Home · About Me · Sitemap ·

Sambutan Hari Raya terakhir di SP


Asalamualaikum wbt..

Nak buat entry ni fikir 2 kali. Maklum, ini majlis orang dan Anim hadir sebagai tetamu. Tapi memikirkan catatan ini mungkin menjadi kenangan buat mereka yang mengenali Encik Suami di SP (manalah tau ada anak buahnya yang terbaca entry ini) , tergerak pulak nak share apa yang berlaku disebalik peristiwa.

Baju Melayu hijau muda Encik Suami tu baru dibeli petang sebelum majlis. Bukan salah Mem Besar tak tempahkan baju Melayu buatnya. Sebelum Ramadhan, beli bahan baju Melayu 2 pasang seorang untuk 2 Abdul. Kita minta dia pilih salah satu warna yang 2 Abdul suka.  Tapi, dia kata nahe..nahe. Alasannya, dia nak beli jubah hitam di Mekah. Nak pakai raya..Ok..fine.

Sehari sebelum majlis, dibelek-beleknya jubah hitam tu. Ditanyanya kita, sesuai tak dipakai di Majlis Hari Raya. Kopiah hitam, jubah hitam...nanti dikata S***h pulak katanya (lagi-lagi Kedahan kan). Kita sambung..Camtulah selalunya tanggapan orang. Suka salah sangka. Kalau berjanggut dicop jemaah tabligh. Agaknya kalau sarung jubah hitam, kopiah hitam apatah lagi serban hitam, terus dicop S***h walhal kalau kita belajar tentang keperibadian Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam, Baginda pernah menyampaikan khutbah di hadapan orang ramai dengan memakai serban berwarna hitam (Hadis direkodkan oleh Tirmizi, Muslim, Abu Dawud dan Nasa'i).

Bila tengok pinggan mangkuk di meja, camtulah dia dari dulu sampai la. Seboleh-bolehnya tak nak jamu tetamu dengan pinggan kertas@polisterine. Tak de istilah "senang tak yah basuh" buatnya. Dulu, kalau kami buat kenduri@open house di rumah, dimintanya Anim keluarkan pinggan mangkuk yang ada. Dia sanggup upah orang cuci pinggan kalau kita kata "sapa nak basuh pinggan"..

Orang Johor, kalau buat majlis memang meriah. Mesti ada muzik bagai..huhu. Tengok jelah majlis kahwin orang Johor. So, sedikit sebanyak terpengaruh jugak. Kalau tahun lalu, kami dihiburkan dengan lagu-lagu dari Pak Long, tahun ini anak-anak dari Maktab Mahmud Merbok pula yang menghiburkan kami dengan lagu-lagu nasyid. Best..best..

Bergambar dengan Bossnya di Alor Setar. Nampak makanan atas meja? Percaya tak, balik rumah, dia mengadu lapar dan cari nasi. Kita heran sebab punyalah banyak makanan atas meja. Dia kata bila jadi host, tak lalu makan. Sibuk layan orang (kita kat belakang tersengih tu..dah kenyang, tak larat bangun). Rasa-rasa..esok kalau dapat menantu...dia jugaklah yang sibuk dari Mem Besar.

Alhamdulillah...terselit antara 10 pemenang Cabutan Bertuah. Sandwich Maker ni bakal kami anak beranak gunakan di tempat baru. Mana tu?? Tunggu pengumuman selanjutnya...huhu..

P/S  Sayu pulak nak tinggalkan SP. Alhamdulillah, apa yang kami niatkan waktu berpindah ke SP, 4 1/2 tahun yang lalu banyak tertunai (setiap amalan bergantung pada niat, betul tak?). Dan nampaknya...kena pasang niat lain pula nak bertukar ke tempat baru ni.

Artikel berkaitan:

Kiriman rakan blogger dari Doha


Assalamualaikum wbt..

Selasa lalu (sewaktu Majlis Sambutan Hari Raya di sekolah) dapat call dari Poslaju. Depa dah ada depan rumah, nak hantar parcel. Tanya kita, bila ada kat rumah. Bila kata masih di sekolah dan balik jam 2, sempat minta depa "campak" parcel tu ke dalam pagar. Dalam kepala ni, terbayang sejadah putih yang Anim kirim dari SIL.

Tiba rumah, parcel ini terletak cantik di tempat kasut. Rupa-rupanya Encik Suami terlupa kunci salah satu pagar, macam tau-tau aja..Syukurlah, despatch Poslaju tu tak ikut arahan Anim...heee. Terima kasih Poslaju!.

Sungguh terkejut kerana kiriman itu datang dari rakan blogger, Huda yang menetap di Doha, Qatar. Kami berkenalan melalui blog. Huda balik sambut Syawal di rumah familynya di Batu Pahat. Ingatkan..bolehlah jumpa nanti. Tapi tak berkesempatan nampaknya.  Terharu sungguh menerima kiriman darinya. Kenal pun tidak, bersua muka pun belum lagi. (InsyaAllah...mudah-mudahan satu hari nanti)

Terharu bila satu-satu kiriman itu dibelek. 1) Coconut dusted (Turkish delight) kacang pistachio, hazelnut dan almond yang superb. Pasti ini ole-ole yang dibawanya pulang sewaktu bercuti ke Turki sebelum ini. 2) Water perfume non alcohol yang harum dan lembut baunya. 3) Sabun wangi dalam bekas tertera Istanbul (kalah Body Shop) dan 4) Fridge magnet Qatar. Maaf, bukan niat nak menunjuk-nunjuk..sekadar menyatakan penghargaan terima kasih buatnya.

P/S Petang semalam, dapat call dari Poslaju lagi. Kali ni depa ada depan pagar sekolah. Dah pukul 6 petang, sure lengang sekolah. Khamis kan half day. Rupa-rupanya SIL pos guna address sekolah. Depa habaq kalau nak ambil barang kat ofis Poslaju Bakar Arang petang semalam, depa akan tunggu hingga jam 7.30 malam. Eeh..bagusnya Poslaju Sg.Petani ni..Sama ke perkhidmatan Poslaju di tempat kawan-kawan?

Artikel berkaitan:

Cerita Cempedak Singkir dan Laksa Johor


Assalamualaikum wbt..

Cerita 1

Balik dari lawatan kerja di Tanjung Dawai, Encik Suami bawa pulang 2 biji cempedak Singkir. Sebiji yang berulas besar berwarna oren kemerahan (isi tak banyak) dimakan begitu saja mereka 3 beranak. Sebiji lagi tidak dibelah, minta digoreng keesokan pagi.

"Nak bagi deorang yang bau cempedak dalam kenderaan tadi, rasa", katanya.

Alkisah, selepas membeli cempedak tu di tepi jalan dan membawanya masuk kenderaan jabatan yang turut membawa beberapa staffnya, bau wangi cempedak tersebut menusuk hidung.

Kalau ke Tanjung Dawai, jangan lupa cari cempedak Singkir. Sedap, lemak manis rasanya..

Mem Besar bersuara juga. Sebiji je buah cempedak yang ada, nak digoreng bagi staff rasa..cukup ke? Kenapa dihabiskan sebiji lagi? Kenapa tak beli lebih? 

"Tak kisahlah berapa yang dapat. Nak bagi rasa je pun. Deorang dapat bau je semalam" jawabnya.

Mau tak terkejut, bila dibelah pagi tu, satu biji cempedak Singkir berharga RM4 ringgit (dalam 12" panjang) mengandungi hampir 100 ulas. Naik jenuh menggoreng. 4 kali gorengan. Awatlah tak habis-habis menggoreng ni...kita nak bersiap ke sekolah pulak, huhu...

Bukan saja staff yang bau cempedak dalam kenderaan tu saja dapat makan, staff lain yang tak bau pun dapat rasa. Kita pun boleh bawa bekal p sekolah..huhu

Cerita 2

Dekat 4 1/2 tahun mengajar kat SP, hari ni dalam sejarah jamu laksa Johor untuk geng bas sekolah. Ada sambutan Hari Raya peringkat sekolah pagi tadi. Takkan orang Johor nak buat lemang, tapai pulut , gulai batang pisang kat orang Utara kan?

Serik sebenarnya nak perkenalkan makanan Johor kat geng bas sekolah Utara ni. Teringat waktu 1st year di sini, sewaktu sambutan Hari Raya, kita pun tunjuk rajin buat lontong dan kuah lodeh. Ada yang tak reti makan (maybe tak biasa). Eleh..dia pun 2x5..sampai la tak reti makan tapai pulut. Tambah2 yang digaul dengan kelapa tu...

Dek kerana bimbang depa tak suka, buat 2 peket spaghetti. Kuah laksa pun dengan menggunakan 6 ekor ikan tenggiri saiz kecil. Syukurlah respons yang diterima amat memuaskan (kena buat lagi). Kalau nak tahu, 98% geng bas sekolah Anim tak pernah makan Laksa Johor, huhu. Agaknya, habis bukan kerana sedap tapi mereka tak tahu rasa Laksa Johor yang sebenarnya..heee. 

P/S Tak tahulah, kalau air tangan orang..memang sedap aja masuk mulut kita.

Artikel berkaitan:

Ole-ole untuk Bonda

Assalamualaikum wbt...

Lama dah jejari ni tak menyentuh keyboard. Idea pun tersangkut-sangkut. Maklumlah, sebaik tiba rumah dari berkursus, Jumaat malam lalu, macam-macam perkara nak disettlekan.

Lebih seminggu Bonda berada di SP, menemankan 2 Abdul dan Bapak Abdul. Puas katanya sebab di bawa Encik Suami pergi merata pasar dan pasar malam sekitar SP. Ooo..Bonda memang suka p pasar kat SP . Macam-macam ada...(mak dan bapak je yang tak ada, katanya). Macam-macam yang turut dibawa balik. Jeruk maman, ikan masin, laksa kering (Muslim produk), kuah rojak Mak Bee, pisang Raja muda...dan macam-macam lagi. Waktu Anim balik kursus, semua dah disusun masuk beg.

Selain membawa balik sedikit buah mata kucing (kali ni buah tak banyak) sempat juga carikan buah jentik untuk Bonda bawa balik. Kat Johor takde buah jentik...huhu. (Buah jentik tu dijentik bagi terbuka kulitnya)

Ni cara si Abdul makan buah jentik. Kita plan nak belikan untuk Bonda...depa pun berebut sama (susah nak dapat)..

Kalau dulu, bawa balik rempah instant...kali ni Anim belikan puri lengkuas, puri serai dan puri bunga kantan. Maklum...kadang-kadang kita nak guna lengkuas, serai dan bunga kantan on the spot, tinggal buka tutup jar saja. Bau dan rasa...takleh nak beza.

Nak tempahkan flight dia tak mahu. Tak nak susahkan sesiapa ambil di Senai katanya. Kalau naik bas ekspress dan turun Kluang, adik di Kluang boleh ambil dan hantar dia balik rumah (setengah jam).

Belikan handbag untuk Bonda masa ronda Sogo (malam takde kelas, so merayaple). Namun semua tu tak boleh dan layak dibandingkan dengan kesediaan Bonda ikut serta ke SP untuk menemankan 2 Abdul dan Bapak Abdul semasa ketiadaan Anim. Bak kata 2 Abdul, kalau nenek tak ada, depa makan kat kedai atau Maggi ajalah, huhu. Walaupun 2 Abdul dah boleh urus diri sendiri, Bibik pun datang kemas, cuci dan gosok baju tapi tang makan tu yang jadi masalah.

Encik Suami pun ada teman berpuasa 6 sepanjang ketiadaan Anim. Ada Bonda di rumah, sukalah dia. Kita pulak naik jealous bila si Abdul wassap gambar Encik Suami berbuka puasa dengan pengat keledek dan pisang, atau karipap atau kuih muih yang Bonda buat sendiri.

Kita kat KL pun puasa jugak tapi time iftar...ikut dan. Kalau keluar petang habis kelas, tak sempat balik ke ISM, beli jelah apa yang ada. Kalau tak, makan nasi campur kat hotel hostel, berbuka je dengan apa yang dihidangkan.. huhu...

P/S Dapat tahu ada Hari Keluarga sebelah Bonda di Melaka sewaktu Anim nak berangkat ke KL.Rupa-rupanya sebelum ini, dia bercadang nak pergi bersama adik. Bila Anim bertanyakan kenapa tak maklumkan Anim kerana kalau Anim tahu, sudah pasti Anim akan minta Bonda pergi memenuhi undangan tersebut. Tak perlu risaukan 2 Abdul kerana tahulah Encik Suami menjaga mereka semasa ketiadaan Anim. Namun jawapan EMAS yang keluar dari mulut Bonda ialah.."Tak apalah. Yang lebih penting kan keluarga sendiri...".

Artikel berkaitan:

Cara halau kucing tidur atas kereta

Assalamualaikum wbt...


Apa kena tajuk entry Anim hari ini? Actually, itulah keywords yang ditaip dan kerap dicari dalam blog Anim walhal tak pernah Anim kongsi penyelesaiannya.

Dek kerana kesian pada yang mencari solusi. Ni nak share cara..heee...Senang sangat-sangat.

Tak payah nak selimutkan kereta anda. Tak perlu nak pasang signboard "Kucing dilarang naik atas kereta". Senang sangat-sangat nih...

Anda cuma perlu MEMBASAHKAN kereta anda. Kalau kucing anda suka tidur atas bumbung kereta, siramlah bumbung kereta itu dengan air ( of courselah dengan air,takkan dengan cat pulak).

InsyaAllah...kucing berkenaan akan cari port lain untuk tidur malam itu. Entah, Anim pun masih tak faham kenapa kucing suka tidur atas bumbung kereta. Lagi tinggi kereta tu, lagi dia suka, huhu...

P/S Masih tak dapat BW kawan-kawan. Tak sabar nak balik SP, petang Jumaat esok,

Artikel berkaitan:

# Rabu Yang Senyap 38: Alphabet untuk Generasi Z


P/S Dulu-dulu dok mengajar, B-Book, C-Cat, D-Dog...heeee

Artikel berkaitan:

Saya duduk atas bukit

Assalamualaikum wbt...

Hari ini hari ke 4 di Institut Sosial Malaysia. Atas bukit (area Sg Besi), tapi line takde kawasan hostel (hotel) huhu... Sabo ajalah. Kalau kat rumah MIL di kawasan Felda tu, accepted le lagi. 

Update dengan hp je waktu memanjat aka mendaki bukit ke bilik kuliah. Syukurlah bawa kereta. Kalau tak, mengah dan kejang kaki le jawabnya.

Bilik kuliah nun sebelah kiri bukit (gambar blok bangunan terselindung). 

Sesuai dengan nama institut, semua staff termasuklah guard di sini sangat berbudi bahasa. Hinggakan bila Anim bertanya surau@bilik kuliah, bukan saja ditunjukkan arah, malah tolong tekan lif dan hantar ke tempat tersebut.

Sambil dok dalam tandas...tersenyum sendiri baca lawak yang ditampal belakang pintu tandas, heeee.

P/S 1st time update entry guna hp, tak tau bagaimana paparannya. Maaf tak dapat nak ziarah kawan2 bila guna hp ni dalam masa terdekat. InsyaAllah, pelan2 Anim jengah nanti.

Artikel berkaitan:

Selesai masalah dengan solat istikharah

Assalamualaikum wbt..

Akhir Ramadan lalu, bila diberitahu Anim kena berkursus naik cuti sekolah, Anim dah mula pening kepala. Mencari-cari jalan penyelesaian untuk pergi ke tempat kursus. Kalau berkursus di Utara takpelah jugak. Boleh drive @minta Encik Suami hantar kejap. Masalahnya tempat berkursus di KL. 

Nak minta Encik Suami hantar, kesian pulak. Baru memandu pulang ke SP, nak menghantar Anim ke KL, lepas tu balik SP pulak. Takkan nak bercuti lagi kerana dia pun baru bercuti umrah . Yang jadi masalah utama 2 Abdul pula mula bersekolah esok. Sambung cuti seminggu lagi...ooo..tidak. Si Abdul sulung tinggal beberapa hari lagi nak UPSR.

Malam nak bertolak pulang, Bonda telefon dan tawar diri ikut kami balik SP. Nak tolong jaga 2 Abdul. Serba salah juga dibuatnya. Maklum, suasana awal Syawal di Johor masih rancak dengan marhaban, jiran dan sanak saudara ziarah menziarahi. Namun Bonda kata, semua sebelas anak-anak dan 2 adiknya sudah balik beraya. Lagipun Ayahnda yang menyuruh katanya. Syukur sangat...

Actually, memang nak drive sendiri . Walaupun blur tempat, nekad nak redah. Baru pandai guna Waze masa ambil Encik Suami balik umrah di Sepang baru-baru ni pun. Tapi kalau boleh nakkan teman bermusafir. Kalau sesat pun ada teman.

Alkisah,  dari 9 nama yang dibacakan oleh kerani (surat di SP, tuan badan ada di Johor) ada satu nama yang familiar sangat. Suka pada mulanya. Camnapun bila dihubungi, cikgu tu kata dia tak dapat pergi kerana masalah kesihatan. Aduh...pening datang semula. Lupakan kejap masalah bila tiba raya.

Balik SP, bila bingung nak selesai masalah, buat solat istikharah 2 rakaat. Hanya Allah saja tempat meminta pertolongan untuk selesaikan masalah. Encik Suami suruh naik flight . Cepat dan badan tak penat. Alhamdulillah, adik di Bangi beritahu sanggup jemput di airport dan hantar ke tempat kursus. Syukur..

Mula-mula layari MAS. Hari Ahad, hanya ada penerbangan jam 6 a.m ke KL. Yang lain full. Waaa...hang lupa ke Nim, Ahad tu orang balik cuti raya, balik cuti sekolah. Kemudian try Air Asia. Ada seats available tapi waktu pulak tak sesuai, jam 6 petang walhal lapor diri 2-6 petang. Tambang naik RM3XX walhal hari lain dalam RM1XX saja. Awatlah JPN buat kursus waktu naik cuti sekolah ni. Buatlah kursus yang membolehkan peserta memulakan perjalanan pada hari Isnin kalau nak sangat buat kat KL. Cubalah fikir semasak2nya dari segala sudut.

Nak tak nak, booked ajalah return tiket yang kesemuanya berjumlah RM477. Encik Suami kata boleh claim tiket gantian. Entah..tak pernah buat sebelum ni walaupun dah dekat 22 tahun jadi cikgu. Nama je cikgu, tapi fasal2 claim ni memang sangat-sangat kurang cerdik. (Malu nak ngaku b***h)

Elok je nak klik confirm pembayaran, hp berbunyi. Keluar nombor yang tak dikenali. Dari seorang cikgu perempuan dari daerah yang sama. Tak kenal nama..tak kenal orangnya. Rupa-rupanya dia guru gantian (sekolah lain) yang tak dapat hadir yang Anim ceritakan sebelum ini. Dia mencari teman untuk pergi kursus bersama.

Alhamdulillah Allah dah tunjukkan jalan. Insha Allah, esok pagi Anim akan memandu Cik Putih Encik Suami bersama teman bermusafir Anim yang insha Allah akan turut menjadi teman sebilik Anim juga nanti. Mudah-mudahan dia dapat menjaga aib dan rahsia Anim. Maklumlah kami akan bersama dalam satu bilik, satu kereta sehingga selesai kursus Jumaat nanti, insyaAllah.

Bonda menyebut nak pekena Laksa Ikan Sekoq tapi kami tak ke gerai yang popular di Alor Setar tu..
kami p cari kat Sg.Petani  ni aja

P.S Dulu-dulu buat solat istikharah sebab nak tengok jodoh. La ni bila dah "belajar", baru tau solat istikharah bukan saja  minta petunjuk Allah untuk buat pilihan jodoh, malah penyelesai masalah dalam segala perkara..

Artikel berkaitan:

Tanda amalan Ramadan kita diterima


Assalamualaikum wbt..

Sedar tak sedar, hari ni dah 9 Syawal. Sudah 2 hari Anim  kembali ke SP. Suasana raya tak serancak di Johor (ada marhaban dari rumah ke rumah). Ramai kenalan yang telah memulakan puasa 6 hari di bulan Syawal (malah ada yang telah selesai menghabiskannya) . Almaklum, suasana hari raya haji lebih meriah di Utara (itu sepatutnya yang dituntut dalam Islam). Seperti juga kebanyakan orang Kelantan, mereka memulakan puasa sunat bermula 2 Syawal. Cerita fasal orang Kelantan, kalau kita tengok rumah depa , kita ingat mereka susah tapi mereka tak susah sebenarnya. Depan rumah mereka ada lembu, yang dipelihara untuk dikorbankan pada Hari Raya Haji. Suasana ni yang susah nak dilihat di Johor.

Tengahari Jumaat tadi, terasa lain pula mood memasak di dapur . Selalunya jam 12.15 tengahari sambil memasak sambil dengar ceramah agama Radio Kedah FM 97.5. Tertunggu-tunggu jugak, awatle juruhebah ni pasang lagu benderalah, Jalur Gemilanglah..macam-macam lagi yang "pelik kedengaran" di tengahari Jumaat. Bila melepasi 12.30 tengahari, sahleh...memang tak adale ceramah agama tersebut. Kemudian terdengar pulak hebahan juruhebah tentang Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang bersama Jamuan Raya dan Sambutan Merdeka Raya bersama artis dari KL katanya malam ni di Dataran Zero Sg.Petani berdekatan jam besar. Kalau tak silap pendengaran, Tok Najib ikut turun.

Dugaan Syawal buat diri sendiri. Pertama, nak teruskan dan habiskan puasa 6 dan qada' puasa dalam bulan Syawal. Kedua..dalam bulan Ramadan, cukup jaga mata dan telinga, tak tengok benda-benda lagha, tak dengar muzik lagha....Habis Ramadan, syaitan sudah dilepaskan, banyak pula dugaan disekeliling. Walhal meneruskan amal soleh setelah Ramadan adalah petanda amalan yang dikerjakan sepanjang Ramadan itu diterima.Besarnya dugaan Syawal.

Daripada Ibnu Rajab r.h beliau menukilkan, "Antara tanda diterima amalan seseorang adalah dimudahkan untuknya melakukan ketaatan yang lain. Dan antara tanda tertolaknya amalan adalah melakukan kemaksiatan setelah melakukan ketaatan. Jika seseorang melakukan ketaatan setelah sebelumnya dia melakukan kejelikan, kebaikan itu menghapuskan kejelikan tersebut. Yang baik adalah dia melakukan ketaatan lagi setelah melakukan ketaatan sebelumnya. Sedangkan yang paling buruk adalah dia melakukan kejelikan setelah melakukan ketaatan. Ingatlah bahawa satu dosa yang dilakukan setelah bertaubat lebih jelik dari 70 dosa yang dilakukan sebelum bertaubat. Mintalah dari ALLAH agar diteguhkan dalam ketaatan hingga kematian menjemput. Dan mintalah perlindungan ALLAH dari hati yang terumbang-ambing." (Lathaif Al-Ma'aarif) ~Sumber dari Renungan Hujung Minggu oleh Ustaz Idris b. Sulaiman di Sinar Harian~

Ooopss...selingan gambar malam tadi di D'King Mee Udang Banjir, Sg Petani..

Camna Bonda boleh terlepas ke Sg. Petani di awal Syawal ni?  Tunggu next entry...

P/S  Lepas ni nak " beraya" rumah kawan-kawan, adik-adik, kakak-kakak blogger yang lama tak diziarahi,..insyaAllah.  Buka pintu tau..jangan tak buka!

Artikel berkaitan:

Perginya 3 insan kesayangan dalam Syawal

Assalamualaikum wbt..

Hari ini sudah 5 Syawal. Banyak peristiwa suka duka Syawal 1434H kali ini. Yang suka pastinya bila Encik Suami dapat bersama kami di 2 Syawal. Actually Encik Suami tiba 11 malam 1 Syawal tapi dek kerana dia bimbang Anim drive sorang-sorang, malam pulak tu ke KLIA bersama anak-anak, Anim, 2 Abdul dan ditemani adik bongsu hanya bertolak ke Concorde Inn di Sepang selepas Subuh.

Gambar raya 2 Syawal 1434H di Concorde Inn kami ni tak segah oranglain.. 

Petang 3 Syawal, kami dikejutkan pula dengan pemergian bapa saudara (sebelah abah) yang meninggal dunia di Parit Yaani. 

Kalau sudah ajal, tidak boleh dicepatkan mahupun dilewatkan walau sesaat. Pastinya Syawal tahun ini memberi makna berbeza buat kami dan keluarga arwah bapa saudara khasnya. 

Renungan buat semua....ajal kita sendiiri bila-bila masa saja. Even waktu kita sedang bergembira menyambut kehadiran bulan Syawal .

Takziah juga buat sepupu Anim, Azli dan isterinya, cikgu Che Wan Rashimah (tudung pink). Dugaan hebat buat mereka. Tentu readers ada terbaca di akhbar dan media massa tentang tragedi Syawal yang menimpa keluarga kak Wan (dia pangkat kakak) di Terengganu.

Kalau pada 1 Syawal dia diduga dengan perginya kedua ibubapanya yang meninggal selang sejam di 1 Syawal , pada 3 Syawal pula dia dikejutkan pula dengan berita pemergian bapa mertuanya di Johor. Mereka sempat tiba dari Terengganu sebelum jenazah dikebumikan pagi 4 Syawal.

P/S  Semoga keluarga bapa saudara, terutama abang Azli dan kak Wan tabah menghadapi dugaan Syawal 1434H ini. Al fatihah buat 3 insan teristimewa yang telah meninggalkan mereka semua.

Artikel berkaitan:

# Rabu Yang Senyap 37: Malam ganjil 10 Ramadan terakhir


Assalamualaikum. Sekadar berkongsi gambar.

Jutaan jemaah di malam 27 Ramadan di Masjidil Haram, Makkah Al Mukarramah

Malam 29 Ramadan di Masjid Nabawi, Madinah Al Munawwarah

P/S Pesan dan harapan seorang ibu :"Esok, bila 2 Abdul dah besar, Ummi mahu hangpa ber2 ada bersama-sama mereka yang merebut ganjaran 10 malam Ramadan terakhir. Tak kiralah di masjid mana sekalipun. Jangan dekat dengan rumah. Nanti ingat nak balik saja. Ummi redha hangpa tak ada bersama Ummi menjelang raya kerana kita akan sering berjumpa di 11 bulan yang lain. Lagipun Syawal ada 30 hari..."

Artikel berkaitan:

Beza Iftar Kita dengan Iftar di Masjidil Haram


Selesai beli kerepek di Pt Lapis Laman, singgah rumah kak Mur .  Sebaik kami tiba, suami dan 2 bujangnya mulakan operasi di belakang rumah. Si Abdul sulung yang mengikut turut menyaksikan proses menyembelih hinggalah menyiat bulu arnab itu. Arnab ni cepat mati, tak macam ayam. Macam kambing juga, main siat saja. Bersih perutnya..tak nampak kotoran macam ayam. Almaklum...makan rumput dan sayur saja.

Dah jadi juadah berbuka puasa kami malam tadi. Rendang arnab yang dimakan bersama nasi impit (sorrylah..takde gambar). Sedap, kalah ayam. Malangnya...Si Abdul sulung geleng kepala...
"Tak mahu makan. Kasihanlah nak makan dia"..Aduhai...dah tengok proses A-Z, tak lalu makan dah...

Cerita fasal juadah berbuka puasa di kampung...penuh meja sampai tak tau nak jamah mana. Menjelang Ramadan, bermulalah budaya "munjung" di Johor terutama masyarakat orang Jawa (selalunya juadah lengkap raya..ada ketupat@nasi impit bersama lauk pauk seperti lodeh, sambal goreng, ayam, daging). 2 Abdul pun makan lebih dari kadar biasa di SP, sampai tuang solat terawih di surau kerana sudah kekenyangan. Kita pun, lepas solat Maghrib, mengaji 2,3 muka surat pun asyik menguap. Solat terawih di rumah pun tinggal 8 rakaat (surah pendek, setengah jam dah siap). Aduhai...

Kiriman gambar Encik Suami tentang Iftar di Masjidil Haram. Beza kan? Patutlah depa boleh berdiri solat terawih 2 jam lamanya. Makanan yang masuk, beberapa biji kurma dan air zamzam.Lepas solat terawih baru cari nasi.

Tak balik hotel. Pi restoran Felda (dah buka balik selepas ditutup sementara) dek teringin nak pekena teh o ais dan kuih muih Malaysia. Nasi kambing tu pun share ber3 katanya. Pendekata dijamu dengan berbagai jenis kurma dan minuman yang diberikan di Masjidil Haram, boleh duduk sampai habis terawih.

Ada juga yang bersedeqah di luar Masjidil Haram. Pek makanan berisi Nasi Mandy. Aduhai...seronoknya melihat. Tiba-tiba terasa ingin pula berada di sini juga pada musim Ramadan...

P/S  Berbuka puasa sepatutnya ialah kita makan hidangan yang menggantikan hidangan makan tengahari kita seperti biasa bukannya MENGHIMPUNKAN hidangan makan tengahari kita bersama makan malam.

Artikel berkaitan:

Gambar pengganti suara

Assalamualaikum semua..

Alhamdulillah, berkat doa semua, Anim telah selamat sampai kampung di Johor tengahari tadi. Jalanraya tak sesak. Mungkin belum waktu kemuncak balik kampung.

Ada banyak yang nak dicerita tentang Ramadan di Johor tetapi nak bagi laluan kat cerita lain. Al kisah, sewaktu memandu pulang tadi, terdengar Ustaz Ebit Lew di Radio IKIM berbicara tentang 10 malam terakhir Ramadan, tentang pengalamannya bersama umat Islam di negara lain yang merebut ganjaran 10 malam terakhir itu, mengambil kesempatan beribadat sewaktu syaitan diikat di bulan Ramadan. Kalau nak dibandingkan dengan suasana 10 malam terakhir Ramadan di negara kita...tentu berbeza sekali.

Kemudian, teringat gambar-gambar yang diwassap oleh Encik Suami sebagai pembalas bicara.

Send message 1 : Abah dah cuba ke "tawaf bridge" ( Mataf ) tu?

Replied message : Cuba gak nak naik atas tu...tapi Tok Arab tak bagi. Orang Arab je banyak tawaf di situ.

Send message 2 : Orang kata 10 malam terakhir Ramadan kat sana, ramainya macam orang p haji, iya ke?

Replied message: Depa "berkampung" di Masjidil Haram. Nak solat Zuhor pun tak de tempat. Celah-celah lorong jalan kaki. Terlalu ramai..

Send message 3: Dari Subuh, abah tak balik. Duduk baring kat Masjidil Haram, masih tak de tempat lagi?

Replied message : Tak de rasa nak balik berehat di hotel. (Tengok gambar dikirim, fahamlah kita). Note : Anak kecil yang membaca Quran itu, jemaah Indonesia.

Tiba-tiba masuk satu image....

"Dah belikan 3 jubah untuk Anim. Shopping Mall kat Mekah lengang tak de orang. Tok Arab pun geleng kepala. Jemaah Malaysia dan Indonesia tak ada (shopping) musim umrah Ramadan kali ini". 

P/S  Bila dah balik kampung....dugaan hebat dalam merebut 10 malam terakhir Ramadan. Memang syaitan sudah terikat, tapi nafsu dalam diri sendiri yang susah dilawan.

Artikel berkaitan:

Ramadan terakhir di SP...



Amboi...tajuk entry.. Sebenarnya, kalau perasan, ada sentuh dalam previous entry. Hmmm...ada juga yang terperasan dan memberi komen mengenainya (Hainom Okje...u memang peka!).

Ni nak habaq, di hari yang sama Encik Suami menerima berita dia dapat visa umrah Ramadan baru-baru ini, sebenarnya dia juga dapat surat transfer yang berkuatkuasa 29/7. Dek kerana p umrah dan urusan kerja lain, tangguh hingga September. Tempat baru biar Anim KIV dulu. Tak mau mood raya hilang, heee... Sibuk sangat hingga nak isi maklumat pertukaran online E-Tukar pun belum terbuat lagi.

Geng bas sekolah hanya seorang saja yang tahu (jiran sebelah meja). Musykil dia bila Anim katakan, Encik Suami bukan buat satu sujud syukur saja tapi 2 sujud syukur. Tang dapat visa umrah tu, tak hairanlah tapi, kenapa pulak sujud syukur kerana transfer tempat kerja, kan.

Actually, 4 1/2 tahun di SP tu dah kira lama. Kat tempat lain, setahun, dua tahun dah kena transfer. Dari setahun ke setahun, kami sering berdoa agar biarlah kami "lama sikit" di SP. Pertama, kerana rasa banyak nak belajar lagi. Kat SP banyak majlis ilmu. Surau dan masjidnya "hidup" setiap malam. Kedua kalau boleh biarlah si Abdul sulung selesai UPSR. Ketiga, kalau boleh tak mahu dipindahkan semula ke ibu negara. Cemuih dah kata orang Kedah, 13 tahun pernah dok sana.

Bila ketiga-tiga hajat itu tertunai...adalah tersangat-sangat tak patut kalau kami tak bersyukur wahai Teacher Fauziah...

Majlis khatam Quran pelajar Tahap 2 semalam mungkin yang terakhir buat 2 Abdul. Boleh spot tak muka depa kat gambar bawah tu?

Majlis pemberian duit raya buat semua murid bakal jadi kenangan manis. Ni aktiviti setiap kali menjelang raya. Tahun ni, semua guru sumbang RM20 seorang, anak-anak ini dapatlah RM2 seorang. Keriangan tergambar dimuka mereka apatah lagi bila dicampur dengan pemberian guru kelas dan guru subjek.

Baru 4 tahun berada di sekolah ini...dah serasi sangat dengan geng bas sekolah. Ikatan terjalin bersama anak-anak murid juga rapat. Sungguh, perpisahan itu sesuatu yang menyakitkan.

P/S Waktu entry ini dipublish, Anim dan 2 Abdul mungkin sudah berada di highway. Bertolak keluar dari SP dalam keadaan hujan renyai. Perjalanan hari ini menuju ke rumah adik lelaki di Rawang. Bermalam di situ (berehat sebenarnya, maklum "enjin" tua ) dan pagi Sabtu, insyaAllah, baru bergerak balik Johor.

Artikel berkaitan: