Home · About Me · Sitemap ·

Dahsyatnya Taubat...


Dari google
 
Kesedaran bertaubat pemuda penzina ini muncul setelah ia bermimpi alat kelaminnya menjadi ular lalu masuk ke mulutnya. Mimpi yang mengerikan ini telah membuatkan dirinya takut sehingga akhirnya ia berhenti berzina. Dari taubatnya ini ia boleh mencapai darjat kemuliaan di sisi Allah. Kisah ini diceritakan oleh Syeikh as-Sibli.

"Satu ketika aku memasuki sebuah perkampungan. Di perkampungan itu, aku bertemu dengan seorang pemuda yang usianya masih muda. Tubuhnya kurus, rambutnya kusut penuh debu. Baju yang dipakainya pun amat lusuh. Pertama kali melihatnya, ia sedang membolak-balikkan pipinya yang disentuhkan pada tanah kubur. Setelah itu, ia memandang ke arah langit, lalu menundukkan kepalanya dengan lama.

Ia melakukan perbuatan tersebut berulang-ulang. Kadangkala ia juga mengumat-ngamitkan bibirnya seperti sedang membaca sesuatu. Tidak hanya itu, kulihat air matanya pun bercucuran membasahi wajahnya. Dalam keadaan menangis, ia tetap berdoa, berzikir dan memohon keampunan. Ia tetap melakukan perbuatan itu dengan tidak mempedulikan apa yang sedang terjadi di sekitarnya. Waktunya hanya dihabiskan untuk urusan dirinya sendiri, iaitu membaca tasbih, memuji Allah serta mengagungkan nama-Nya.

Perbuatan pemuda itu membuat ku jadi tertarik untuk mendekatinya. Bahkan jika perlu, bersahabat dengannya. Semua tujuanku sebelumnya aku batalkan. Aku lebih mementingkan pemuda tersebut dari urusanku sendiri.

Ketika pemuda itu mengetahui bahawa ada orang berusaha mendekatinya, ia segera lari menjauhkan diiri. Dengan tergesa-gesa aku mengikutinya dari belakang. Barangkali pemuda itu masih boleh dikejar. Namun langkah pemuda itu semakin cepat sehingga aku keletihan untuk mengejarnya. Sebelum hilang dari pandangan mataku, aku berteriak memanggilnya. "Wahai kekasih Allah! Kasihanilah aku!"

Ia hanya menjawab, "Allah". Lalu aku berkata lagi, "Dengan hak Allah, aku mohon padamu, engkau sabar menantiku."

Setelah aku berkata demikian, dia memberi isyarat kepadaku dengan tangannya bahawa ia tidak akan meninggalkanku. Ketika aku sudah mendekatinya, ia berkata, "Allah".

Lalu kutanyakan kepadanya. "Bila kata-katamu benar, tunjukanlah kesungguhanmu dalam beribadah kepada Allah!" Namun ia tidak berusaha menjawab pertanyaanku. Apa yang dilakukannya hanyalah berteriak dengan keras, "Ya Allah".

Setelah teriakan itu, ia jatuh terkulai ke tanah dalam keadaan pengsan. Aku mendekatinya dan mengerak-gerakkan tubuhnya. Ketika itu, ia telah meninggal dunia. Kenyataan ini membuatku hampir tidak percaya. Takjub sekali hatiku melihat kesungguhannya dalam beribadah.

Kejadian yang serba cepat dan terasa aneh ini membuatku berkata pada diriku sendiri. "Memang Allah lah yang menentukan seseorang untuk memperoleh rahmat-Nya".

Hatiku tergerak untuk menguruskan jenazahnya. Lalu dengan berhati-hati aku meletakkan jenazah pemuda itu pada tempat yang baik. Kemudian aku tinggalkan dia untuk mencari kelengkapan mengurus jenazah di perkampungan Arab yang terdekat.

Ketika aku kembali ke tempat jenazah pemuda itu, aku sangat terkejut kerana jenazahnya telah ghaib. Bahkan, bekasnya pun tidak ada. Aku juga tidak mendengar keterangan mengenai ghaibnya jenazah pemuda itu. Maka aku menghiburkan diriku dengan memastikan bahawa jenazah itu telah diurus orang yang melalui jalan tersebut ketika aku pergi mencari kelengkapan.

Namun, tidak dapat disangkal, perasaan hairan bercampur bingung yang menyelubungi hatiku. Dalam hati aku berkata, mayat pemuda itu telah hilang dari pandanganku. Siapakah yang telah mendahuluiku untuk mengurusnya ?

Ketika sedang bingung memikirkan hal itu, tiba-tiba aku mendengar suara tanpa rupa yang mengatakan. "Wahai Syibli! Akulah yang menguruskan jenazah pemuda ini. Tidak ada oranglain yang sudi mengurus jenazahnya kecuali malaikat . Oleh itu sentiasalah engkau beribadah kepada Tuhanmu dan bersedekah dengan hartamu. Pemuda ini tidak boleh mencapai darjat yang setinggi ini kecuali dengan bersedekah!"

Aku bertanya kepada suara itu, "Sedekah apa yang telah dilakukannya sehingga ia boleh mencapai darjat yang demikian tinggi?"

Lantas suara itu menjawab. "Wahai Syibli! Sesungguhnya pada mulanya dia adalah pemuda yang derhaka, fasik dan penzina. Lalu Allah menurunkan kepadanya mimpi yang menakutkannya hingga membuat hari-hari pemuda itu penuh dengan kebingungan. Dia bermimpi seolah-olah kemaluannya menjadi ular yang berputar-putar hingga masuk ke mulutnya. Ular yang masuk ke mulutnya itu mengeluarkan api yang menyala-nyala sehingga menghanguskan seluruh tubuh pemuda itu.

Akhirnya pemuda itu bangun dengan dilitupi perasaan takut yang luar biasa. Ia menyedari akan jalan hidupnya yang sesat, yang selalu menurut hawa nafsu tanpa memperdulikan norma-norma agama. Kemudian ia bertaubat kepada Allah dan menyesali kemaksiatan yang dilakukannya itu.  Kini, ia mengisi sisa-sisa hidupnya dengan beribadah kepada Allah. Sudah 12 tahun lamanya semenjak ia bertaubat, ia beribadah dengan Allah dengan sangat baik. Ia selalu memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukannya. Ia juga selalu berdoa agar ia mati dalam keadaan husnul khatimah."

Setelah agak lama terdiam, suara itu berkata lagi, "Sebelum meninggal dunia, kelmarin ia bertemu dengan seorang pengemis yang meminta sedekah kepadanya agar diberi makanan untuk hari itu. Kerana pemuda itu tidak mempunyai makanan ataupun wang untuk diberikan kepada pengemis itu, ia melepaskan baju yang sedang dipakainya dan memberikannya kepada si pengemis. Kerana sangat gembiranya, pengemis itu mendoakan pemuda ini agar Allah mengampunkan dosa-dosanya. Lantas, Allah mengabulkan doa si pengemis tadi. Wallahua'lam

Dipetik dari Dahsyatnya Taubat:42 Kisah Orang Yang Bertaubat terbitan Synergy Media

P/S Allah tidak menangguhkan balasan kepada 2 golongan iaitu mereka yang menderhaka kepada ibu bapa dan penzina. Di dunia lagi akan ditunjukkan...Nauzubillahi minzalik..Mudah-mudahan kita semua dijauhkan..

Artikel berkaitan:

Belum ada komen untuk "Dahsyatnya Taubat..."

Catat Ulasan

Komen anda amat dihargai