Home · About Me · Sitemap ·

Pelayaran emosi


Assalamualaikum wbt...

Akhir-akhir ini, Anim terasa ingin "berehat" sebentar dari dunia blog. Anim rasa tak boleh nak kuarkan apa yang ada dalam kepala ni lagi...

Bukan kerana merajuk Cik Nuffnang tak pandang. Ada 14 iklan On Going, jadilah...


Kesibukan di sekolah atau kepenatan berulangalik Ipoh setiap hujung minggu juga bukan jadi alasan. Itu sudah lumrah yang perlu dipikul. Anim boleh redha dan bersabar, in sha Allah:-))


Komen yang diterima juga bukan penyebab. Setiap dari kita ada pendapat masing-masing. Anim tak ambil hati dan marah kerana sesiapa berhak untuk menasihat. Anim boleh bersabar, in sha Allah:-))

Sebenarnya, sejak 3 bulan kebelakangan ini, Anim diuji dengan ujian berat yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Anim membelek ayat 155 Surah Al Baqarah, "Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan ketaatan, kelaparan dan kekurangan harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."

Aduh, betapa besarnya ganjaran orang yang bersabar. Selagi manusia bernama manusia, mengaku sendiri, kadangkala tewas dengan hasutan syaitan. Timbul rasa marah, kecewa, sedih. Mulalah berfikir yang bukan-bukan.

Sedang duduk-duduk melayan perasaan dan airmata, tergerak mengambil kitab Riyadus Solihin karya Imam Nawawi di rak buku. Lama dah tak memegang dan menatap kitab itu. Hadis ke 19, bab Sabar memotivasikan diri...

Anas melaporkan, Rasulullah menjelaskan. "Sekiranya Allah mahu memberi kebaikan kepada hamba-Nya, Allah akan mempercepatkan seksa dan penderitaan seseorang itu ketika masih di dunia. Namun, sekiranya Allah mahu memberi keburukan, Allah akan membiarkan sahaja hamba-Nya melakukan dosa. Pada hari kiamat nanti, baru orang itu diazab dan disiksa."

Anas seterusnya melaporkan, Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam menjelaskan lagi,
"Sesungguhnya, besarnya pahala yang diterima bergantung kepada besarnya ujian yang diterima ketika di dunia. Sesungguhnya apabila Allah mencintai sekumpulan manusia, maka Allah akan menguji mereka. Oleh itu, sesiapa yang redha dengan dugaan itu, dia pasti mendapat keredhaan Allah. Sesiapa yang bersungut-sungut pula, akan mendapat kemurkaan Allah".
(Direkodkan oleh Tirmizi. Beliau mengatakan, hadis ini adalah hadis hasan.)

Bantulah aku, ya Allah. Aku tak mahu bersungut-sungut lagi......

P/S   Maaf kerana melibatkan kawan-kawan dalam pelayaran emosi ini...

Artikel berkaitan:

Mengenali 12 nama bulan dalam kalendar hijri


Assalamualaikum wbt....

Dalam kalendar hijri, nama-nama bulan ada 12 bulan. Hal ini diterangkan dalam al-Qur'an surah Surah At-Taubah, ayat 36:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati (Zulkaedah, Zulhijah,  Muharram,  Rejab)".

Nama-nama bulan tersebut sudah ada sebelum Islam lahir. Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasssalam membawa syariat Islam dengan tidak merubah nama-nama bulan tersebut hingga ke hari ini. Namun demikian, mungkin ada antara kita yang belum mengetahui makna dan erti dari bulan-bulan Islam tersebut. 

Nama-nama bulan dalam kalendar hijri mempunyai makna tersendiri berdasarkan kepada keadaan semasa masyarakat Arab pada waktu itu:

1. MUHARRAM

Maknanya diharamkan atau ditegah. Dinamakan demikian kerana pada bulan Muharram kebiasaan masyarakat Arab Jahiliah pada bulan tersebut dilarang untuk berperang atau menumpahkan darah, Maka bulan tersebut di sebut dengan Muharram.

2. SAFAR

Safar maknanya kosong atau kuning.  Dinamakan demikian kerana pada bulan Safar, kebanyakan kaum lelaki keluar meninggalkan rumah untuk berniaga, berperang, mengembara dan sebagainya. Sehinggakan rumah-rumah penduduk pada bulan tersebut menjadi kosong. Maka akhirnya dinamakan dengan Safar. 

3. RABIUL AWAL

Rabi' maknanya menetap,  Awal maknanya yang pertama. Dinamakan bulan tersebut dengan Rabiul awal kerana pada bulan tersebut  kaum laki-laki yang tadinya keluar meninggalkan rumah,sedikit demi sedikit mula pulang ke rumah masing- masing.

4. RABIUL AKHIR

Dinamakan Rabiul Akhir kerana kebiasaan masyarakat Arab pada bulan tersebut semua kembali ke rumah untuk bulan yang terakhir. 

5. JAMADIL AWAL

Jamad maknanya kering atau beku, Awal maknanya yang pertama. Dinamakan dengan Jamadil Awal kerana pada bulan tersebut sumber air menjadi kekeringan dan jika musim sejuk maka sumber airnya jadi beku. Parit, lembah, semuanya menjadi kering dan beku. 

6. JAMADIL AKHIR

Dinamakan dengan Jamadil Akhir bermaksud kekeringan yang terakhir atau penghabisan. Kerana pada bulan tersebut kekeringan dan kebekuan akan berakhir.

7. REJAB

Bulan Rejab maknanya mulia.  Dinamakan demikian kerana pada bulan tersebut bangsa Arab Jahiliah sangat menghormatinya dengan melakukan banyak kebaikan dan ibadah mengikut cara mereka. 

8. SYA'BAN

Sya'ban maknanya berselerak/bersepah.  Dinamakan demikian kerana pada bulan tersebut kebiasaan masyarakat Arab akan  berselerak di rumah kerana mencari sumber mata air. Atau makna yang lain, Sya'ban adalah berseleraknya pahala kebaikan.

9. RAMADHAN

Ramadhan bermakna panas terik yang menyengat atau panas terik yang membakar tubuh badan. Cuaca pada bulan Ramadhan memang cukup panas. Makna Ramadhan yang kedua adalah membakar dosa dan kesalahan kita pada masa yang lalu ketika kita melakukan ibadah puasa.

10. SYAWAL

Syawal maknanya naik. Dinamakan demikian kerana kebiasaan orang Arab Jahiliah jika hendak naik unta mereka akan memukul belakang unta dan menyebabkan ekor unta menjadi naik sedangkan pada bulan yang lain tidak demikian halnya. Maka bulan tersebut dinamakan dengan bulan Syawal. 

11. DZULQAIDAH

Dzul maknanya yang empunya /yang memiliki, Qaidah maknanya duduk relaks. Dinamakan Dzul Qaidah kerana  kebanyakan laki-laki dan perempuan pada bulan tersebut duduk relaks dan tidak ada yang pergi bermusafir.

12.  DZULHIJJAH

Dzul maknanya yang empunya/ yang memiliki, sedangkan hijjah maknanya haji. Dinamakan Dzul hijjah  kerana pada bulan tersebut, manusia  banyak yang melakukan ibadah haji dengan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah mengikut cara mereka. 

Demikianlah wahai saudaraku sekalian nama-nama bulan yang ada dalam kalendar Islam yang setidaknya kita tahu maknanya dan asal usul nama bulan tersebut.

Ya Allah ya Tuhan Kami. Jadikan kami hamba yang beriman dan beramal sholeh. Berkatilah kami di bulan Muharram yang mulia ini. Mudah-mudahan Kami diciptakan sebagai hamba yang terbaik dalam pandangan-Mu.  Aamiinn !!!!

Wallahu A'lam. 

P/S Perkongsian dari Lajnah Penerangan dan Perhubungan, Kelab Al-Azhar Members, ALAM KUIS 

Artikel berkaitan:

Khatam sudah Kitab Hikam di Cinta Ilmu, TV AlHijrah


Assalamualaikum wbt...

Petang tadi, khatam dah Kitab Hikam bersama Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri. Kalau tak silap kata Dr Zulkifli, dah 261@265 siri selama 3 tahun.

Berakhir sudah rancangan Tasawuf Harian bersama Dr. Zulkifli setiap petang Sabtu dan Ahad bermula 6.15 petang di TV Alhijrah.

Doa khatam Kitab Hikam turut dibacakan di studio. 

Kata Dr Zulkifli, selepas ini dalam bab lain, dia akan muncul sekali seminggu. Pada hari yang lain, sahabatnya, Dr Fauzi Deraman akan sentuh bab hadis manakala Dr Zulkifli akan sentuh bab medan fatwa@medan mufti ( bab kefatwaan). 

Nasihat terakhirnya tadi, menghampiri tahun baru 1436H, jangan lupa solat malam, bertasbih, beristighfar, bersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah.

P/S. Suka dengar Cinta Ilmu bersama Dr Zulkifli. Kata-katanya penuh hikmah, masuk terus ke kalbu.

Artikel berkaitan:

Nak berubah, azam pula lemah


Assalamualaikum wbt....


Minggu ini Anim tak balik Ipoh. Encik Suami ada kerja di Penang. Kalau 3 minggu lalu diangkutnya kami ke Batu Ferringhi kali ini dia berulangalik Penang-Sp saja, huhu.

Nak share cerita aktiviti kami bersama Tok Arab di Batu Ferringhi tempohari pun tak sempat...La, dah basi.

Rupa-rupanya, lagilah sibuk hujung minggu di SP. Dok qada' aktiviti yang tak dapat dilakukan bila Encik Suami tak ada. Ada tak de, jengah blog kengkawan yang kebetulan muncul di bloglist waktu Anim publish entry. Maaf ya...lambat atau cepat, Anim akan ziarah nanti.

Dalam sibuk2, youtube tetap layan. Dah jadi habit, sebelum tidur mesti layan youtube. Kadang-kadang terpasang sampai pagi, tuannya sudah dibuai mimpi. Buruk punya perangai kan, hee.

Dalam kita nak menyambut Maal Hijrah, 25 Oktober ni, Anim terjumpa ceramah Ustaz Badli Shah malam tadi. Sekadar nak kongsi akan petua, nasihat dan peringatan buat diri sendiri. Bijak pandai kata, kalau kita dengar dan catat, kita akan mudah ingat, in sha Allah.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

KALIMAT AZAM DALAM QURAN

Kalimat "azam" berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud "kehendak yang melampau-lampau". Namun kehendak itu bukan dengan angan-angan. Orang yang kuat berazam dipanggil "azim". Siapa nama Azim (keinginan yang sangat kuat), angkat tangan!

Dalam surah Al Imran ayat 159, Allah SWT ada sebut tentang azam.

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dah juga bermesyuaratlah dengan mereka (dalam urusan peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa kepadaNya".

Ayat ini turun selepas peperangan Uhud di mana tentera Islam telah mengalami kekalahan. Ramai tentera Islam yang tewas dalam peperangan itu.  Bapa saudara Nabi Sollallahu Alaihi Wassalam, Saidina Hamzah juga syahid.

Ketika kekalahan itu berlaku, Nabi Sollallahu Alaihi Wassalam merasa marah dengan golongan muda (tentera pemanah) kerana tidak patuh terhadap perintahnya supaya tidak meninggalkan  tempat mereka di atas bukit. Bila nampak harta yang banyak, tentera pemanah itu pun turun beramai-ramai.

Nabi juga pernah cadangkan peperangan Uhud  lebih baik dilakukan di Madinah. Tunggu musuh Islam datang, baru menyerang. Namun golongan muda membantah. "Ya  Rasulullah, orang muda ramai. Belum sempat tentera Quraisy datang, kita serang mereka dahulu". Nabi ikut kata mereka.

Ditakdirkan mereka tewas di dalam peperangan itu. Nabi hampir-hampir tak mahu memaafkan orang muda lalu turunlah surah Al Imran ayat 159  itu .

2 PERKARA MEMBUNUH SIFAT KEAZAMAN
1-Takut
2- Ragu-ragu.

MAKHLUK (HAIWAN) TETAPI MAMPU MEMILIKKI KEJAYAAN
i)- Semut
Kenapa Allah namakan semut untuk dijadikan nama surah (Surah An-Naml)?  . Ini adalah kerana semut ada determination (keazaman yang tinggi). Ada yang kata, binatang yang paling tamak ialah semut. Kalau letak makanan, semutlah haiwan yang lebih dahulu sampai berbanding harimau, gajah (telinga besar) atau burung (boleh terbang).  Semut boleh angkut makanan lebih besar dari dirinya malah 5 kali lebih berat dari badannya. Berbanding manusia yang lebih sanggup terjun bangunan bila ada masalah besar.

ii)- Cacing
Cacing ni total OKU. Kalau ada hamba Allah yang mengadu dan mengeluh,dia OKU, tak boleh itu, tak boleh ini kita boleh nasihatkan ada satu lagi makhluk Allah yang boleh survive walaupun takde kaki, tak de tangan, Ada pakar mengatakan cacing cuma ada mulut saja, Mata pun tak ada. Kerana apa cacing boleh survive? Sebab cacing ada determination yang tinggi (keazaman) untuk survive.

iii)- Burung kutub Utara
Setiap tahun, mereka terbang dari kutub Utara ke kutub Selatan (kurang lebih 35 200 km) .terbang selama 22 minggu. Kalau mereka tiada keazaman yang tinggi, burung ini akan mati di tengah jalan.

iv)- Ikan salmon
Ikan ini boleh hidup 2 alam iaitu dalam laut masin dan sungai. Isi ikan salmon boleh dimakan begitu saja. Kenapa istimewanya ikan salmon ini? Dia hidup di tengah lautan selama tempoh tertentu. Setelah puas berenang di lautan, ikan salmon akan balik ke habitat asalnya di hulu sungai.  Dia akan berenang melawan arus, berenang tanpa henti  selama 6 bulan. berjuang dgn beruang untuk kembali ke habitatnya. Sebab itu isinya sedap.

v)- Helang.
Satu-satunya unggas yang Allah cipta umurnya panjang iaitu 70 tahun. Ketika umurnya 40 tahun , seekor helang akan buat satu keputusan penting kerana fizikalnya berubah (macam sindrom umur 40 manusia) . Paruhnya semakin panjang, kuku cakarnya tak boleh digunakan, sayap sudah berat kerana bulunya  panjang dan berat. Helang akan menyembunyikan diri untuk lakukan transformasi pada dirinya.

Pertama. dia akan patuk paruh atas batu sampai tercabut. Bila dah tercabut,helang tak ada hidung. Helang tunggu paruh tumbuh semula makan berbulan. Kemudian dia akan cabut cakar-cakarnya satu persatu . Tunggu kukunya tumbuh panjang. Bila dah panjang, helang akan cabut bulunya sehelai-sehelai sampai togel. Tunggu bulu tumbuh kembali, proses hampir setahun. Barulah helang akan terbang 30 tahun lagi dengan gagah perkasa.

3 PETUA untuk meneruskan momentum keazaman:
Masalah utama manusia ialah mereka memiliki keazaman tetapi faktor sekeliling mencabarnya dan menyebabkan keazaman mudah dilencongkan.

1- Berlatih melaksanakan azam yang paling mudah.
Jangan buat azam yang kita tak mampu nak capai. Ustaz sebut seorang kiyai di Indonesia memberi nasihat yang baik iaitu kalau nak berubah, kita kena pegang 3 prinsip:-
a. mula dari yang kecil-kecil
b, mula dari diri sendiri
c. mulakan sekarang..NOW. Jangan tunggu tahun baru hijrah!

Contoh, nak ikut sunnah Nabi. Tak terbuat kalau nak buat semua. Kahwin 4 pun sunnah Nabi tapi itu berat dan susah nak dilaksanakan. Kita buat yang mudah dulu.

Ulamak ada buat kajian, ada 7 sunnah Nabi yang terbesar walau semalas mana pun, elok kita buat. Mudah-mudahan sunnah terhebat yang 7 ini boleh kita buat secara konsisten.

i.  Tahajjud jangan tinggal
ii- Solat subuh berjemaah. Solat berjemaah itu bagus tapi kalau boleh jangan tinggal solat subuh berjemaah
iii- Sentiasa berwuduk, nampak mudahkan tapi ini yang kita kena lakukan
iv- Istighfar setiap masa dan keadaan
v-  Bersedekah setiap hari walau kecil nilainya
vi. Menjaga solat Dhuha
vii. Membaca quran setiap hari sebelum terbit matahari yakni berpagi-pagi baca quran

2. Buat suatu azam itu satu demi satu
Jangan kejar untuk cuba melaksanakan banyak keazaman dalam satu-satu masa. Ambil masa dan lakukan perlahan-lahan. Setelah berjaya lakukan satu azam, baru teruskan yang lain.

Ada satu pesan orang Inggeris. "If plan A doesn't work, the alphabet has 25 more letters". Tak boleh A, kita buat B, begitu seterusnya. Kalau Arab pula ada 28 huruf manakala Jepun ada 204 huruf. Tu sebab orang Jepun maju, ada banyak plan. Jangan rasa gundah gulana andai ditimpa masalah, teruskan saja. Nanti Allah tunjukkan jalan.

3. Pantau setiap azam yang kita lakukan. Ada "pesonal rekod"
Setiap perkara ada catatan. Kalau boleh ada orang yang boleh pantau keazaman kita.

Wallahua'lam.

P/S Mesti ada will power untuk berubah, untuk tinggalkan maksiat dan kelalaian kita sebelum ini. Tinggalkan kerana Allah.

Artikel berkaitan:

Muharram 1436H bakal menjelma, jangan terlepas pandang


Assalamualaikum wbt....

Takwim dan Waktu Ibadat bagi negeri Kedah untuk Tahun 1436H sudah dijual. RM4 sahaja. Dalam kuliah UAD, Ustaz menyebut kadang-kadang kita terlepas pandang akan bulan-bulan Islam.

Tinggal lebih kurang 10 hari saja. 25 Oktober ini sudah bermulanya 1 Muharram 1436H. Tambah UAD lagi, di zaman jahiliyah, penduduk Arab masa itu kenal bulan Muharram ini. Mereka tidak berperang, tidak melakukan maksiat kerana tahu bulan Muharram adalah diantara empat bulan haram disebut dalam firman Allah.

Di zaman kita, bulan-bulan hijri tidak lagi dipedulikan,  Kita lebih kenal kalendar Masihi. Masuk bulan 11, bulan 12, musim cuti sekolah, musim kenduri kahwin. Kita tak tanya lagi waktu sesuai dalam kalendar hijri.

Kata UAD lagi, bila kita kenal dan ambil tahu akan bulan-bulan Islam, kita akan berada dalam suasana agama setiap masa. Kita ni kan setahun lebih tua andai usia kita dikira dengan bulan hijri. Tapi....tobat lahom kita nak mengaku tua setahun kan..kan..

Tahniah dan syabas kepada  Majlis Agama Islam Negeri Kedah. Tahun ini depa tak bazirkan langsung kertas yang ada. Di belakang setiap helaian takwim 1436H ini digunakan untuk memberi ilmu kepada pengguna. Ada 12 tajuk. Selain yang tertera di gambar, ada juga biodata para sahabat dan 4 imam mazhab.

Teringat dialog Allahyarham P.Ramlee dan Allahyarham Ahmad Nisfu dalam Madu Tiga yang ditonton di youtube.

Waktu ini rahsia P.Ramlee berkahwin 3 bocor dan dia ke rumah bapak mertuanya yang sporting (penasihat) untuk menyelamatkan diri.

Ahmad Nisfu gelabah dan mahu naik ke tingkat atas. Bila ditanya, dia kata mahu ambil wuduk dan solat . P.Ramlee kata nak solat apa, Asar dah habis. Dia kata nak solat tolak bala....

P/S  Dalam bergelak ketawa menonton, terfikir..itulah realiti kehidupan kita. Bila berlaku sesuatu yang buat hidup kita jadi kelam kabut ( puting beliung di Pendang, Kedah semalam pun telah menimbulkan "ketakutan" buat kami di Utara ) , kita akan lebih lama di tikar sejadah memikirkan...sempatkah aku?

Artikel berkaitan:

Nyah gajet canggih sekali sekala...


Assalamualaikum wbt...

Mana ibu tak risaukan?

Nak diajar main permainan tradisional, kawasan rumah terhad. Teringat zaman kita dulu.
Main galah, main guli, kunda kundi...semua memerlukan ruang.

Ada masa terluang, "larikan" mereka sekejap dari gajet yang ada..

 Monopoly menjadi pilihan. Dulu-dulu, bila main Monopoly, risau duit habis, tak ada baki. 
Ummi jadi banker sajalah jawabnya..
La ni generasi Y main Monopoly ikut zaman depa.

Tak guna cash money dah. Electronic banking, guna kad saja:-))
Ummi boleh join sekali, huhu...


P/S Tak dapat bermain dengan permainan yang guna banyak tenaga, bermain dengan banyak komunikasi pun jadilah. Kalau tak, rumah sunyi sepi bila depa leka dengan gajet masing-masing.

Artikel berkaitan:

Solat gerhana dan Khutbah Khas Gerhana Bulan 08-10-2014


Assalamualaikum wbt....

Lepas Maghrib

Sempat juga menjengok keluar rumah melihat gerhana bulan bersama si Abdul kecil malam tadi. Walaupun kamera hp tak dapat nak zoom cantik, walaupun tak nampak gerhana bulan merah berdarah, puas jugalah dapat menyaksikan gerhana bulan secara live. Cuma kali ni kami tengok  berdua sajalah di SP berbanding ( dulu )

Lepas Isya', langit terang benderang

Petang semalam di Radio Kedah, Ustaz di konti bercerita tentang fenomena gerhana bulan dan saranan mengerjakan solat sunat gerhana.Bila solat sendirian selepas solat Maghrib,  Anim rujuk cara solat gerhana di dalam entry terdahulu tentang cara solat sunat gerhana..Sebenarnya, bila dok SP barulah tau buat solat sunat gerhana. Baru tau hukumnya sunat muakkad, solat yang sangat dituntut dilaksanakan.

Di SP, biasanya  muslimin muslimat akan bersolat sunat gerhana berjemaah di masjid dan surau-surau. Malah tak hairanlah terdengar khutbah khas gerhana bulan di surau taman perumahan belakang rumah. 

Bila menelefon Encik Suami, dia kata kat surau berhampiran rumah kami tu tak buat solat sunat gerhana. Khutbah khas gerhana bulan pun tak ada. Camnapun, ceramah agama tetap ada. Hmmm...lain padang, lain belalang...

Tak berkesempatan dengar khutbah khas gerhana bulan di masjid, cari di youtube. Jumpa video terbaru. 

Khutbah Khas Gerhana Bulan 08-10-2014 bersama Dr.Zulkifli Mohamad Al Bakri
di Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah

P/S  Menginsafi kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Di atas sana, bulan ikut perintah Tuhan dengan mengerhanakannya, kita di bawah ni sujud dan patuh dengan perintah Tuhan dengan melakukan solat sunat gerhana:-))

Artikel berkaitan:

Elak ulat makan daun tanaman pasu kita


Assalamualaikum wbt...

Pertama kali tulis entry tentang tanaman. Almaklum, menanam bukanlah kepakaran dan hobi utama tuan blog. Namun bila baca masalah tanaman di entry Bunda , tergerak nak kongsi cara yang sering dilakukan Encik Suami.

Sekali pandang...pemalasnya tuan rumah!.

Setakat ni, tanaman kunyit, daun limau purut . pandan, daun kari yang ditanamnya takde masalah untuk hidup dan tumbuh subur. Kata dia...rumput-rumput biarkan tumbuh disekeliling, , jangan dicabut bersih. Biar ulat atau siput makan rumput itu bukan makan apa yang kita tanam. 

P/S  Tangan Anim hanya "sejuk" bila pegang senduk, heee:-))

Artikel berkaitan:

Gayat di Gua Tempurung


Assalamualaikum wbt...

Moh kita ke Gua Tempurung di Gopeng..

Hari Isnin, lengang. Last menjengok Gua Tempurung, 13-14 tahun lalu. Taklah secantik sekarang. Al maklum...dulu free!

Dek kerana tak survey dulu apa yang ada di sini (bukan jauh sangat konon-kononnya), si tukang promote syor kami ambil package 2 iaitu Top of The World (Dry) dengan alasan pakaian kami lawa sangat. Tak sesuai untuk aktiviti basah. Harga tiket dewasa RM9 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun RM4.50.

Teruja nak explore Gua Tempurung, gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia. Perjalanan kami meneroka gua dijangka mengambil masa 1 jam 45 minit. 

Seumpama galeri yang menyimpan beribu bentuk stalakmait dan stalaktait dan lain-lain ukiran batu yang amat menakjubkan. Yang amat menarik ialah ada satu lubang yang dinamakan tingkap gua di mana pancaran matahari memberi cahaya kilauan di dalam gua.

Golden Flowerstone bermaksud lantai gua yang berombak dan apabila dilalui air mengalir akan mengeluarkan cahaya keemasan.

Perjalanan terhenti sebentar melihat apa yang ada di depan mata. Ooo..tidak..tidak. Si ayah dan Abdul kecil sudah mengalah, Depa ni SUPER GAYAT. Mereka sudah tidak sanggup meneruskan perjalanan. 

Anim mengajak si Abdul sulung berpatah balik dengan alasan kelibat kami saja yang nampak. Dia tampak kecewa. Berlari menuruni anak tangga. Kasihan, ini bukan pertama kali. Setiap kali menempuh ketinggian, dia "dipaksa" untuk turun. Teringat kejadian sama sewaktu mendaki Great Wall.  Tunggu besar sikit nak ya. P ngan kawan-kawan nanti:-))

Perjalanan berharga RM 31.50 itu berakhir lebihkurang 30 minit saja. Kalau tahu, ambil pakej 1 ~ Golden Flowerstone yang mengenakan tiket RM 6 dewasa dan RM2.50 kanak-kanak ( 40 minit pergi dan balik) :-))

Ada untung, ada rugi. Hiburkan hati si Abdul sulung yang kecewa dengan archery. RM6 bagi 10 arrows.  Membayar RM12 untuk 20 arrows tapi dek kerana tiada pengunjung lain di archery , si adik yang menjaga baik hati beri 2 Abdul memanah lebih 30 kali (5 arrows tambahan bila si Abdul tepati sasaran). Mak pak pun tumpang sama. Gaya je lebih...tapi bila tiba rumah....lenguh tangan, tergeliat bahu dibuatnya, Aduuui....

Nikmat makan walaupun hanya dengan nasi lemak sarapan pagi yang dimasak sendiri:-))

P/S  Terpaksa bertolak balik SP, Subuh esok. Kalau tak kerana paper Maths si Abdul kecil Khamis ni, mak dia dah ambil cuti sakit. Tulah...ingat senang ke memanah kalau tak pernah practise????

Artikel berkaitan:

Pengalaman pertama raya haji di Ipoh

Assalamualaikum wbt....

Buat pertama kalinya menyambut Aidil Adha di Ipoh. Teruja juga nak merasai pengalaman di tempat orang. 

Aidil Adha tahun lalu, menu lontong putih menjadi hidangan. Ketawa besar kami 4 beranak bila kenangan itu diungkap kembali. Aduhai...tahun ini, kami pun beraya 4 beranak lagi tapi dalam suasana berbeza.

Menu utama; ITIK MASAK UNGKEP. Daging itik dibawa khas dari SP. Kalau dah darah Jawa, ke negeri mana pun dicampakkan, menu Jawa tetap diutamakan. Untuk 2 Abdul yang mahu menu berkuah, Anim bahagi dua dan tambah santan, maka jadilah Itik Ketumbar pulak. 

Sebenarnya, tak berniat nak canang kat semua tentang ibadah korban yang dilaksanakan (semoga Allah menerima ibadah korban kita), namun pengalaman menyaksikan dan melaksanakan ibadah korban di Ipoh adalah pengalaman baru yang mungkin tak sama dengan apa yang telah dilalui di negeri-negeri lain sebelum ini.

Lepas solat raya di surau berdekatan, bermulalah acara korban. 1st time juga Anim jejak surau ini. Belum kenal mana-mana jemaah wanita. Sementara menunggu , Anim berkesempatan berkenalan dengan seorang makcik yang turut sama melaksanakan ibadah korban. "Makcik buat korban untuk anak makcik yang meninggal dunia tahun lalu".

Sungguh! Pertama kali dengar tentang ini. Dalam hati berkata, setahu aku, ibadah korban untuk mereka yang hidup. Sempat berbisik, bertanya Encik Suami. Jawapan yang diberi spontan, "Eh, korban untuk kita yang masih hiduplah". Tak sempat dah nak tanya Ustaz secara live. Mulalah mengoogle!!

Terjumpa persoalan sama di (sini ) .  Syukur, Allah nak beri kita ilmu dengan persoalan makcik itu. Alhamdulillah, pagi itu kami dapat ilmu baru. Sempat Encik Suami timbulkan persoalan baru untuk Anim fikir, apa hikmahnya Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam berkorban dengan niat untuk umat Baginda yang bertauhid (merangkumi yang hidup dan mati). Adakah untuk umat Baginda yang miskin, yang tak berupaya untuk melaksanakan ibadah korban sepanjang hidupnya? 

Satu lagi persoalan yang diajukan kepada Anim, kenapa hanya kambing dan kibas yang sering diutarakan dalam ibadah korban di zaman Nabi Sollallahu Alaihi Wassalam ?Kenapa tidak disebut unta? Kenapa juga Allah menggantikan Nabi Ismail dengan kibas, bukan dengan unta? Menarik bukan bila bercerita tentang kambing dalam kehidupan Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam .. menggembala kambing, suka makan kaki kambing..

So, bagi mereka yang mind set mereka tak berani makan daging kambing, cubalah ya. Ingat, susu lembu yang diperah kena masak dulu tau sebelum boleh diminum berbanding susu kambing, boleh terus diminum...banyak rahsianya tentang kambing ni..

Berbalik cerita tentang lembu yang menunggu untuk dikorbankan. Merungut juga 2 Abdul kerana kanak-kanak dilarang melihat dengan dekat saat lembu-lembu itu disembelih. Anim kata mungkin mereka ada pengalaman berbahaya sebelum ini . Bimbang berlaku kejadian tak diingini, agaknya. Mereka bertanya lagi, kenapa kat Sg Petani, kat Johor dulu boleh, katanya. 

Hanya petugas dan peserta yang mengambil bahagian saja yang boleh memasuki kawasan berkenaan. Pada pendapat Anim, biarlah mereka yang tak ambil bahagian dan kanak-kanak dibenarkan bersama-sama menyaksikan ibadah korban itu dengan dekat. Mudah-mudahan dengan cara itu, timbul azam dan keinginan untuk melakukan ibadah korban tersebut pada tahun mendatang. 

Sama-sama bertalbiah, sama-sama menginsafi saat melihat darah lembu yang dikorbankan mengalir dan turut sama melapah. Setidak-tidaknya, jika mereka tidak berpeluang melaksanakan ibadah korban tahun ini, mereka boleh bersama-sama menghulurkan tenaga membantu melapah haiwan berkenaan. Ibadah korban juga buat mereka...berkorban tenaga dan masa. Wallahua'lam.

P/S  Lain padang, lain belalang. Lain tempat, lain pelaksanaannya:-))

Artikel berkaitan:

Puasa Arafah : Jumaat atau Sabtu?


Assalamualaikum wbt...

Kami di Utara cuti 5 hari tau. Rabu, baru naik sekolah. Ikut hati, mau saja balik Johor. Apakandaya, orang Ipoh tak sama cuti lak . Keputusan akhirnya diambil. Untuk pertama kalinya kami akan beraya dan melaksanakan ibadah korban di Ipoh. Teruja juga nak melalui pengalaman baru ini nanti.

Pagi Jumaat di Ipoh.

Ustaz Harryanto Rizal Rokman klon Dato Ismail Kamus ada di Nasi Lemak Kopi O TV9. Isu Puasa Arafah pada Jumaat atau Sabtu tu tak perlulah Anim nak ulas panjang di sini. Banyak pandangan dan pencerahan yang sudah disebarkan di FB, di WhatsApp. Ada di antara kita yang berpuasa Khamis, Jumaat, Sabtu. Ada pula yang berpuasa hari ini pada detik yang sama dengan hari Wukuf di Arab Saudi . Ada pula yang akan berpuasa esok (Sabtu) mengikut pandangan Imam Syafie dan Imam Nawawi.

Ustaz Harryanto kata, orang yang berpuasa pada hari Jumaat, janganlah dok kutuk orang yang berpuasa hari Sabtu. Yang berpuasa hari Sabtu juga janganlah kutuk orang berpuasa Jumaat. Ustaz Harryanto kata dia berpuasa Arafah ikut  pada 9 Zulhijjah, Sabtu ini.

Tambahnya lagi, moga-moga Allah ampunkan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya bagi orang-orang yang berpuasa dan juga yang tidak berpuasa juga. Bukankah kita juga digalakkan berpuasa dari 1-9 Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji, bukan hanya pada 9 Zulhijjah saja.

Majlis ilmu di TV, ada ustaz buka kitab. Ada juga yang buka laptop. Tak kurang guna iPad. Pagi ni..
nampak Ustaz Harryanto guna hp aja. Bak kata Prof. Muhaya, teknologi canggih bukan satu keburukan kalau kita niatkan untuk kebaikan:-))

P/S  Terdengar ulasan seorang Ustaz dalam Radio IKIM tentang satu perkongsian tentang puasa Arafah dalam WA yang tertulis "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Arafah iaitu Sabtu, 4 Oktober, ia seolah-olah melakukan ibadah selama 2 tahun. Barangsiapa yang memberi peringatan tentang perkara ini kepada oranglain, bersamaan dengan pahala bersolat selama 80 tahun"..sudah jelas dan nyata, ini adalah tak benar sama sekali. Tolonglah jangan disebarkan. Wallahua'alam.

Artikel berkaitan: