Home · About Me · Sitemap ·

Disebalik Kesulitan Menyahut Seruan Azan


 Masjid Bt.Lintang yang tidak sampai 10 langkah dari sekolah...

Al-Imam Ghazali menyatakan bahawa orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjemaah, di akhirat kelak ia akan dijemput oleh Allah SWT dengan segala lemah lembut dan menjadi tetamu-Nya. Orang itu tidak perlu tergopoh-gapah bangun ketika mendengar tiupan Israfil, kerana ia telah berusaha dan melatih diri menyahut seruan azan secara serta merta walaupun dalam keadaan sulit sekalipun.

Suatu rahmat yang besar bagi seseorang yang berada di Padang Mahsyar ketika manusia hiruk-pikuk menghadapi nasib masing-masing. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan ada orang yang hendak ditanya dan mengadu nasib, tiba-tiba Allah SWT menjemputnya dengan lemah lembut penuh kasih sayang. Alngkah bahagianya dia. Inilah nikmat yang tidak terhingga balasan dari amalannya menyahut seruan azan dengan mendirikan solat semasa di dunia dulu.

Oleh itu jika di dunia seseorang itu dalam keadaan susah serta sukar menyahut perintah Allah SWT, menyahut seruan azan ketika sedang tidur dan mata masih sangat mengantuk di subuh yang dingin, maka jika dalam keadaan begitu ia berusaha juga untuk menyahut seruan azan, maka sabarlah atas segala kepayahan itu. Bagaimana susah dan sukar ia tidaklah lama kerana kehidupan manusia di dunia hanyalah sekejap, sebab umur umat Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam tidak panjang jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

Allah SWT menjadikan Padang Mahsyar sebagai hari terbuka bagi manusia mempamerkan segala amalannya. Dengan penuh cemas manusia mengharap barang pamerannya (amalannya) akan dinilai oleh Allah SWT dengan markah yang tinggi sehingga melayakkan diri untuk menjadi pemenang dan menerima hadiah syurga. Sayangnya hari itu manusia tidak berpeluang untuk membuat sebarang pindaan bagi meningkatkan markah, sebaliknya bergantung penuh kepada rahmat Allah SWT berdasarkan amalan yang telah dilakukan semasa di dunia.

Dalam saat cemas itu, tiba-tiba Allah SWT datang menjemput seseorang dengan ramah mesra dan lemah lembut dan memberitahu orang itu bahawa itulah natijah dari keredhaan Allah SWT yang telah menyaksikan orang itu bersusah payah di dunia dulu, menyahut setiap kali seruan azan berkumandang, bergegas pergi menunaikan solat berjemaah di masjid atau musolla. Ia sanggup meninggalkan semua urusan buat seketika, meninggalkan tempat tidur di subuh dingin walaupun mata masih mengantuk.

Sesungguhnya Allah SWT menjadi saksi kepada kesungguhannya menyahut seruan azan yakni seruan Tuhan Yang Maha Esa, dengan itu hanya Tuhan jua yang tahu menilai dan membalasnya dengan menjemput orang ini ketika manusia lain sedang cemas di Padang Mahysar melalui hari-hari yang sangat hebat ,penuh debar dan harap.

~Wallahua'lam~

P/S Sumber :Khusyuk Dalam Solat oleh Dato' Nik Aziz Nik Mat

Artikel berkaitan:

Belum ada komen untuk "Disebalik Kesulitan Menyahut Seruan Azan"

Catat Ulasan

Komen anda amat dihargai