..Elok cantik, tegak lurus .. Ibarat orang buta bawak kereta! Bak kata Encik Suami...dalam keterpaksaan , dalam situasi terdesak, kadang-kadang kita boleh buat sesuatu diluar kemampuan manusia normal.

P/S Depa pun tak berani nak stop tepi jalan kerana tak banyak kereta lalu lalang...Tawakal sajalah memandu ke pekan berdekatan agaknya...

Artikel berkaitan:

Hadiah Raya.....


"Munyatul Musolli : Sheikh Daud Abdullah al-Fathoni"

Pemberian seorang Ustazah. Kami bertukar-tukar pendapat mengenai ceramah Ustaz Shamsuri di YouTube mengenai Solat Tasbih. Beberapa hari menjelang Syawal 1433H, dia menghadiahkan kitab yang begitu istimewa ini. Menariknya kitab Munyatul Musolli versi B.Malaysia , cetakan ke12 ini telah diterjemahkan dari loghat Fatoni (menurutnya, susunan kata-kata dalam loghat asal amat sukar difahami) ke dalam B.Malaysia.

Kitab ini begitu popular dikalangan penuntut pusat-pusat pengajian pondok, madrasah dan surau di Utara Semenanjung Malaysia dan juga selatan Thailand sejak kira-kira 200 tahun lalu. Ia amat berguna dan baik untuk dipelajari oleh para pelajar dan orang awam terutama mereka yang baru hendak mengenali hal-hal berkaitan sembahyang.


"9 Di Antara Amalan Soleh Utama Yang Menjadi Kunci Murah Rezeki &
 4 Di Antara Perkara Yang Menyebabkan Rezeki Menjadi Sempit "
Pemberian Ustaz Akmal sempena Majlis Khatam Quran anjuran sekolah, Ramadan baru-baru ini. Walaupun hanya 45 mukasurat, buku tulisan Ustaz Ghazali Ibrahim ini menarik kerana beliau mengeluarkan dalil dan ayat-ayat tentang rezeki dari al-Quranul Karim.

"Motivasi Memburu Kejayaan: 3K" 
Pemberian Encik Suami beberapa hari lalu pun sudah banyak kali diulangcetak.

Menariknya...dia yang mendengar slot motivasi dan berjumpa sendiri dengan penulis, Datuk Dr. Maznah Hamid, "The Iron Lady" di Kota Bharu turut meniupkan "kata-kata motivasi" kat Anim.."Anim kena percaya pada diri sendiri.."

P/S Kerana percaya pada diri sendirilah...terlahirnya blog yang asalnya bertujuan syok sendiri, heee...

Artikel berkaitan:

# Rabu Yang Senyap 7: Anda Patriotik Seperti Saya?

 
                                             TAHNIAH....

Artikel berkaitan:

Suka-suka Cari Tempat...

Mencari Chee ke sana sini...ingatkan dah "menyeberang" rumah jiran sebelah. Ternampak sesuatu bergerak-gerak bawah pokok serai...

Apa hang buat situ, Chee? Tak sihat ke? Haiwan peliharaan sebelum ni ada yang mati dipatuk ular...

Laaaa....hang suka bertelur kat belukar nooo...ni telurnya yang ke 12,13 dan 14..

Phua yang meningkat dewasa...tapi masih spesis "budak mentah" lagi...

P/S Terperasan Chee dok "mengajak" tapi alahai si jantan Phua masih tak reti-reti lagi.

Artikel berkaitan:

Cara-Cara Mendatangkan Keikhlasan Dalam Amalan


Assalamualaikum wbt...

IKHLAS adalah perkara pokok dalam ibadat. Ia juga merupakan pintu pahala, amalan penolak bala dan sebab-sebab turunnya rahmat Allah SWT. Cara-cara ini mendatangkan keikhlasan di dalam amalan seharian:

1. Sentiasa menghadirkan niat dalam setiap amal perbuatan kita sehinggakan perkara-perkara yang remeh. Sepertimana yang dilakukan oleh seorang tabi'iin  Abdul Rahmaan bin Yazid. Beliau sentiasa berniat ketika melakukan sesuatu sehinggakan makan dan minum.

2. Cuba tanamkan di dalam hati perasaan bencikan pujian daripada hasil amalan kita. Kita lakukan amalan di dunia adalah sebagai bekalan untuk berhadapan dengan Allah SWT bukannya amalan itu untuk kepentingan duniawi dengan mendapatkan kemahsyuran dan lain-lain. Di perhimpunan Mahsyar kelak, Allah SWT mencabar orang yang riyak supaya dia memanggil orang-orang kerananya dia lakukan amalan supaya mereka menolong si riyak tadi di hadapan Allah SWT.

3. Sentiasa memuhasabah setiap amalan yang dilakukan samada benar-benar kerana Allah SWT ataupun sebaliknya. Biasanya kita mengetahui keadaan niat kita. Kalau kita rasa tidak ikhlas, bersegeralah bertaubat serta beristighfar kepada Allah SWT. Antara sifat orang yang benar-benar ikhlas dengan Allah SWT, perasaan bahawa amalan kita tidak akan diterima oleh Allah SWT lalu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat mengikut kehendak Allah SWT.

4. Ulama telah menyebut dua syarat penting supaya amalan kita diterima oleh Allah SWT. Pertama, ibadah yang betul dan bertepatan dengan kehendak syariat. Kedua, yang benar-benar ikhlas kepada Allah SWT

5. Membiasakan diri dengan melakukan ibadat secara bersendirian dan jauh dari pandangan umum serta kita tidak suka kalau amalan kita diketahui umum. Salah satu cara terbaik adalah bangun sembahyang malam ketika mana orang tidur lena. Waktu itu kita hanya keseorangan bermunajat kepada Allah SWT serta doa pada waktu itu dimakbul oleh Allah SWT.

6. Tidak tertipu dengan pujian umum tentang kita serta sentiasa beristighfar jika dipuji serta menerangkan bahawa segala puji hanya layak bagi Allah SWT. Sentiasa bertawadduk dengan pujian orang, menyedari bahawa amalan yang kita lakukan tidak dapat untuk membalas nikmat yang telah Allah SWT anugerahkan kepada kita.

7. Cuba letak di dalam diri kita bahawa setiap amalan yang dilakukan hanya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT bukannya mengharapkan balasan manusia serta pujian mereka.

8. Di antara tanda keihklasan adalah sifat sabar di atas jalan Allah SWT. Sesungguhnya amalan yang dilakukan tidak semestinya mendapat balasan segera. Kadang-kadang kita mudah putus asa serta diselimuti oleh perasaan malas. Amalan yang ikhlas hasilnya besar di sisi Allah SWT walaupun kita tidak menikmatinya di dunia.

9. Orang yang benar-benar ikhlas akan merasakan kenikmatan dalam beribadat lalu dia sentiasa mempertingkatkan daya keimanan dengan menambahkan amalan-amalan sunatnya sehingga dia mencapai taraf kekasih Allah SWT yang setiap permintaan dikabulkan Allah SWT.

10. Menjauhkan diri daripada berbangga diri sendiri dan amalan yang dilakukan di samping mengelak daripada suka meninggikan diri sendiri.

11. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dijauhi daripada sifat riyak.

~Wallahua'lam~

P/S Sumber : 26 Pintu Pahala Ke Arah Insan Mukmin, Al Hidayah Publications.

Artikel berkaitan:

Bahaya Solat Tanpa Khusyuk



Ada orang bertanya mengenai tafsir ayat yang ke4 dan ke5 dari surah Al-Ma'un yang bermaksud:

"Maka Kecelakaanlah akan didapati orang-orang yang solat. Yang solat itu dalam keadaan lalai."

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah mencadangkan bahawa neraka tersebut diperuntukkan bagi mereka yang mengerjakan solat, tetapi solat mereka itu dalam keadaan lalai dan lupa. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan lalai itu? Jawabnya, ada beberapa perkara yang termasuk di dalam ertikata lalai itu.

Pertama. Mereka yang lupa ketika mendirikan solat sehingga tidak disedarinya berapa rakaat solat yang sedang dikerjakannya itu.

Kedua. Mereka lalai dengan kedatangan waktu solat fardu ataupun mereka ingat waktu solat tetapi bertangguh-tangguh, nanti dulu, nanti sebentar lagi dan sebagainya. Mereka bertangguh-tangguh itu sama ada disebabkan urusan pekerjaan dan seumpamanya.

Termasuk juga dalam ertikata lalai ialah mereka yang melupakan maksud sebenar solat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Walaupun ia mendirikan solat namun bukan dari kesedaran akan maksud dan hikmat solat itu.

Ibnu Jabir pula mengertikan perkataan lalai itu ialah mereka tidak bersungguh-sungguh mengerjakannya. Dalam solat, ingatannya melayang kepada yang lain, tidak disegerakan untuk membulatkan ingatannya kepada Allah SWT.

Adapun maksud sebenar mengenai lalai dan lupa itu ialah mereka yang sekiranya melakukan solat di awal waktu itu merasa beruntung serta bersyukur kepada Allah SWT telah mengurniakan kepadanya sehingga dapat melakukan solat di awal waktu. Dan jika melambat-lambatkan solatnya sehingga dihujung waktu pun tidak merasa sesuatu yang merugikan malah tidak pula merasa keluh kesah kerana ia telah melewat-lewatkan kewajipan solat fardhu itu.

Orang yang telah sampai ke peringkat tidak merasai perbezaan antara solat di awal waktu atau solat di hujung waktu, maka dalam keadaan tersebut jika pun ia mendirikan solat tetapi malangnya ia telah direzabkan oleh Allah SWT untuk mendapat kedudukan yang selayaknya iaitu di dalam neraka.

Ada juga orang terlambat mengerjakan solat kerana ia tertidur.Walaupun tertidur dan terlupa itu suatu perbuatan yang tidak dikira salah disisi syariat, namun hendaklah diperhatikan dari pelbagai sudut. Apakah ia tidur setelah masuk waktu solat atau ketika waktu solat telah hampir tiba? Jika dalam keadaan itu, maka ia disifatkan sebagai cuai.

Dengan kecuaian itu juga Allah SWT akan mendatangkan balasannya sesuai dengan kecuaian yang telah dilakukannya. Tidur yang dianggap sebagai ibadah hanyalah tidur yang dilakukan sebagai modal untuk berjaga malam kerana hendak melakukan solat malam seperti yang digalakkan oleh Islam.

~Wallahua'lam~

P/S Sumber: Khusyuk Dalam Solat (Siri Tazkirah Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Artikel berkaitan:

Apa pendapat anda tentang gambar ini?

Anim suka lihat awan sejak berpindah ke SP. Mungkin area Utara ni banyak bendang (tak banyak pokok tinggi cam pokok sawit di Johor) jadi pemandangan awannya sangat indah di mata Anim. Minat ini akhirnya turun ke 2 Abdul dan kami akan meneka-neka bentuk sesuatu awan yang dilihat jika ke mana-mana. Dek kerana faham kecintaan isterinya, Encik Suami suka capture gambar awan kalau ke mana-mana. Heee...bukan gambar pramugari yaa...

Sebaik pulang dari Kota Bharu, Encik Suami ada beritahu dia capture gambar awan atas flight MAS  ( Penang - KLIA - Kota Bharu).Satu-satu Anim belek dari hp nya. Ada 2 gambar yang diambilnya (KLIA - Kota Bharu) benar-benar menarik perhatian Anim..

Komen 2 Abdul...sorang kata macam sotong, sorang kata macam angel....

2 Abdul kata tak ada yang menarik di gambar ini. Namun mata Anim menemui sesuatu. Anda bagaimana? Ada tak anda nampak apa yang Anim nampak?
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
Apa pendapat anda?

P/S Saja suka-suka.....

Artikel berkaitan:

Tersumbat


Notis ini ditemui di sebuah tandas masjid di Kulai baru-baru ini....sapa agaknya yang buat onar yang menyusahkan pihak masjid ni...

Bilik air ke2 rumah kami duduk sudah berminggu tersumbat. Bila mandi..."banjir" lah. Sudahnya..2 Abdul menumpang bilik air master bedroom. Jenuh berebut pagi nak ke sekolah. Pulang beraya di kampung....sinki pula buat hal.  Mood memasak terjunam terus ke laut. Tak tahan mata tengok pinggan berlonggok di sinki.

Berpindah-randah sudah 13 kali tapi tak pernah hadapi situasi sebegini. Apalagi..buat entrylah..heee.

Mula-mula depa korek lubang.....

Warna putih tu LEMAK dari santan, dari minyak...Baunya? Masya-Allah...macam sisa makanan yang tak dibuang berhari-hari.

Mesin pemampat (compressor machine) untuk "tembak air" laju...depa kata lah..

Yang ni kalau ingat-ingat balik...tak lalu makan...faham-faham sendirilah...

2 hari juga depa berkampung....1 hari cari masalah sinki, 1 hari cari masalah bilik air.. Dan tau tak dalam kes bilik air tersumbat tu apa  yang depa jumpa ?

Stokin sekolah dan 2,3 biji tutup botol... hmmmm..nak salahkan siapa? Takkan nak salahkan penyewa lama. Khabarnya sebelum kami berpindah masuk...sudah 8 bulan rumah ini kosong. Kami punya ONARlah ni...heeee


P/S MORAL OF THE STORY...seminggu sekali jirus sinki dengan air panas. Sisa minyak yang dah tak nak guna , kuah lemak, santan atau gulai tu kena masuk dalam botol dan buang. Jangan curah je dalam sinki...

Artikel berkaitan:

Ini cerita sebenarnya....

TQ..TQ kepada Faiz, Huda, Fieda, Norliza dan Aien Alien yang sudi membina ayat untuk  entry semalam. Haaaa..sesekali cikgu buat test, tersenyum baca ayat lucu depa. Nampaknya ayat Norliza hampir tepat dengan cerita sebenarnya..Siapa gerangan pembaca setia blog Anim ni agaknya? Adakah Norliza teman sama study di Bangi dulu?

Sejak peristiwa Si Bisu t e r p e r a n g k a p dulu, Anim akan pastikan dia tidak "tertinggal" di dalam rumah sekiranya kami keluar ke mana-mana. Baik anak-anak, Encik Suami malah Anim sendiri akan memeriksa terperinci semua bilik dan "di sebalik langsir tingkap" sebelum keluar rumah.

Mau tak tepuk dahi...sib baik tak jatuh pengsan..bila buka pintu rumah selepas 8 hari berhari raya di Johor tempohari. Si Bisu ada dalam rumah! Masya-Allah...hang memang nak kena! Macamana hang masuk nih! Tambah hangat bila 2 Abdul menjerit "Dia berak, kencing atas katil, dalam bilik kita orang". Dugaan Syawal ni... Satu kereta barang belum bawa turun...sibuk check satu rumah kot2 dia ada melepas sana sini. Mencuci tu dah satu bab lain..

Nasib baiklah 2 pintu lagi kami tutup rapat. Kalau tak, mau migrain tuan rumah! Dalam meneka-neka darimana dia mencuri masuk...ditakdirkan malam tu anak-anak menjerit bila terlihat Si Bisu sudah ada kat atas tingkap bilik anak-anak. Tinggi tu!!!Ada dalam 10 kaki.. Terpaksalah Encik Suami panjat tangga turunkan dia. MORAL OF THE STORY: Kalau hangpa tak dak rumah, aku lompat atas katil!

So, kami keluar SENJATA utama halau kucing zaman kami kecik-kecik dulu. Ish...bukan buat sebat Si Bisu, tapi sebat LANTAI. Dia kan binatang, ada akal macam kita ke nak kena sebat, nak kena balun? Bukan kata doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah SWT..binatang pun sama jugak. Dia pun makhluk bernyawa yang turut bertasbih. MORAL OF THE STORY: Kalau hangpa sebat aku, aku tuntut untuk sebat hangpa pulak kat Padang Masyhar nanti!

Memang power PENYAPU LIDI ni ..bila kita sebat lantai..bunyi "chek..chek"...mencicit dia lari bila cuba nak jengok muka di pintu. Lucunya, lepas 2,3 hari...Si Bisu ingat hati kami dah sejuk..dia meluru masuk bila pintu rumah terbuka...Kemudian baru tayang penyapu (belum sebat lantai lagi)..slow-slow dia undur badannya keluar rumah. Heee....jangan terkejutlah bila lihat penyapu lidi jadi dekorasi kat rumah Anim la ni. Nak denda dia...kawasan dalam rumah adalah kawasan larangan buatnya masa ni..sehingga diberitahu kelak.. So, takleh lagi melepas-lepak atas sofa, bawah kerusi. Ndak tak ndak...kenalah cari port lain untuk tidur, dalam bakul motor ke..atas kereta . MORAL OF THE STORY:  Tolong aku..bantu aku..aku ini kucing bisu. Aku janji tak buat lagi!

UPDATE : Ternampak Si Bisu berehat-rehat di rumah neighbour India, depan rumah kami petang tadi. Pandai-pandailah jaga diri ya...jangan kena baling dengan sepatu sudah. MORAL OF THE STORY (monolog tuan rumah) : Den tak dopek nak nolong!

Artikel berkaitan:

#Rabu Yang Senyap 6: Denda

 
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^

P/S  Ada yang boleh bantu buat entry...satu baris ayat..heeee

Artikel berkaitan: