Home · About Me · Sitemap ·

Bertalaqi di Masjidil Haram


Dia memang berazam untuk membaca Al-Quran sepanjang beriktikaf di Masjidil Haram. Kalau pun tidak dapat khatam, sekurang-kurangnya biarlah setengah Al-Quran. Umrah kali ini, dia turut membawa bersamanya senaskah Al-Quran kecil bertajwid (berwarna).

Dia maklum, di dalam Masjidil Haram, naskah Al-Quran banyak ditempatkan di rak-rak kiri, kanan dan hadapan masjid. Namun pengalaman umrah pertama sebelumnya, dia hanya dapat membaca surah yang biasa dibacanya kerana Al-Quran sedia ada di Masjidil Haram,  bertulisan hitam . Bimbang tersilap panjang pendek harakat dan sebagainya. Balik umrah pertama, dia terus mencari guru Quran untuk bertalaqi. Dia berazam untuk lancar membaca Quran seperti jemaah negara lain yang duduk bersebelahan dengannya di Masjidil Haram. Cemburu dia melihat mereka, membaca Quran seperti baca buku.

Hari ke2 di Mekah, dia tidak membawa Al-Quran kecil bersamanya. Tiba di Masjidil Haram, dia bercadang nak guna Quran yang ada. Dia bertanya ibu mertuanya sama ada mahu diambilkan Quran sekali atau tidak. Ibu mertuanya mengangguk mahu.

Waktu Asar lama lagi. Dia dan ibu mertuanya duduk di satu sudut yang selesa (boleh bersandar). Dia menyambung bacaan Qurannya. Diperhatikan telatah ibu mertuanya yang meletakkan Quran tersebut di dada. Mata ibu mertuanya terpejam dan mulutnya terkumat-kamit. Entah apa yang dibaca. Dia perasan, sejak tiba di Mekah dan beriktikaf menunggu waktu solat, ibu mertuanya hanya duduk berzikir sambil memegang tasbih.

"Nak mula baca dari mana?" tiba-tiba ibu mertuanya bersuara dengan naskhah Quran di tangannya.

"Emak nak baca surah apa?" jawabnya penuh kehairanan.

"Nak baca dari mula. Dari Qul 'audzhubirrobbinnas sampai Wad dhuha" ujarnya.

Dipendekkan cerita, di Masjidil Haram itulah ibu mertuanya membuka cerita. Rupa-rupanya selama ini ibu mertuanya menghafal semua surah lazim dari kaset yang dibeli ataupun dari mendengar bacaan Quran sewaktu menghadiri kelas Quran. Ibu mertuanya tidak mengenal huruf dan tidak tahu membaca kerana tidak melalui zaman persekolahan sedari kecil.

"Emak pernah ikut kelas dewasa dan mengaji Quran dengan seorang guru. Tapi guru Quran tu jemu ajar kerana emak payah nak dapat katanya" .

Tersentuh juga hati mendengarnya kerana dia sendiri seorang guru. Tentunya itu tamparan hebat buat seorang yang bergelar "guru" dalam apa keadaan. Seseorang yang tak ikuti sekolah secara formal sudah tentu "lambat dan payah" nak diajar membaca dan mengaji kerana dia buta huruf ..tak kenal huruf!!

"Emak doa dalam masjid ni tadi. Emak nak baca Quran"

Allahu Akbar. Dia sempat menceritakan kepada ibu mertuanya suatu kisah yang pernah dibaca dalam satu blog. Kisah seorang lelaki tua yang belajar Quran.

"Insya-Allah mak. Takde istilah lambat dalam hidup kita. Selagi diberi nyawa, kita terus belajar. Allah tengok pengakhiran hidup kita bukan macamana kita bermula dari awal. Allah tengok usaha kita, mak", berhati-hati dia mengatur bicara memujuk hati ibu mertuanya.

Perancangan Allah jauh lebih baik dari perancangan manusia. Dipendekkan cerita, ibu mertuanya pula menjadi "anak muridnya" di Masjidil Haram. Alhamdulillah, sebelum menjejakkan kaki ke Mekah, dia telah selesai menghabiskan Juz Amma secara bertalaqi bersama seorang Ustaz. Siapa sangka, di Masjidil Haram, ibu mertuanya pula bertalaqi surah lazim bersamanya. Apa yang Ustaz yang mengajarnya ajar, tegur dan betulkan, begitu jugalah yang dilakukannya terhadap ibu mertuanya.

Begitulah mereka habiskan masa ber2 selama 6 hari di Masjidil Haram. Walaupun dia perasan, ada jemaah negara lain menoleh ke arah mereka, hairan agaknya melihat seorang tua bertalaqi ayat lazim tapi dia tanamkan semangat kat ibu mertuanya, jangan malu melakukan sesuatu yang Allah suka. Setiap kali keluar dari masjid dan bergerak pulang, dia akan memohon maaf dari ibu mertuanya bagi setiap kesilapan langkah dan bicaranya.

Sejak pulang ke tanahair, terasa ringan bibirnya membaca Al-Quran. Lancar dan nafasnya tidak tersekat-sekat. Sehari tidak membaca Al-Quran seperti ada sesuatu yang kurang dalam hidupnya . Menghabiskan satu surah selepas solat fardu tidak menjadi sesuatu yang berat untuk dilakukan. Walaupun hajatnya untuk khatam Quran di Masjidil Haram tidak kesampaian, Allah membalasnya dengan memberikannya khatam berkali-kali sejak pulang. Sesuatu yang terlalu mustahil untuk dilakukannya sebelum ini. Syukurlah, itulah nikmat dan anugerah yang disyukuri setiap waktu.

P/S ~Hal ini disedari suaminya yang mencadangkan supaya dia terus berguru dan membuat amal jariah dengan mengajar anak-anak kampung mengaji Quran. Allahu Robbi...tidak pernah dia mengimpikan sesuatu yang pastinya mustahil untuk direalisasikan dan tak pernah angan-angannya sampai ke situ sebelum ini.~

Artikel berkaitan:

7 Komen untuk "Bertalaqi di Masjidil Haram"

  1. Alhamdulillah. Allah Maha Pengasih.
    Memberi hidayat kepada setiap hamba NYA yang ingin kepada hidayat.

    BalasPadam
  2. Iya Anim...baca merangkak rangkak tu pun Allah bagi 2 pahala...satu pahala membaca..satu pahala merangkak rangkak..subhanallah..Allah maha pengasih lagi penyayang

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah. Allah Maha Pengasih..RahmatNya mengikut apa yang kita inginkan..

    BalasPadam
  4. assalamualaikum ... alhamdulillah . selago kita ada azam dan hasrat serta usaha , inshaa Allah , allah akan membantu ...

    BalasPadam
  5. alhamdulillah.. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang..

    BalasPadam
  6. Allah itu Maha Adil lagi Maha Mengasihani. Ikhlaslah dalam setiap perbuatan hanya kerana Allah...pasti Allah permudahkan dan beri ganjaran yang berlipat ganda.

    BalasPadam
  7. Adakah orang itu empunya blog ini....untungnya!

    BalasPadam

Komen anda amat dihargai