Di sebuah negeri, ada seorang budak lelaki yang ingin mencari rahsia kejayaan. Dia ke sana sini bertanyakan orang-orang tua di kampungnya mengenai rahsia kejayaan.Namun tiada seorangpun yang dapat memberikan jawapan yang memuaskan hatinya.
Satu hari dia pergi menemui seorang pendeta yang tinggal di sebuah gunung tidak jauh dari kampungnya. Budak itu ingin sangat mengetahui bagaimana cara untuk berjaya dalam hidupnya. Ketika bertemu dengan lelaki tersebut di pondoknya, dia bertanya,
"Wahai pendeta, bolehkah ceritakan kepadaku rahsia untuk berjaya dalam kehidupan? Aku ingin sangat mengetahuinya."
Pendeta itu diam sejenak dan selepas beberapa saat, beliau membawa budak lelaki itu ke sebatang sungai berdekatan pondoknya. Mereka terus berjalan ke tengah sungai sampai kepala budak itu tenggelam sepenuhnya di dalam air.
Budak lelaki itu terkapai-kapai dan bergelut untuk mengekalkan kepalanya di atas air bagi membolehkannya terus bernafas. Amat menghairankan apabila pendeta itu bukan sahaja tidak membantunya, malah membiarkan budak itu tercungap-cungap dan hampir kelemasan.
Sebaliknya, pendeta itu terus menekan kepala budak itu ke dalam air. Setelah beberapa minit berbuat demikian, pendeta itu menarik kepala budak lelaki tadi dari air dan mereka mula berjalan kembali ke pondoknya. Setelah sampai di pondoknya, pendeta itu membiarkan budak itu berehat seketika. Kemudian dia bertanya kepada budak lelaki tersebut apa yang paling dikehendakinya ketika kepalanya terendam di dalam air sebentar tadi.
Budak lelaki itu yang masih keliru dan marah dengan tindakan pendeta sehingga menyebabkan dia hampir kelemasan sebentar tadi, dengan meninggikan suara cepat-cepat menjawab,
"Tentu sahaja aku ingin bernafas, wahai orang tua yang kejam!"
Pendeta itu membalas, "Nah, anak muda. Jika kamu inginkan kejayaan sebanyak yang kamu ingin bernafas, maka kamu akan menemukan rahsia kejayaan sebenar dalam kehidupan ini."
P/S Kejayaan adalah satu pilihan. Jika kita mempunyai alasan yang cukup kuat untuk berjaya, tidak ada yang tidak boleh kita lakukan. Setelah kita mempunyai alasan untuk melakukan sesuatu, kita pasti akan menemukan cara untuk melakukannya. Keinginan sahaja tidak akan membuatkan sesuatu terjadi. Ia adalah keinginan membara yang berubah menjadi keadaan yang akan menghasilkan tenaga untuk membawa kita mencapai apa sahaja matlamat yang diinginkan. Wallahua'lam.
~ Dipetik dari Utusan Melayu, 22 Oktober 2012~
Belum ada komen untuk "Nak Cari Rahsia Kejayaan?"
Catat Ulasan
Komen anda amat dihargai