Home · About Me · Sitemap ·

Terkencing atas sejadah di roof top Masjidil Haram

Assalamualaikum warohmatullah...

Seorang ustaz berpesan, bila kita hendak melakukan satu kebaikan, perkataan yang diucapkan adalah penting. Ia membawa kesan yang besar ke atas ibadat kita.

Contoh: kita bercadang untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak.Sudah tentu kita akan mengeluarkan wang yang banyak. Jika kenduri itu hendak dijadikan ibadat, kita digalakkan menggunakan perkataan membelanjakan bukannya menghabiskan jika ada yang bertanya tentang kos kenduri. Manalah tahu... masa dok sembang dengan rakan taulan dan sanak saudara .

Menurutnya, perkataan membelanjakan itu akan menjadi satu ibadat yang akan membawa pahala berbanding perkataan menghabiskan yang membawa maksud menggunakan duit dengan sia-sia. Begitu juga perkara kebaikan seperti mengerjakan haji dan umrah, membiayai pengajian anak, mendirikan rumah dan sebagainya.

Apa kaitan dengan tajuk entry di atas? Ermmmm.....

Rooftop Masjidil Haram carian google

Sebelum azan pertama Subuh, Anim dah bergerak ke Masjidil Haram seorang diri. Bila demam dah kebah, Anim berhajat nak tawaf sunat di roof top Masjidil Haram. Emak tak nak ikut. So dia akan ke masjid untuk solat Subuh bersama Encik Suami . Jarak hotel kami ke Masjidil Haram dalam 150m yang membolehkan kami berulangalik ke masjid setiap waktu solat.

Kaki melangkah Ajyad Escalator untuk ke roof top. Pertama kali sebenarnya nak bertawaf berbumbungkan langit. Sebelum tu dah pernah bawa Emak naik ke roof top. Dia nak tengok kawasan roof top Masjidil Haram. Dengar cerita rakan-rakan jemaah di dewan makan...teringin nak jengok. Agaknya bila dia teringat jarak pusingan tawaf yang lebih jauh berbanding di dataran, tu yang tak nak ikut.

Anim tak tahu berapa jarak sebenarnya satu pusingan tawaf di roof top. Pusingan pertama, kaki melangkah laju. Pusingan kedua, slow sikit.  Pusingan ketiga..bertambah slow. Masuk pusingan ke empat, kaki dah tak mampu nak melangkah lagi. Kalau di dataran, in sha Allah 30 minit boleh selesai 7 pusingan, kali ni rasa dah 45 minit, baru dapat 3 pusingan. Semakin ramai jemaah yang ikut sama bertawaf. Anim kena stop dulu. Lepas solat Subuh, Anim cadang nak turun dan sambung baki 4 pusingan di dataran Kaabah.

Anim duduk mencari tempat. Musim haji 2016M ini tiada lantai berkarpet di Masjidil Haram. Datang ke masjid kena bawa sejadah. Maklum...duduk lama kat lantai bertile tanpa beralas..sejuk. Dah sejuk nanti..lagi cepat rasa nak terkencing. Cuma bila hampar sejadah sendiri yang dibawa maka seolah-olah tempat tu jadi hak kita. Besar mana sejadah..besar itulah kita rasa itu "tempat" kita. Orang lain nak duduk sebelah pun takut nak "usik" tempat kita. Maka apabila bangun solat berjemaah, saf jadi renggang, tak rapat, tak bertemu bahu dengan bahu. Seelok-eloknya janganlah bawa sejadah yang besar. Kalau dah tak ada pilihan, masa solat tu kita ubahlah kedudukan sejadah jadi melebar (bentuk landscape). In sha Allah...ramai yang boleh solat dalam barisan saf kita .

Ok sambung semula...

Depan Anim, duduk seorang jemaah wanita dari Malaysia bersama seorang lelaki. Tak lama kemudian, polis Masjidil Haram mengarahkan semua jemaah lelaki yang duduk berhampiran kawasan Anim duduk, beredar dari kawasan tersebut. Itu adalah kawasan solat jemaah wanita, Ini termasuklah lelaki yang duduk di sebelah wanita terbabit. Kawasan Anim duduk tu tak ramai jemaah Malaysia. Banyak jemaah luar. No wonder..ada juga yang berat nak angkat punggung. 2,3 kali juga polis Masjidil Haram dok halau suruh bangun dan beredar ke tempat lain.

Jemaah wanita Malaysia tadi menoleh ke sana sini. Mencari kelibat lelaki tadi agaknya. Anim kemudian bergerak ke depan, duduk bersebelahan dengannya. Dipendekkan cerita, biarlah Anim perkenalkan dia sebagai Makcik A dari Kelantan dan berusia 75 tahun . Lelaki yang duduk bersamanya tadi ialah anak lelakinya. Mereka adalah jemaah haji muassasah.

Setelah mengetahui Anim mengerjakan haji ikut pakej swasta, Makcik memberitahu dia dan anaknya memang berhajat nak ikut haji pakej bila dapat surat tawaran haji pada mulanya.
"Makcik ada 30 ribu ringgit. Anak makcik pun ada 30 ribu ringgit"
Sambungnya, dalam usia 75 tahun, dia nak ikut haji pakej swasta sebab dekat sedikit nak ke Masjidil Haram.
"Anak makcik dah pergi Batuta . Dah penuh. Tempat lain pun penuh. Nak buat macamana"
Tak bertanya lanjut pula tempat lain yag dimaksudkan. Di Kelantan, agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji ialah Batuta Travel & Tours dan Syarikat Pelancungan Yaskin.

Kesian juga mendengarnya. Anim kata mungkin dia lambat daftar dengan syarikat swasta yang kendalikan pakej haji. Kuota syarikat tu dah penuh, Group jemaah haji Utas pun 149 orang sahaja. Memang kalau pergi dengan pakej swasta, in sha Allah dekat sikit nak ke masjid. Kalau masih muda, fizikal masih kuat, semangat tinggi in sha Allah tak ada masalah berjalan jauh.

Anim sendiri walaupun belum terima tawaran haji, dah daftar dengan agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji. Seingat Anim sejak 2011 lagi. Tapi berubah travel sajalah. Dari Andalusia kemudian bertukar ke TH Travel. Pada 2015, kami mendaftar pula dengan Utas Travel. RM500 seorang sahaja dibawa pula ke tahun 2016. Bukan apa, kami berpandangan, andainya menerima tawaran haji dan kami memilih untuk pergi dengan agensi pelancongan, nama kami sudah ada dalam list syarikat, in sha Allah. Makcik A mengangguk tanda faham.

Tak lama selepas azan dan masing-masing selesai solat sunat Subuh, Makcik A membisikkan ke telinga Anim. "Makcik nak kencing."

Allahu Robbi..macamana Anim nak tolong. Kesian Makcik A. Berjalan dari maktab jam 1 lebih. Tiba di Masjidil Haram lebihkurang jam 2 pagi. Azan Subuh jam 4 lebih. Maknanya sudah dekat 2 jam, makcik A duduk di situ. Dalam hati berdetik juga, awatlah si anak bawa ibunya menanti Subuh di roof top. Nun di atas. Namun terfikir juga, mungkin dia tersalah naik. Kalau naik Ajyad Escalators ni memang dibawa terus ke roof top. Atau mungkin juga kalau berada di tingkat bawah, susah nak cari ibunya nanti bila diarahkan polis Masjidil Haram untuk beredar. Di roof top taklah sesesak di tingkat bawah. Hanya si anak yang mampu menjawabnya..

Dok membayangkan...andai Anim bawa Makcik A ke toilet...

1. Toilet di luar Masjidil Haram. Jemaah sedang bersedia nak solat Subuh. Kawasan roof top dah semakin penuh dengan jemaah. Kami akan menentang arus...jemaah naik roof top untuk solat dan kemudiannya tawaf sunat manakala kami pula turun ke bawah.

2. Kami berada di roof top. Kami perlu menuruni escalators. Tak dapat nak membayangkan berjalan di kelompok mereka yang berada di tingkat bawah..mencari ruang untuk keluar. Di luar dataran sendiri, masha Allah, nak mencelah pun susah...lagi-lagi bila waktu solat sudah dekat.

3. Andai dapat keluar ke toilet, sudah tentu kami tak dapat nak masuk semula apatah lagi naik semula ke roof top. Gate sudah dihadang polis Masjidil Haram lagi-lagi bila dekat waktu solat. Musim haji, jemaah sendiri ramai yang bersolat di jalanraya.

4. Andainya kami bersolat di luar dataran Masjidil Haram, bagaimana pula nanti keadaan anak lelaki Makcik A yang mencari ibunya yang sudah "tiada" di tempat yang dia letakkan tadi? Mana mungkin kami dapat naik semula ke roof top dengan cepat disaat jemaah berpusu-pusu untuk turun selesai solat. Tak dapat bayangkan kerisauannya dan keadaannya nanti ke hulur hilir mencari si ibu.

5. Kalau dapat cari anak lelaki Makcik A, nak hantar ke toilet pun, dia kena turun tangga sendiri. Anak lelakinya hanya boleh menunggu di atas. Makcik A kata makcik tak tahu nak ke tandas seorang diri.

Dalam memikirkan cara untuk memujuknya supaya "bertahan" sedikit masa lagi, dia kemudiannya memberitahu Anim.."Makcik dah terkencing atas sejadah ni. Apa makcik nak buat?"

Nanti masa kami solat, Makcik duduk sajalah di atas sejadah itu. Tak payah bangun. 
Itulah nasihat yang mampu Anim berikan. Nak buat macamana. 2 syarat sah solat iaitu suci dari hadas besar/hadas kecil dan suci pada anggota badan,pakaian dan tempat sudah terkeluar. Terpulanglah pada tanggapan jemaah negara lain berhampiran. Makcik A kelihatan sedih dan bertanyakan solat Subuhnya. Adakah perlu diqadha'...

Makcik balik nanti ke maktab. Bersihkan diri. Selesaikanlah apa yang patut Makcik wajib lakukan. Dalam keadaan darurat seperti sekarang...tak ada apa yang dapat Makcik lakukan, Kena tunggu semua orang habis solat Subuh. 
Bila berkumandang iqamah dan kami semua bersedia untuk solat Subuh, Makcik A tiba-tiba bangun dan turut sama mendirikan solat. Apakah hukumnya Makcik A tetap solat apatah lagi dilakukan dengan sengaja kerana tahu ada najis di anggota badan dan tempat solatnya?Mungkin kita juga akan berdepan dengan masalah ini di Malaysia. Sedang solat berjemaah..tiba-tiba solat kita terbatal dengan kita sedari. Adakah kita akan berhenti atau teruskan solat kerana takkan nak berhenti tiba-tiba..

Anim berhenti di sini untuk kita memikirkan.....

P/S Ujian Allah, yang menyebabkan pengalaman yang dilalui oleh jemaah tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Adakalanya senang, adakalanya susah yang semuanya mempunyai hikmah tertentu daripada Allah SWT. Pengalaman yang dialami bersama Makcik A bukan ujian untuknya saja malah ujian untuk Anim juga:))





Artikel berkaitan:

List Agensi Pelancongan Yang Menawarkan Pakej Haji Yang Diluluskan Tabung Haji 1438H/2017M

Assalamualaikum warohmatullah..

Anim skip dulu cerita haji Anim. Nak share dulu list pakej haji bagi musim haji 1438H/2017M. Manalah tahu ada yang tercari-cari dan dalam pertimbangan untuk mengerjakan haji melalui pakej. Pengalaman bertemu seorang jemaah haji Malaysia berusia 75 tahun dari Kelantan di roof top Masjidil Haram antara penyebab Anim rasa perlu share entry ni. (Seperti biasa, story next time..)

Lagipun in sha Allah, khabarnya tahun ini bilangan jemaah haji kita ikut kuota asal. Alhamdulillah... mudah-mudahan bertambah ramai mendapat peluang menunaikan haji musim haji 1438H/2017M ini.


Musim haji 1437H/2016M yang lalu , ada l5 agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji. Bagaimanapun list harga pakej haji yang Anim share ini diperolehi musim haji lalu. Tahun ni mungkin ada penambahan harga. Khabarnya kerana tukaran duit kita dengan Saudi Riyal. Wallahua'lam. Tapi tak apa.. Anim share untuk pengetahuan saja. Kalau ada penambahan pun, mudah-mudahan tak begitu drastik.

(Nota: Perbandingan harga pakej berdasarkan pakej haji 2 orang sebilik, 3 orang sebilik, 4 orang sebilik, 5 orang sebilik dan 6 orang sebilik serta jarak hotel ke masjid. Bagaimanapun bukan semua syarikat menyediakan penginapan 5 dan 6 orang sebilik ).

  • TH Travel & Services Sdn. Bhd dari RM 39,990 hingga RM 44,900 seorang
  • Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn. Bhd  dari  RM 25,080 hingga RM 40,880 seorang
  • Andalusia Travel & Tours Sdn Bhddari RM 21,154 hingga RM 36,154 seorang
  • Misbah Travel & Tours Sdn. Bhd dari RM 31,044 hingga RM 39,044 seorang  
  • TM Tours & Travel Sdn. Bhd dari RM 25,990 hingga RM 39,900 seorang
  • Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd dari RM 22,900 hingga RM 43,900 seorang
  • Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dari RM 28,950 hingga RM 40,950 seorang
  • Gemilang Travel & Tours Sdn Bhd dari RM 28,900 hingga RM 43,900 seorang
  • Felda Travel Sdn. Bhd dari RM 26,754 hingga RM 43,754 seorang
  • Batuta Travel & Tours Sdn Bhd dari RM 28,496 hingga RM 33,496 seorang
  • C.S Holidays Sdn. Bhd dari RM 29,500 hingga RM 43,000 seorang
  • Cantumas Travel dari RM 35,644 hingga RM 40,644 seorang 
  • Ash-Har Travel & Tours Sdn. Bhd dari RM 29,800 hingga RM 42,800 seorang
  • Rayhar Travels Sdn Bhd tiada maklumat. (Musim haji lalu ada harga tambahan khusus penginapan di Mina)
  • Syarikat Pelancungan Yaskin Sdn. Bhd dari RM 31,950 hingga RM 37,950 seorang

Musim haji 1438H/2017M...bertambah lagi 6 syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej haji: 
  • Alif Travel & Tours Sdn. Bhd
  • Touch Me Travel & Tours Sdn Bhd
  • Platinum Gesture Travel &; Tours Sdn. Bhd
  • MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd
  • Masamas Travel & Tours Sdn. Bhd 
  • Citra Travel & Tours Sdn. Bhd

Manakala 2 syarikat pada musim haji 1437H/2016M tiada dalam list Musim Haji 1438H/2017M:
  • Ash-Har Travel & Tours Sdn. Bhd
  • Cantumas Travel & Tours

P/S  Semoga ada manfaatnya.





Artikel berkaitan:

Khabar balik haji

Assalamualaikum warohmatullah...


Kekok rasanya nak mengetuk jari di keyboard. Blog pun lama tak dijengok. Niat awal mahu bertanya khabar setelah sebulan pulang dari menunaikan haji. Kemudian bertangguh pula ke 40 hari. Namun terlajak pula selepas lebih 3 bulan.

Ada rakan readers yang bertanyakan mengapa menyepi selepas pulang dari mengerjakan haji. Ada yang menyangka kesihatan Anim tidak mengizinkan.Terima kasih banyak-banyak kerana mengingati.

Alhamdulillah..Anim sihat. Begitu juga En.Suami dan kedua ibu bapa mertua. Lucu juga bila ada kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang menziarahi kami "terkejut" melihat kami sihat walafiat ...Agaknya...orang balik haji tak batuk...bukan balik haji kot..ish..ish

Sebenarnya, Anim ada mengalami batuk, demam dan bengkak tonsil selepas selesai mengerjakan rukun haji. Makan kena pantang, kurang selera makan. Berkesempatan ke klinik TH berdekatan hotel kami menginap.  Alhamdulillah..bila bertolak ke Madinah tiga hari selepas itu, demam Anim kebah. Apa yang dimakan di Madinah semuanya sedap . Rupa-rupanya berlarutan hingga pulang ke tanahair. Kalau jemaah lain balik nampak kurus dan slim...tapi berbeza pulak Anim..hehe.

Namun lain pula dengan Encik Suami dan Bapak. Encik Suami dan Bapak pula dari mula datang hinggalah balik macam tule juga. Allah kurniakan kesihatan yang baik di sana. Demam tidak, batuk pun tidak. In sha Allah, Anim akan share pengajaran yang Anim dapat dari Encik Suami dan Bapak di lain entry.

Cerita haji masih segar berligar diingatan. Tarikh saja yang sudah kabur kerana Anim tidak mengambil catatan atas apa yang dilalui sepanjang berada di Tanah Suci. Anim juga tidak menggunakan smartphone di sana. So kebanyakan gambar bersumber dari hp Encik Suami dan group Whatsapp jemaah haji kumpulan kami.

Actually, Encik Suami  ada belikan hp Samsung RM99 yang hanya boleh buat panggilan dan sms saja untuk Anim gunakan di Tanah Suci. Nak berhubung dengan kaum keluarga dan anak-anak, hanya menggunakan  smartphone Encik Suami.

Bohonglah kalau Anim tak "membantah" pada awalnya. Memujuk diizinkan bawa smartphone sendiri dengan janji dah left sementara group whatsapp yang lain kecuali group kaum keluarga terdekat. Kita dok bayang "susah" nak share cerita dengan anak2 dan famili guna hp oranglain, hehe..Namun Allah ingatkan, JANGAN engkar arahan suami..

Menunggu giliran bas ke Mekah. Gambar dari group Whatsapp jemaah haji Utas 1437H

Peristiwa pertama, waktu kami tiba di Airport Jeddah Terminal Haji. Waktu menunggu bas ke Mekah, jemaah haji sibuk cari sim kad handphone masing-masing. Namun ada sedikit kawalan di musim haji 1437H. Jemaah yang nak beli sim kad, kena daftar terus dengan pasport, kena cop jari dan hanya satu sim sahaja dibenarkan untuk satu pasport. So, bila Encik Suami tak dapat nak tolong belikan sim kad untuk Anim,kenalah Anim pergi sendiri. Nak tau apa jadi? Bila turn Anim...pak sheikh yang uruskan sim kad tu tak dapat nak register untuk Anim kerana line tak ada. Puas dia ke sana ke sini..mencari line tapi tak berjaya. Okeh..fine (masih belum insaf).

Bila tiba Mekah...panjang barisan menunggu di kiosk yang ada.Bertanya kedai berdekatan hotel penginapan. Tak perlu daftar dengan pasport..oklah kan,.SR80. Kali ni sim kad tak muat boleh masukle pulak. Sim hat kecil depa tak jual.. Sim tu muat masuk Samsung RM99 .Kalau sekali kena tampar, bolehle kata fine. Kalau dua kali...menyentap hati.

Teringat semula nasihat Encik Suami sewaktu meminta Anim meninggalkan smartphone Anim di rumah: "Takut Anim leka, lalai. Haji kita ni mungkin yang pertama dan terakhir. Bukan boleh diulang-ulang setiap tahun."  Ini haji wajib kami. Kena buat yang terbaik. Kalau ada rezeki dipanggil lagi..dah jatuh sunat. Kena lebih bersyukur kerana Allah jemput jadi tetamuNya, 11 tahun lebih awal dari tahun peruntukan Tabung Haji.

Allahu Robbi..walhal sebelum berangkat dah diingatkan.Letakkan niat dengan betul. Dengan niat yang betul itulah yang akan menyebabkan pekerjaan haji menjadi keutamaan. Yang lain-lainnya menjadi kurang penting. Walaupun wakil pihak syarikat ada menawarkan bantuan untuk membelikan sim kad untuk jemaah yang bermasalah..tapi kuatkan hati..Cukuple peristiwa yang dialami sebelum ni.

P/S Pengorbanan untuk mengerjakan haji sangat perlu. Kesusahan dan kesulitan dalam mengerjakan haji tetap wujud. Ini kerana sifat (nature) ibadat haji itu sendiri memerlukan pengorbanan.



Artikel berkaitan: