Home · About Me · Sitemap ·

Tinggalkan Yang Haram


Pada suatu malam yang hening, seorang lelaki yang kelaparan berjalan-jalan di sekitar Madinah. Ketika mencari makanan, lelaki itu terbau makanan yang enak dari sebuah rumah berhampiran. Keadaan rumah itu gelap menandakan penghuninya sudah tidur. Oleh kerana nafsu laparnya tidak dapat dikawal tambahan pula tiada wang untuk membeli makanan, akhirnya dia mendapat ilham.

Sambil menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tidak ada orang melihat kelakuannya, lelaki itu menghampiri rumah itu bertujuan untuk memasukkinya. Setelah memastikan tiada siapa pun yang melihat perbuatannya, lelaki itu perlahan-lahan mengumpil pintu rumah itu dan terus masuk tanpa disedari tuan rumah.

Sebaik sahaja masuk, dia terus mencari di mana bau makanan itu disimpan. Akhirnya dia betemu makanan yang diletakkan di atas meja di dalam rumah. Tanpa berlengah, dia segera mencapai makanan yang enak itu. Tetapi perlakuannya tiba-tiba sahaja terhenti apabila teringatkan pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam ketika mengikuti majlis ilmu selepas Maghrib pada malam tersebut.

Di dalam majlis ilmu itu Rasulullah  Sollallahu Alahi Wassalam berulangkali berpesan, "Barangsiapa meninggalkan yang haram, dia akan mendapat yang halal". Teringatkan pesanan itu, lelaki itu tidak jadi hendak mengambil makanan tersebut walaupun pada ketika itu dia masih kabur apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam.

Akhirnya, lelaki itu pun beredar.

Ketika mahu melangkah keluar, dia ternampak sebuah almari. Di bawah almari itu terdapat sebuah laci. Lantas dia segera membukanya. Alangkah terkejutnya apabila dia terpandang barang-barang kemas yang tersimpan di situ. "Sudah tentu aku tidak perlu bekerja keras jika mendapat emas sebanyak itu", fikirnya di dalam hati.

Dia segera menggenggam emas itu untuk dimasukkan ke dalam poket baju tetapi sebaik saja menggenggamnya, pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Tinggalkan yang haram, percayalah kamu akan mendapat yang halal". Pesanan itu berulangkali menusuk ke telinganya.

Sekali lagi lelaki itu tidak jadi mengambil emas tersebut dan meletakkan semula ke dalam laci. Oleh kerana tidak jadi mengambil barang kemas itu, dia segera beredar. Ketika melewati sebuah bilik yang terbuka, dia terlihat seorang perempuan cantik sedang tidur.

Tergoda nafsu lelakinya apabila melihat wanita cantik itu tidur dengan pakaian menggairahkan. Dia tidak mampu untuk mengawal nafsu lantas menghampiri wanita yang sedang lena itu. Nafsunya meluap-luap tambahan pula hasutan syaitan supaya melakukan maksiat terhadap wanita itu tidak mampu dikawal lagi. Ketika itu juga nafsunya berperang hebat.

Saat dia mahu memegang tubuh wanita itu, sekali lagi pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam menusuk kuat dalam fikirannya. Akhirnya, dia tewas dengan pesanan yang menerjahnya.

"Tinggalkan yang haram. Kamu pasti akan mendapat yang halal".

Pesanan yang menerjah itu menyebabkan dia beristighfar berkali-kali. Perlahan-lahan dia keluar tanpa sempat menutup pintu itu semula sepertimana dia membukanya tadi. 

Setelah gagal memperolehi apa yang dihajati, dia kembali ke masjid. Tanpa disedari, Subuh hampir menjelang. Setelah bersolat Subuh secara berjemaah, dia kemudiannya pergi ke serambi lalu berbaring. Akhirnya dia terlena kerana terlalu mengantuk terjaga pada malam tersebut.

Apabila matahari sudah naik dan hari mulai siang, seorang wanita bertemu dengan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam yang ketika itu masih berada di masjid.

"Ya Rasulullah. Malam tadi rumahku telah dimasuki pencuri tapi mujurlah tidak ada barang yang hilang. Saya percaya pencuri itu akan datang lagi. Saya menjadi takut dan memohon Rasulullah mendapatkan seorang pengawal untuk mengawal rumah saya," beritahu wanita itu dengan harapan hajatnya dapat ditunaikan.

"Wahai puan, dengan siapakah kamu tinggal?" Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam bertanya.

"Saya seorang janda dan tinggal seorang diri, ya Rasulullah," ujarnya jujur.

Sebaik sahaja mendapat penjelasan itu, Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam memandang di sekitar masjid jika ada sesiapa yang boleh ditawarkan menjadi pengawal rumah wanita itu. Akhirnya, Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam ternampak lelaki tadi yang sedang terbaring di dalam masjid. Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam segera mengejutkan lelaki itu dan bertanya,

"Hai lelaki, apakah pekerjaan kamu sehingga tertidur di sini?"

"Ya Rasulullah, saya tidak mempunyai pekerjaan tetap"

"Adakah kamu sudah bekeluarga?"

"Saya seorang duda yang kematian isteri. Sejak itu hidup saya tidak terurus kerana sedih dengan pemergiannya , ya Rasulullah"

"Bagaimana kalau aku tawarkan kamu satu pekerjaan?"

"Apakah pekerjaan itu, ya Rasulullah?'

"Menjadi pengawal rumah seorang wanita."

"Siapakah wanita itu , ya Rasulullah?"

"Wanita itu seorang janda dan memerlukan pengawal kerana rumahnya telah dimasuki pencuri. Dia bimbang pencuri itu akan masuk lagi ke rumahnya." beritahu Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam sambil mengharapkan jawapan lelaki itu.

Kemudian Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam memperkenalkan wanita tersebut kepada lelaki itu. Alangkah terkejutnya lelaki itu apabila melihat wanita tersebut. Ya...dialah wanita yang hampir-hampir mencairkan imannya.

"Tetapi saya seorang duda dan dia seorang janda ya Rasulullah, tentulah tidak elok jika pada waktu malam saya berada di rumah itu." Lelaki itu melahirkan rasa bimbang.

"Jika begitu, bagaimana kalau saya cadangkan kamu berdua bernikah supaya kamu dapat menjadi penjaga rumah itu dan menjaga wanita ini dari sebarang gangguan."

Lelaki itu tidak menjawab. Dia tersipu-sipu malu. Begitu juga dengan wanita itu yang tersipu-sipu malu walaupun di dalam hati tidak menolak jika dijodohkan dengan lelaki itu.

"Apa pendapat kamu wahai lelaki?"

Olehkerana terlalu terharu dengan permintaan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam, lelaki itu akhirnya membuka rahsia. Dia menceritakan apa yang sebenarnya yang telah dilakukan pada malam itu gara-gara tidak dapat mengawal nafsu. Tetapi setelah diasak dengan terjahan pesanan-pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam supaya meninggalkan yang haram, dia tersedar lantas bertaubat.

Akhirnya Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam menikahkan lelaki itu dengan wanita tersebut bersaksikan para sahabat. Sebaik sahaja dinikahkan, barulah lelaki itu mengerti apa yang tersirat disebalik pesanan Rasulullah Sollallahu Alahi Wassalam supaya meninggalkan yang haram dan mendapat yang haram.

Lelaki itu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah menyelamatkannya dari hawa nafsu dan bisikan syaitan. Alhamdulillah......

Sumber : 100 Pesanan Terakhir Rasulullah oleh Muhd Nasruddin Dasuki

P/S Banyak pengajaran yang boleh dikaitkan dengan kehidupan kita pada masa ini.

Artikel berkaitan:

Belum ada komen untuk "Tinggalkan Yang Haram"

Catat Ulasan

Komen anda amat dihargai