Home · About Me · Sitemap ·

"Haji ekspres VS Haji mabrur"

 Rumah Allah yang menggamit hati untuk ke sana lagi..lagi..dan lagi...dan lagi.....

Anim tak nak sentuh panjang tentang isu sindiket 'haji ekspres' yang telah difatwakan haram oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin sebelum ini .

Cuma...lihatlah 2 perbezaan ini
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
SITUASI 1:

DIA , seorang ahli perniagaan berjaya ingin menunaikan haji dengan muassasah Tabung Haji. Kami mengusiknya supaya pergi dengan pakej swasta kerana DIA mengadu terlewat mendaftar haji. Pakej swasta (TH Travel) RM50K-RM70K ( insya-Allah ada tempat buatnya) begitu kecil jika dibandingkan dengan pendapatannya yang bukan sahaja 5 angka sebulan...malah 6 angka.

"Bagi peluanglah kat kami yang makan gaji dan kurang berkemampuan pakej mahal ni pergi dahulu..(kuranglah persaingan)"

Jawapannya... "Kalau ada yang lebih murah, kenapa nak keluar duit lebih. "

Namun yang menjadi persoalan, bila syarat 5 tahun mendaftar haji muasassah Tabung Haji dan syarat 4 tahun (mulai 2011) mendaftar haji pakej swasta  diutarakan...terkejut juga kami kerana DIA mengatakan itu bukan soal besar. DIA ada kenalan yang berjanji akan mendapatkan tempat untuknya nanti. (DIA baru 2 tahun mendaftar haji)..


SITUASI 2

DIA , seorang wanita berusia awal 60an. Dikalangan yang mengenalinya maklum akan kehidupannya selepas suaminya berkahwin baru dengan seorang warga asing. Terkejut bila DIA menghubungi Anim.

"Anim, Makcik berhajat nak pergi haji. Boleh tak makcik ikut pakej haji Anim ? Makcik nak tumpang suami Anim untuk jadi mahram. Makcik pergi sorang sahaja. Makcik ada ajak Pakcik pergi sama tapi dia suruh makcik pergi dulu. Dia izinkan makcik pergi sendiri"

DIA yang selama ini "manja"..tidak boleh memandu@menunggang motor kerana dihantar suaminya ke mana-mana sebelum ini terpaksa menerima hakikat hidupnya berubah 100%. Masya-Allah...begitu sabarnya DIA. Tidak pernah sekali DIA mengutuk suaminya itu. Kagum akan ketaatan kepada suaminya. DIA pasti akan meminta izin dari suaminya hatta ke masjid untuk belajar agama. Bila ditegur oleh kawan-kawannya kerana berjalan kaki ke masjid yang jauh dari rumahnya, jawapannya hanyalah "Tak apalah, Allah dah bagi kaki. Kalau tak ada kaki, lagi susah nak pergi masjid"

2 anaknya telah bekeluarga. 2 lagi masih bujang (seorang bermasalah lembam) dan seorang telah meninggal dunia (kurang upaya).Bukan anak-anak tidak menghulur dan membantu si ibu tetapi berapa sangatlah yang dapat mereka hulurkan kerana mereka sendiri sedang membina keluarga dan bekerja di kota. Kos rumah yang sedang dalam proses pembaikan juga ditanggung anak-anak. Tak sanggup dia menyusahkan anak-anaknya lagi. Untuk menampung sara hidup, DIA bekerja di rumah orang. Kadangkala DIA meminta suaminya menghantar dan mengambilnya dari rumah majikannya jika anaknya tidak berkesempatan. Namun bukan free...DIA menghulurkan duit minyak motor suaminya itu!

"Orang tak tahu, hasil kebun Makcik kena bahagi 3. Satu bahagian untuk Makcik, satu bahagian untuk Pakcik dan satu bahagian untuk madu Makcik"

Namun...DIA , isteri mithali. DIA berlapang dada dengan ujian Allah. Selama DIA menjaga arwah anak lelakinya yang dilahirkan kurang upaya sejak lahir hingga ke akhir hayatnya di usia 18 tahun, tidak pernah sekalipun DIA keluar rumah meninggalkan anaknya..apalah sangat perubahan suami dan kerenah madu yang Allah timpa ini, katanya.

"Makcik nak ke Mekah. Makcik nak berdoa supaya Pakcik berubah. Makcik bukan nak dia bercerai dengan isteri barunya. Makcik cuma nak dia ingat Allah. Allah boleh panggil bila-bila masa"

Seolah-olah mengetahui apa yang bersarang di kepala Anim...

"Mesti Anim hairankan kenapa Makcik nak ikut Anim. Adik Makcik ajak ikut dia pergi haji lepas dia pencen. Tapi dia pencen 10 tahun lagi. Umur tu bukannya hak kita. Makcik takut hajat Makcik tak terlaksana sebelum tutup mata. Lagi satu keluarga Makcik mesti ingat macamlah Makcik ni banyak duit nak ikut pakej swasta. Alhamdulillah Nim, duit dalam Tabung Haji Makcik ada RM15 ribu. Makcik kumpul, makcik simpan sikit-sikit. Agak-agak berapa Makcik kena tambah?"

Hebatnya DIA. Berapa ramai dari kita yang berpendapatan ribu raban sebulan dapat mengumpul RM15 ribu dalam Tabung Haji? Berapa ramai dari kita yang berkereta besar, berumah besar boleh berfikir seperti DIA? Harta, wang ringgit milik Allah. Bila-bila boleh diambil semula. Apakah yang hendak kita jawab bila ditanya bagaimanakah kita menggunakan nikmat Allah yang diberikan?

Bila Anim nyatakan kos pakej swasta ni paling murah dalam RM20K...DIA beriya-iya mengatakan DIA akan cuba cukupkan. Tak ada niat lain untuknya ke sana. Kerana Allah. DIA tak memikirkan akan ole-ole atau barangan lain..

Termenung sejenak memikirkan hajat DIA. Jika hajatnya menelefon itu untuk meminjam wang...bolehlah diusahakan dengan senang hati. Namun hajat besar penuh makna ini dipinta dari seseorang yang tak punya kuasa. Apa yang dapat dikatakan, insya-Allah, kita berusaha. Selainnya...terserah pada Allah. Kami sendiri pun masih membuat rayuan dari tahun ke tahun.

P/S Kita mungkin punya alasan untuk pergi segera. Lembaga Urusan Tabung Haji juga telah membuka proses rayuan sekarang. Kita boleh pergi sendiri ke TH di Tingkat 30 atau hantar surat rayuan ke TH. Insya-Allah, setelah segala usaha secara betul dilaksanakan.. langkah seterusnya adalah urusan dan kehendak Allah SWT jua....

Artikel berkaitan:

2 Komen untuk ""Haji ekspres VS Haji mabrur""

  1. kes haji ekspress ni dah lama dah... baru skrg ni nak timbulkan... pernah dengar tapi tak tahu kesahihannya lagi..

    BalasPadam
  2. cepat pulakkan kes ni sprm siasat....

    BalasPadam

Komen anda amat dihargai